“Melayu Islam diingatkan tidak terlalu selesa, angkuh hingga pinggirkan minoriti.”
Begitulah bunyinya tajuk utama akhbar Utusan Malaysia yang melaporkan perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam ucapan beliau, Anwar mengingatkan orang Melayu Islam supaya tidak meminggirkan kaum minoriti. Kata beliau, “Ketika lawatan saya ke Kemboja baru-baru ini, saya berbuka puasa bersama Perdana Menteri Kemboja yang menganjurkan majlis iftar dengan 6,000 umat Islam. Umat Islam di Kemboja hanya 10 peratus, tetapi diberi penghormatan dan saya juga diberi peluang memberi ucapan dan ke masjid di sana.” (Utusan Malaysia – 4 April 2023).
Tidak pelik sebuah negara bukan Islam meraikan masyarakat beragama Islam. Meraikan kaum minoriti merupakan salah satu tanda aras demokrasi bagi setiap buah negara. Sebagai contoh, kerajaan Israel yang dikenali sebagai anti-Islam juga pernah mengadakan majlis berbuka puasa.
Israel menghargai kebebasan beragama dan akan lakukan apa sahaja untuk membenarkannya – Benny Gantz
“Israel menghargai kebebasan beragama dan akan lakukan apa sahaja untuk membenarkannya,” kata Menteri Pertahanan Israel Benny Gantz tahun lepas (The Jerusalem Post – 26 April 2022).
“Saya lihat betapa pentingnya untuk kukuhkan hubungan di antara Israel dan negara-negara serantau dan kekalkan kebebasan beragama di Israel untuk penganut semua agama,” kata Menteri Luar Israel Eli Cohen semasa menganjurkan majlis berbuka puasa Ahad lepas (Jewish News Syndicate – 3 April 2023).
Saya lihat betapa pentingnya untuk kukuhkan hubungan di antara Israel dan negara-negara serantau dan kekalkan kebebasan beragama di Israel untuk penganut semua agama – Eli Cohen
Dari 18 hari hari cuti umum yang diumumkan kerajaan Kemboja, berapa harikah yang melibatkan lain-lain agama atau kaum? Jawapannya: 0.
Dari 15 hari hari cuti umum yang diumumkan kerajaan Israel, berapa harikah yang melibatkan lain-lain agama atau kaum? Jawapannya: 0.
Dari 12 hari hari cuti umum yang diumumkan kerajaan Kemboja, berapa harikah yang melibatkan lain-lain agama atau kaum? Jawapannya: 4 (tidak termasuk Thaipusam dan Good Friday).
Adakah Melayu tidak bertimbang rasa hingga wujudnya klausa-klausa dalam Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan hak lain-lain kaum, contohnya Perkara 3(1) berhubung kebebasan beragama, Perkara 11, Perkara 152(1) dan 152(1)(a), dan juga Perkara 153?
KM Bagan Datuk – salah sebuah aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang memelihara kedaulatan negara tanpa mengira cabaran yang dihadapi
Seramai 24 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan di Teluk Ramunia. Seorang nelayan hilang dan ditemui mati di perairan Kudat, Sabah. Belum sampai penghujung bulan, sejak 1 November 2020 hingga semalam, sebanyak 173 bot nelayan asing (BNA) dari Indonesia telah diusir oleh Maritim Malaysia negeri Perak berhampiran Pulau Jarak. Sebuah kapal Pengawal Pantai China (CCG) Zhongguo Haijing 5402 telah mengganggu sebuah kapal penggerudian minyak serta kapal-kapal bekalannya hanya 44 batu nautika dari pesisir pantai negeri Sarawak. Tiga orang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis DiRaja Malaysia ditembak oleh kumpulan penyeludup dalam dua insiden di sempadan Thai mengakibatkan seorang anggota berpangkat Koperal maut.
Demikianlah rangkuman insiden-insiden diperbatasan yang telah dilaporkan dalam tempoh seminggu ini. Insiden-insiden ini merupakan di antara cabaran-cabaran yang dihadapi oleh agensi-agensi kerajaan terutamanya APMM dalam menentukan sempadan perairan, kedaulatan negara, serta keselamatan komuniti di laut adalah selamat.
Turut berada di perbatasan perairan negara ialah Kapal Maritim Bagan Datuk serta 29 orang anak kapalnya yang dinakhodai oleh Leftenan Komander (Maritim) Nik Mohd Rizam bin Nik Mohd Fauzi, yang meronda di Sektor 6, Selat Melaka. KM Bagan Datuk disokong oleh bot-bot pemintas dari Maritim Negeri Melaka & Negeri Sembilan. Kapal ronda generasi baru sepanjang 45 meter yang ditauliahkan pada 15 Mac 2017 bertindak sebagai kapal induk untuk operasi-operasi pemintasan yang dilakukan oleh bot-bot pemintas di sektor tersebut.
