Satu minggu yang cukup menarik. Pembubaran parlimen yang begitu dinantikan telahpun berlaku. Pengumuman oleh SPR mengenai hari pengundian yang jatuh pada hari Rabu telah menyebabkan orang ramai tidak berpuas hati. Ini adalah kali ke-6 sejak kemerdekaan, yang menyaksikan pembuangan undi dibuat pada hari bekerja. 6 dari keseluruhan 14 pilihanraya umum Malaysia. Dan separuh darinya terjadi ketika Mahathir mentadbir Malaysia.
Ramai yang melenting kerana mereka hampir mustahil dapat pulang ke kawasan pengundian dan kembali ke tempat bermastautin selepas mengundi. Mereka kononnya dinafikan keadilan tanpa menyedari mereka sendiri berlaku tidak adil kepada penduduk kampung halaman mereka yang perlu mengadap wakil rakyat yang diundi mereka selama 5 tahun yang mungkin lebih teruk dari wakil rakyat sebelumnya.
Jika tidak mahu pulang mengundi, tukarlah alamat mengundi ke alamat bermastautin.
Lebih menarik, baru-baru di dalam satu penulisan di laman Facebook, DYAM Tunku Mahkota Johor telah menyeru kepada rakyat Johor untuk menolak parti atau pakatan yang akan memberikan kemenangan kepada Mahathir. Rakyat yang membaca terus menghamburkan kemarahan. Sebelum ini, apabila Tunku Mahkota Johor atau lebih dikenali sebagai TMJ mengkritik kerajaan, rakyat, termasuk mereka yang tidak mempercayai institusi beraja dengan akan pantas menulis ‘Daulat Tuanku’. Kini khalayak yang sama menyerang TMJ.
Saya kurang gemar sekiranya seorang ahli kerabat diraja mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana saya percaya, sungguhpun mereka mempunyai pandangan tersendiri, mereka perlu kekal tidak berpihak. Namun, ungkapan terkenal dari Walter Bagehot bermain di fikiran saya:
“Raja mempunyai 3 hak: Hak untuk berbincang, hak untuk memberi galakan dan hak untuk memberi amaran”
Ini diakui oleh Mark R Gillen dari Fakulti Undang-Undang, University of Victoria (Gillen 1994:7) Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang juga mantan Ketua Hakim Negara pernah bertitah:
“Adalah menjadi satu kesilapan jika peranan seorang Sultan, seperti seorang Presiden, adalah terhad sepertimana yang telah diperuntukan oleh Perlembagaan. Peranan seorang Sultan jauh melangkaui peruntukan Perlembagaan” (Azlan Shah 1986:89).
Maka, adalah hak TMJ untuk memberikan amaran kepada rakyat Johor mengenai apa yang baginda fikirkan sebagai berbahaya untuk rakyat baginda, dan demi perpaduan negeri baginda.
Jika Barisan ingin mengambil kesempatan untuk isu ini, saya fikir waktunya tidak kena kerana ia dilakukan terlalu awal, ketika negara baru hendak ‘memanaskan badan’ untuk menghadapi pilihanraya. Anda kini dapat melihat mesej-mesej yang disebarkan di dalam WhatsApp yang bukan sahaja menyerang Sultan Johor sekarang, tetapi juga menyerang Sultan sebelum ini, iaitu nenda kepada TMJ. Mahathir juga cepat mengeluarkan kenyataan, dengan berkata tulisan Pakatan itu hanya memberikan keuntungan kepada Pakatan.
Mungkin itu yang beliau fikirkan.
Perseteruan Mahathir dan Istana Johor berlaku dari sebelum Syed Saddiq dilahirkan lagi. Dua tahun selepas menjadi Perdana Menteri, Mahathir cuba mendapatkan persetujuan Almarhum Sultan Perak, Sultan Idris Shah untuk naik takhta sebagai Yang Dipertuan Agong ke-8 kerana Sultan Pahang bakal menamatkan tempoh perkhidmatan pada tahun 1984. Ianya berjalan serentak dengan kempen memburukan Sultan Johor, dalam cubaan untuk mendapatkan sokongan ramai.
Hubungan Mahathir dan Sultan Johor begitu teruk sehingga beberapa pegawai kanan tentera merancang satu rampasan kuasa pada tahun 1983. Panglima Tentera Darat ketika itu, Jeneral Tan Sri Dato’ Zain Hashim, seorang pegawai tentera yang amat cemerlang, terpaksa bersara pada usia yang masih muda, iaitu 52 tahun, pada Januari 1984 dan digantikan oleh Jeneral Tan Sri Dato’ Mohd Ghazali Bin Haji Che Mat. Jeneral Ghazali hanya berkhidmat sebagai PTD selama setahun sebelum dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera. Jeneral Ghazali telah diganti oleh Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Mohamed Hashim Mohd Ali sebagai Panglima Tentera Darat, adik ipar Mahathir. Tentera Darat kini diperintah oleh seseorang yang setia dengan Mahathir. Jeneral Hashim kemudian menjawat jawatan Panglima Angkatan Tentera. Maka, berakhirlah segala ketidak-setiaan Angkatan Tentera Malaysia terhadap Mahathir.
Saya mengetahui butiran rancangan rampasan kuasa tersebut tetapi diminta untuk merahsiakannya.
