Maritim Malaysia: Meredah Ombak Yang Mencabar

KM Bagan Datuk – salah sebuah aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang memelihara kedaulatan negara tanpa mengira cabaran yang dihadapi

Seramai 24 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan di Teluk Ramunia. Seorang nelayan hilang dan ditemui mati di perairan Kudat, Sabah. Belum sampai penghujung bulan, sejak 1 November 2020 hingga semalam, sebanyak 173 bot nelayan asing (BNA) dari Indonesia telah diusir oleh Maritim Malaysia negeri Perak berhampiran Pulau Jarak. Sebuah kapal Pengawal Pantai China (CCG) Zhongguo Haijing 5402 telah mengganggu sebuah kapal penggerudian minyak serta kapal-kapal bekalannya hanya 44 batu nautika dari pesisir pantai negeri Sarawak. Tiga orang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis DiRaja Malaysia ditembak oleh kumpulan penyeludup dalam dua insiden di sempadan Thai mengakibatkan seorang anggota berpangkat Koperal maut.

Demikianlah rangkuman insiden-insiden diperbatasan yang telah dilaporkan dalam tempoh seminggu ini. Insiden-insiden ini merupakan di antara cabaran-cabaran yang dihadapi oleh agensi-agensi kerajaan terutamanya APMM dalam menentukan sempadan perairan, kedaulatan negara, serta keselamatan komuniti di laut adalah selamat.

Turut berada di perbatasan perairan negara ialah Kapal Maritim Bagan Datuk serta 29 orang anak kapalnya yang dinakhodai oleh Leftenan Komander (Maritim) Nik Mohd Rizam bin Nik Mohd Fauzi, yang meronda di Sektor 6, Selat Melaka. KM Bagan Datuk disokong oleh bot-bot pemintas dari Maritim Negeri Melaka & Negeri Sembilan. Kapal ronda generasi baru sepanjang 45 meter yang ditauliahkan pada 15 Mac 2017 bertindak sebagai kapal induk untuk operasi-operasi pemintasan yang dilakukan oleh bot-bot pemintas di sektor tersebut.

Kehadiran BNA Indonesia di perairan Pulau Jarak bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan dan remeh oleh umum. Sekiranya dibiarkan atas sebab budi-bicara ataupun atas dasar jiran-tetangga, ianya boleh menjejaskan kedaulatan negara. Kita ambil contoh tuntutan Malaysia dan Singapura ke atas Pulau Batu Putih (Pedra Branca) di mana Perjanjian Inggeris-Belanda, 1824 menamatkan kerajaan Johor-Pahang-Riau-Linggi. Di bawah Perkara XII perjanjian tersebut, tidak ada satu pun pertubuhan British dibenarkan di atas pulau-pulau Karimun, Batam, Bintan, Lingga dan pulau-pulau ke selatan Singapura, manakala pulau-pulau serta batuan-batuan di dalam Selat Singapura menjadi milik kerajaan Kesultanan Johor yang baharu.

Sebuah rumah api didirikan oleh Syarikat Hindia-Timur British (HEIC) di Pulau Batu Putih dalam bulan Jun 1850 dan mula beroperasi pada 15 Oktober 1851. Ianya dioperasikan oleh Lembaga Pelabuhan Singapura yang menjadi sebahagian dari Malaysia. Namun, apabila Singapura dikeluarkan daripada Persekutuan Malaysia pada 9 Ogos 1965, tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak kerajaan Malaysia untuk mengoperasikan rumah api tersebut.

Hanya apabila pada 21 Disember 1979 Pengarah Pemetaan Malaysia keluarkan sebuah peta yang menunjukkan Pulau Batu Putih sebagai hakmilik Malaysia, kerajaan Singapura keluarkan bantahan. Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan walaupun Kesultanan Johor memiliki Pulau Batu Putih, Batuan Tengah dan Batuan Selatan, namun tidak ada mana-mana pihak dari Malaysia ataupun Johor mengambil sebarang tindakan untuk menunjukkan ianya mempunyai hak ke atas pulau dan batuan-batuan tersebut, termasuk mengoperasikan rumah api di Pulau Batu Putih setelah 31 Ogos 1957. Maka ICJ memutuskan bahawa Singapura mempunyai hak à titre de souverain ke atas Pulau Batu Putih manakala Batuan Tengah menjadi milik Malaysia melalui hakmilik Kesultanan Johor.