Kehadiran BNA Indonesia di perairan Pulau Jarak bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan dan remeh oleh umum. Sekiranya dibiarkan atas sebab budi-bicara ataupun atas dasar jiran-tetangga, ianya boleh menjejaskan kedaulatan negara. Kita ambil contoh tuntutan Malaysia dan Singapura ke atas Pulau Batu Putih (Pedra Branca) di mana Perjanjian Inggeris-Belanda, 1824 menamatkan kerajaan Johor-Pahang-Riau-Linggi. Di bawah Perkara XII perjanjian tersebut, tidak ada satu pun pertubuhan British dibenarkan di atas pulau-pulau Karimun, Batam, Bintan, Lingga dan pulau-pulau ke selatan Singapura, manakala pulau-pulau serta batuan-batuan di dalam Selat Singapura menjadi milik kerajaan Kesultanan Johor yang baharu.
Sebuah rumah api didirikan oleh Syarikat Hindia-Timur British (HEIC) di Pulau Batu Putih dalam bulan Jun 1850 dan mula beroperasi pada 15 Oktober 1851. Ianya dioperasikan oleh Lembaga Pelabuhan Singapura yang menjadi sebahagian dari Malaysia. Namun, apabila Singapura dikeluarkan daripada Persekutuan Malaysia pada 9 Ogos 1965, tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak kerajaan Malaysia untuk mengoperasikan rumah api tersebut.
Hanya apabila pada 21 Disember 1979 Pengarah Pemetaan Malaysia keluarkan sebuah peta yang menunjukkan Pulau Batu Putih sebagai hakmilik Malaysia, kerajaan Singapura keluarkan bantahan. Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan walaupun Kesultanan Johor memiliki Pulau Batu Putih, Batuan Tengah dan Batuan Selatan, namun tidak ada mana-mana pihak dari Malaysia ataupun Johor mengambil sebarang tindakan untuk menunjukkan ianya mempunyai hak ke atas pulau dan batuan-batuan tersebut, termasuk mengoperasikan rumah api di Pulau Batu Putih setelah 31 Ogos 1957. Maka ICJ memutuskan bahawa Singapura mempunyai hak à titre de souverain ke atas Pulau Batu Putih manakala Batuan Tengah menjadi milik Malaysia melalui hakmilik Kesultanan Johor.
Inilah sebabnya APMM aktif menghalau BNA Indonesia, Vietnam dan China yang sengaja menguji reaksi pihak berkuasa Malaysia. Tidak mustahil jika suatu hari nanti negara-negara ini membuat tuntutan ke atas kawasan-kawasan perairan dan pulau-pulau di Malaysia sekiranya Malaysia tidak mengambil sebarang tindakan yang menunjukkan kedaulatannya ke atas kawasan-kawasan tersebut.
Masalah yang dihadapi oleh APMM pula ialah walaupun di atas kertas ia memiliki berpuluh-puluh aset dalam bentuk kapal peronda, bot-bot pemintas serta aset-aset udara, perlu difahami bahawa kapal-kapal peronda kelas Bagan Datuk inilah kapal peronda yang paling baharu dan paling canggih. Kapal-kapal peronda yang lain ada yang usianya sudah menjangkau 40 tahun dan kebanyakannya adalah jauh lebih kecil berbanding kapal-kapal peronda milik CCG. Sebuah kapal peronda kelas Bagan Datuk iaitu KM Lahad Datu serta tiga buah kapal peronda luar pesisir pantai (OPV) masih belum diserahkan kepada pihak APMM. Aset-aset udara pula hanyalah dua buah pesawat sayap kaku jenis Bombardier CL-415MP dan enam buah pesawat sayap putar jenis Eurocopter AS-365N3 Dauphin dan AgustaWestland AW139 – jauh dari jumlah yang boleh dianggap mencukupi.
Semasa kapal CCG Zhongguo Haijing 5402 mengganggu kapal penggerudi minyak serta kapal-kapal bekalan dalam kedudukan 44 batu nautika (80 kilometer) dari pesisir pantai negeri Sarawak, Malaysia telah menghantar dua buah kapal milik Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) iaitu Bunga Mas 5 dan KD Keris. Walaupun tindakan tersebut telah membuat kapal CCG tersebut mengalah dan berundur ke perairan Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) namun kita belum dapat menjangkakan reaksi pihak China seterusnya.
Ini adalah kerana Malaysia tidak bertindak balas dengan menggunakan diplomasi badan kapal putih (white hull diplomacy), iaitu kapal-kapal APMM untuk menyelesaikan keadaan. Sebaliknya, Malaysia telah menghantar dua buah kapal yang mempunyai badan kapal kelabu – iaitu kapal perang tentera. Besar kemungkinan, China akan bertindak balas di masa hadapan dengan mengirim sebuah atau dua kapal perang tentera lautnya (PLA-N) untuk mengiringi kapal peronda CCG. Sekiranya China bertindak sedemikian, ia adalah kerana tindakan Malaysia menjadi punca sebab China meningkatkan tahap reaksinya.