Tidak, ini tidak menunjukkan Tentera hanya perlu setia kepada Raja-Raja Melayu, sebaliknya tentera juga perlu setia kepada kerajaan Yang Dipertuan Agong kerana menurut Artikel 39 Perlembagaan Persekutuan menteri kabinet adalah mewakili Yang Dipertuan Agong dan diberikan kuasa eksekutif untuk mentadbir negara bagi pihak Yang Dipertuan Agong. Maka, kesetian perlu diberikan oleh Angkatan Tentera Malaysia untuk Perdana Menteri dan kabinet beliau.
Segala perbuatan dan cubaan Mahathir keatas keluarga diraja Johor telah ditulis TMJ. Bukan rahsia lagi yang Mahathir begitu bencikan keluarga diraja kerana sejak zaman Perang Dunia Kedua lagi beliau telah bertelagah dengan Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Pertama Malaysia dan kerabat diraja Kedah. Baru-baru ini, Mahathir telah menyerang projek Forest City dengan cuba menakutkan penduduk tempatan dengan kebanjiran warga China dan menyerang etnik Bugis, iaitu keturunan Najib dan dua orang Sultan, iaitu Johor dan Selangor dengan berkata ‘Lanun Bugis patut balik ke tanah asal mereka’.
Sultan Johor mengecam Mahathir kerana memainkan sentimen perkauman manakala Sultan Selangor mengecam komen Bugis Mahathir.
Mahathir masih tidak memohon kemaafan atas kedua-dua insiden itu.
“Beliau adalah seorang yang pemarah dan akan membakar seluruh negara ini dengan kemarahan beliau” titah Sultan Selangor di dalam satu kenyataan yang dikatakan turut dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja.
Apabila ditanya oleh media mengenai titah Sultan Selangor itu, Mahathir menjawab “Ya, saya memang pemarah dan anda sendiri boleh lihat betapa marahnya saya. Saya akan bakar anda dan akan terus membakar apa sahaja.”
Ya, Mahathir akan membakar apa sahaja asalkan beliau mendapat apa yang beliau hajati. Beliau tidak peduli sekiranya negara ini hancur. Ini adalah kerana beliau kian kesuntukan masa.
Sebelum bersara 15 tahun lepas, beliau mahukan seorang Perdana Menteri yang mendengar cakap dan yang akan melindungi beliau dan keluarga beliau dari sebarang siasatan, walaupun selepas beliau tiada lagi. Apabila Pak Lah enggan, beliau gulingkan Pak Lah. Kemudian datang Najib Razak yang mempunyai idea sendiri bagaimana negara ini perlu ditadbir dan dijadikan lebih baik. Mahathir, yang tidak biasa dengan orang-orang yang tidak mengikut kemahuan beliau, cuba menggulingkan Najib. Ianya merupakan serangan dari pelbagai arah, yang menguatkan lagi serangan sedia ada dari pembangkang.
Beliau berpakat dengan Muhyiddin dan Shafie. Beliau tahu bahawa beliau tidak boleh bergantung harap dengan Zahid Hamidi kerana beliau pernah memenjarakan Zahid di bawah ISA. Kesetiaan Hishammuddin terhadap sepupunya pula tidak boleh dipersoalkan. Beliau menekan kepimpinan UMNO dengan harapan Najib akan disingkirkan dan Muhyiddin akan dilantik sebagai Perdana Menteri lalu menjamin keselamatan keluarga beliau.
Malangnya rancangan itu gagal. Najib kembali teguh dan kini aktif membalas serangan. Muhyiddin dan Shafie dipecat dari kerajaan dan parti. Mahathir dan keluarganya kini berdepan dengan kemungkinan terpaksa menghadapi siasatan ke atas salahguna kuasa untuk mendapatkan kekayaan dan projek-projek tanpa tender terbuka.
Sebab inilah beliau nekad untuk kembali berkuasa sebagai Perdana Menteri – supaya beliau boleh jamin akan dapat melindungi keluarga beliau dari disiasat oleh pihak berkuasa.
Jika difikirkan, kenapa perlunya seorang ‘ yang berprinsip’ melanggar kesemua prinsip dan bekerjasama dengan musuh ketatnya, yang diketahui ingin memusnahkan budaya dan adat istiadat orang melayu dan mungkin juga, institusi beraja?
Mantan-mantan pegawai tinggi polis dan tentera pasti ingat di dalam satu sesi golf di mana Almarhum Sultan Iskandar berkata Malaysia tidak memerlukan sistem Presiden dan mesti menyingkirkan ‘beban politik’.
Kita mungkin tertanya apa yang dimaksudkan oleh Almarhum tteapi saya rasa saya tidak mempunyai sebarang masalah mengenalpasti siapa yang dimaksudkan oleh Almarhum.
Namun, satu perkara yang pasti, Mahathir lebih rela untuk memohon maaf kepada Ambiga dan DAP kerana menggunakan perkatan ‘keling‘ daripada memohon ampun kepada Raja-Raja Melayu.
Lihatlah sendiri di mana kedudukan Raja-Raja Melayu berbanding Ambiga dan DAP di mata Mahathir.
Inikah sifat seseorang yang boleh memelihara kedudukan agama Islam dan keistimewaan Bumiputera dan orang Melayu di Malaysia?
Berhati-hatilah bila membuang undi kelak.
You must be logged in to post a comment.