Inilah sebabnya APMM aktif menghalau BNA Indonesia, Vietnam dan China yang sengaja menguji reaksi pihak berkuasa Malaysia. Tidak mustahil jika suatu hari nanti negara-negara ini membuat tuntutan ke atas kawasan-kawasan perairan dan pulau-pulau di Malaysia sekiranya Malaysia tidak mengambil sebarang tindakan yang menunjukkan kedaulatannya ke atas kawasan-kawasan tersebut.

Masalah yang dihadapi oleh APMM pula ialah walaupun di atas kertas ia memiliki berpuluh-puluh aset dalam bentuk kapal peronda, bot-bot pemintas serta aset-aset udara, perlu difahami bahawa kapal-kapal peronda kelas Bagan Datuk inilah kapal peronda yang paling baharu dan paling canggih. Kapal-kapal peronda yang lain ada yang usianya sudah menjangkau 40 tahun dan kebanyakannya adalah jauh lebih kecil berbanding kapal-kapal peronda milik CCG. Sebuah kapal peronda kelas Bagan Datuk iaitu KM Lahad Datu serta tiga buah kapal peronda luar pesisir pantai (OPV) masih belum diserahkan kepada pihak APMM. Aset-aset udara pula hanyalah dua buah pesawat sayap kaku jenis Bombardier CL-415MP dan enam buah pesawat sayap putar jenis Eurocopter AS-365N3 Dauphin dan AgustaWestland AW139 – jauh dari jumlah yang boleh dianggap mencukupi.

Semasa kapal CCG Zhongguo Haijing 5402 mengganggu kapal penggerudi minyak serta kapal-kapal bekalan dalam kedudukan 44 batu nautika (80 kilometer) dari pesisir pantai negeri Sarawak, Malaysia telah menghantar dua buah kapal milik Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) iaitu Bunga Mas 5 dan KD Keris. Walaupun tindakan tersebut telah membuat kapal CCG tersebut mengalah dan berundur ke perairan Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) namun kita belum dapat menjangkakan reaksi pihak China seterusnya.

Ini adalah kerana Malaysia tidak bertindak balas dengan menggunakan diplomasi badan kapal putih (white hull diplomacy), iaitu kapal-kapal APMM untuk menyelesaikan keadaan. Sebaliknya, Malaysia telah menghantar dua buah kapal yang mempunyai badan kapal kelabu – iaitu kapal perang tentera. Besar kemungkinan, China akan bertindak balas di masa hadapan dengan mengirim sebuah atau dua kapal perang tentera lautnya (PLA-N) untuk mengiringi kapal peronda CCG. Sekiranya China bertindak sedemikian, ia adalah kerana tindakan Malaysia menjadi punca sebab China meningkatkan tahap reaksinya.

China juga baru-baru ini telah memperolehi persetujuan kerajaan Cambodia untuk menggunakan pangkalan tentera laut Cambodia di Ream yang terletak di Telukan Thailand. Sudah tentu kapal-kapal CCG dan PLA-N dapat menggunakan pangkalan ini untuk memperolehi bekalan. Ini bermakna, selain menunjukkan kuasanya di sebelah timur Laut China Selatan di luar pesisir pantai Sabah dan Sarawak, kapal-kapal CCG dan PLA-N juga boeh mengganggu bot-bot nelayan Malaysia serta platform dan kapal-kapal penggerudian minyak di sebelah barat Laut China Selatan iaitu di luar pesisir pantai Kelantan dan Terengganu yang hanya sekitar 15 jam pelayaran dari Ream pada kelajuan 20 batu nautika sejam.