China juga baru-baru ini telah memperolehi persetujuan kerajaan Cambodia untuk menggunakan pangkalan tentera laut Cambodia di Ream yang terletak di Telukan Thailand. Sudah tentu kapal-kapal CCG dan PLA-N dapat menggunakan pangkalan ini untuk memperolehi bekalan. Ini bermakna, selain menunjukkan kuasanya di sebelah timur Laut China Selatan di luar pesisir pantai Sabah dan Sarawak, kapal-kapal CCG dan PLA-N juga boeh mengganggu bot-bot nelayan Malaysia serta platform dan kapal-kapal penggerudian minyak di sebelah barat Laut China Selatan iaitu di luar pesisir pantai Kelantan dan Terengganu yang hanya sekitar 15 jam pelayaran dari Ream pada kelajuan 20 batu nautika sejam.
Oleh demikian, adalah penting bagi kerajaan serta rakyat Malaysia memahami peranan penting APMM sebagai sebuah agensi separa-tentera (paramilitary) sebagai kuasa pencegahan bagi kuasa asing bertindak sewenang-wenangnya di dalam perairan serta Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) kita. Penting juga bagi kita memahami kerana APMM amat memerlukan lebih banyak aset dan kelengkapan yang lebih canggih dan besar serta berkemampuan untuk berada lama di kawasan rondaan tanpa perlu diulangbekal terlalu kerap.
Cabaran menguatkuasa undang-undang maritim serta mempertahankan kedaulatan perairan Malaysia juga begitu hebat di musim pandemik COVID-19. Umum tahu bagaimana penularan virus COVID-19 di atas sebuah kapal pengangkut pesawat milik Amerika Syarikat telah melumpuhkan pengoperasian kapal tersebut. Oleh sebab itu, kapal-kapal APMM juga diarahkan supaya menjalankan operasi pengusiran BNA dan bukannya penangkapan. Menurut Leftenan Komander (M) Nik Mohd Rizam arahan pengusiran tersebut bukan sahaja untuk menjauhkan para pegawai dan anggota APMM dari terjangkit virus COVID-19, malah ianya juga adalah kerana penangkapan nelayan-nelayan asing juga mungkin akan mendedahkan rakyat Malaysia kepada penularan mutasi baharu virus tersebut.
Sehubungan itu, pusat-pusat tahanan PATI di negara ini sudah penuh hinggakan kerajaan terpaksa membuka pusat-pusat tahanan PATI sementara untuk menempatkan PATI yang ditangkap di dalam negara. Malah, Timbalan Menteri Dalam Negeri I Dato’ Sri Dr Haji Ismail bin Haji Mohamed Said semasa menjawab pertanyaan di dalam Parlimen pada 18 November 2020 memberitahu Dewan Rakyat bahawa setakat 13 November 2020, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melaporkan bahawa terdapat seramai 13, 103 orang tahanan di Depot Tahanan Imigresen (DPI) di seluruh negara berbanding kapasiti depot seramai 12,530 orang tahanan pada satu-satu masa.
JIM juga melaporkan bagi tempoh dari 1 Januari 2020 hingga 12 November 2020, seramai 89,086 orang warga asing telah diperiksa. Dari jumlah tersebut, 21,176 orang PATI telah ditangkap untuk siasatan. Sekiranya kerajaan perlu tanggung kos makanan dan minuman berjumlah RM40 sehari bagi setiap orang PATI yang ditangkap ini, maka kerajaan terpaksa membelanjakan sebanyak RM847,040 setiap hari. Proses menghantar PATI pulang ke negara asal lazimnya mengambil masa di antara tiga minggu hingga empat bulan. Maka, kerajaan membelanjakan di antara RM840 hingga RM4800 untuk membekalkan makanan dan minuman bagi setiap orang PATI. Malah, kos keseluruhan untuk menanggung PATI di DPI di seluruh negara ialah sebanyak RM3.4 juta sebulan.
Pandemik COVID-19 juga memberi kesan terhadap emosi para petugas barisan hadapan APMM. Bagi Nasul Abdul Halik yang bertugas sebagai tukang masak KM Bagan Datuk, berjauhan dengan keluarga di Satok, Sarawak sudah tentu memberi cabaran baginya. Apatah lagi beliau baru setahun bertugas dalam APMM. Penularan wabak COVID-19 di Malaysia bermakna sudah setahun beliau tidak dapat menjenguk keluarga di Sarawak. Namun seperti lain-lain anak-anak kapal KM Bagan Datuk, beliau menguatkan semangat untuk melaksanakan tugas kerana moral anak-anak kapal yang lain bergantung juga kepada kemahiran beliau memasak. Sudah tentu rasa masakan beliau perlu sedap tidak mengira sama ada beliau bersedih mahupun mabuk laut akibat cuaca buruk.
Demikianlah di antara cabaran-cabaran yang dihadapi oleh para petugas barisan hadapan kita di Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. Biarpun cabaran datang dalam berbagai gelombang, mereka akan tetap menerima cabaran-cabaran tersebut. Namun, lebih banyak sokongan kerajaan dari segi aset, kelengkapan dan kewangan yang diperlukan oleh mereka-mereka seperti Leftenan Komander (M) Nik Mohd Rizam dan anak-anak kapal KM Bagan Datuk untuk menjalankan tugas dengan lebih berkesan dan lebih berwibawa.
You must be logged in to post a comment.