BOLEHKAH LIMBUNGAN KAPAL TEMPATAN DIPERCAYAI?

OPV1 Tun Fatimah masih belum diserahkan kepada APMM

Sudah lebih enam tahun kontrak pembinaan tiga buah kapal OPV untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dimeterai. Walaupun kapal pertama telah diluncurkan turun ke atas air, ianya masih belum diterima oleh pihak APMM.

Sepatutnya, kapal OPV1 sudah diterima pada bulan Mac tahun ini setelah didesak oleh pihak pengurusan tinggi APMM pada awal tahun, namun syarikat menunda tarikh penyerahan kepada bulan Julai.

Malah, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sendiri telah meminta syarikat berkenaan menyerahkan kapal kedua dan ketiga pada bulan Oktober tahun ini dan awal tahun hadapan tanpa lengah-lengah lagi.

Pernah diutarakan oleh mantan Ketua Pengarah APMM yang lalu bahawa APMM amat berhasrat untuk mempamerkan kapal OPV1 di pameran LIMA 2023 yang mula berlangsung hari ini. Namun, APMM bukan pihak berwajib untuk memberi kata putus bila kapal tersebut boleh diserahkan. Jawapannya terletak dengan pihak pengurusan projek kapal tersebut. Bukannya APMM.

Maka, ini berbalik kepada soalan yang saya ajukan kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan semalam: adakah kerajaan akan mengubah dasar perolehan aset-aset keselamatan dengan membenarkan syarikat-syarikat luar negara yang track recordnya lebih baik untuk membina kapal-kapal kita?

Bolehlah kita terus percayakan syarikat-syarikat GLC yang acap kali gagalkan kehendak pengguna, dan berselindung di sebalik status GLC?

Tepuk dada, tanya selera.