Oleh demikian, adalah penting bagi kerajaan serta rakyat Malaysia memahami peranan penting APMM sebagai sebuah agensi separa-tentera (paramilitary) sebagai kuasa pencegahan bagi kuasa asing bertindak sewenang-wenangnya di dalam perairan serta Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) kita. Penting juga bagi kita memahami kerana APMM amat memerlukan lebih banyak aset dan kelengkapan yang lebih canggih dan besar serta berkemampuan untuk berada lama di kawasan rondaan tanpa perlu diulangbekal terlalu kerap.

Cabaran menguatkuasa undang-undang maritim serta mempertahankan kedaulatan perairan Malaysia juga begitu hebat di musim pandemik COVID-19. Umum tahu bagaimana penularan virus COVID-19 di atas sebuah kapal pengangkut pesawat milik Amerika Syarikat telah melumpuhkan pengoperasian kapal tersebut. Oleh sebab itu, kapal-kapal APMM juga diarahkan supaya menjalankan operasi pengusiran BNA dan bukannya penangkapan. Menurut Leftenan Komander (M) Nik Mohd Rizam arahan pengusiran tersebut bukan sahaja untuk menjauhkan para pegawai dan anggota APMM dari terjangkit virus COVID-19, malah ianya juga adalah kerana penangkapan nelayan-nelayan asing juga mungkin akan mendedahkan rakyat Malaysia kepada penularan mutasi baharu virus tersebut.

Sehubungan itu, pusat-pusat tahanan PATI di negara ini sudah penuh hinggakan kerajaan terpaksa membuka pusat-pusat tahanan PATI sementara untuk menempatkan PATI yang ditangkap di dalam negara. Malah, Timbalan Menteri Dalam Negeri I Dato’ Sri Dr Haji Ismail bin Haji Mohamed Said semasa menjawab pertanyaan di dalam Parlimen pada 18 November 2020 memberitahu Dewan Rakyat bahawa setakat 13 November 2020, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melaporkan bahawa terdapat seramai 13, 103 orang tahanan di Depot Tahanan Imigresen (DPI) di seluruh negara berbanding kapasiti depot seramai 12,530 orang tahanan pada satu-satu masa.

JIM juga melaporkan bagi tempoh dari 1 Januari 2020 hingga 12 November 2020, seramai 89,086 orang warga asing telah diperiksa. Dari jumlah tersebut, 21,176 orang PATI telah ditangkap untuk siasatan. Sekiranya kerajaan perlu tanggung kos makanan dan minuman berjumlah RM40 sehari bagi setiap orang PATI yang ditangkap ini, maka kerajaan terpaksa membelanjakan sebanyak RM847,040 setiap hari. Proses menghantar PATI pulang ke negara asal lazimnya mengambil masa di antara tiga minggu hingga empat bulan. Maka, kerajaan membelanjakan di antara RM840 hingga RM4800 untuk membekalkan makanan dan minuman bagi setiap orang PATI. Malah, kos keseluruhan untuk menanggung PATI di DPI di seluruh negara ialah sebanyak RM3.4 juta sebulan.

Pandemik COVID-19 juga memberi kesan terhadap emosi para petugas barisan hadapan APMM. Bagi Nasul Abdul Halik yang bertugas sebagai tukang masak KM Bagan Datuk, berjauhan dengan keluarga di Satok, Sarawak sudah tentu memberi cabaran baginya. Apatah lagi beliau baru setahun bertugas dalam APMM. Penularan wabak COVID-19 di Malaysia bermakna sudah setahun beliau tidak dapat menjenguk keluarga di Sarawak. Namun seperti lain-lain anak-anak kapal KM Bagan Datuk, beliau menguatkan semangat untuk melaksanakan tugas kerana moral anak-anak kapal yang lain bergantung juga kepada kemahiran beliau memasak. Sudah tentu rasa masakan beliau perlu sedap tidak mengira sama ada beliau bersedih mahupun mabuk laut akibat cuaca buruk.

Demikianlah di antara cabaran-cabaran yang dihadapi oleh para petugas barisan hadapan kita di Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. Biarpun cabaran datang dalam berbagai gelombang, mereka akan tetap menerima cabaran-cabaran tersebut. Namun, lebih banyak sokongan kerajaan dari segi aset, kelengkapan dan kewangan yang diperlukan oleh mereka-mereka seperti Leftenan Komander (M) Nik Mohd Rizam dan anak-anak kapal KM Bagan Datuk untuk menjalankan tugas dengan lebih berkesan dan lebih berwibawa.

Kerajaan Perlu Bersungguh Mempertahankan Kedaulatan Negara

Di antara kapal-kapal nelayan China yang ditahan di perairan Johor oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) – gambar APMM/Kyodo.

Minggu lalu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah menahan sebanyak enam buah kapal nelayan China dan seramai 60 orang anak kapal di perairan negeri Johor. Keenam-enam buah kapal tersebut yang didaftarkan di Qinhuangdao, 1300km ke utara Shanghai, sedang dalam perjalanan ke perairan Mauritania di barat Afrika apabila mengalami kerosakan berhampiran Tanjung Setapa di Pengerang. Kapal-kapal tersebut ditahan kerana berlabuh dalam perairan Malaysia tanpa kebenaran.

Apa yang menarik di sini ialah keenam-enam buah kapal tersebut adalah dalam perjalanan sejauh berpuluh ribu batu nautika untuk menangkap ikan di barat benua Afrika. Menurut kajian Overseas Development Institute, China mempunyai sebanyak 16,966 buah kapal nelayan jarak jauh. Dari jumlah tersebut, sebanyak 12,490 buah beroperasi di luar perairan China yang diiktiraf antarabangsa di antara tahun 2017 dan 2018. China menguatkuasakan sempadan perairannya mengikut nine-dash line yang direkanya pada tahun 2012 yang bertentangan dengan UNCLOS.

Selain penguatkuasaan yang dilakukan oleh China Coast Guard (CCG) berkenaan sempadan perairannya, penguatkuasaan juga dibuat ke atas tempoh larangan memancing di perairan Laut China Selatan. Penguatkuasaan ke atas larangan tersebut menyaksikan pertembungan di antara nelayan Vietnam dengan CCG. Dalam sebuah kes dalam bulan Jun 2020, sebuah bot nelayan Vietnam telah dikepung dan dilanggar hingga rosak oleh kapal-kapal milik CCG. Awak-awak bot Vietnam tersebut ditahan dan disiksa serta dipaksa menandatangani sebuah dokumen yang memaksa mereka mengakui perbuatan mereka melanggar tempoh larangan menangkap ikan.

Vietnam selama ini menggunakan tindakan diplomatik untuk membantah tindakan CCG, namun penggunaan saluran diplomatik yang terlalu kerap tidak membawa sebarang makna tanpa tindakan yang lebih keras untuk mempertahankan kedaulatan perairannya hinggakan nota-nota bantahan itu dianggap retorik semata-mata serta dimomok oleh rakyat Vietnam sendiri.

Tindakan CCG menghalau bot-bot nelayan Vietnam memaksa mereka untuk belayar lebih jauh ke Selatan untuk menangkap ikan, dan ini mengakibatkan mereka sanggup menceroboh ke dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) lain-lain negara termasuk Malaysia dan Indonesia. Keadaan ini menjadikan mereka lebih terdesak; maka terjadilah insiden-insiden keganasan di laut termasuk serangan ke atas bot ‘Penyelamat 7‘ milik APMM baru-baru ini yang berakhir dengan kematian seorang nelayan Vietnam.

Bukan mudah bagi sebuah agensi barisan hadapan masa aman seperti APMM untuk mengawasi dan mempertahankan kedaulatan perairan Malaysia yang seluas 614.159 kilometer persegi. ZEEnya sahaja mempunyai keluasan sebanyak 453,186 kilometer persegi. Majoriti aset yang dimiliki APMM bukan sahaja lebih sesuai digunakan di kawasan laut wilayah iaitu sekitar 12 batu nautika (22 kilometer) dari garis dasar (titik purata paras air surut terendah), malah ada yang berusia lebih 60 tahun dan boleh mendatangkan bahaya kepada anak kapal sekiranya dirempuh atau terperangkap dalam ribut dan gelombang yang kuat. Aset-aset ini juga tidak mampu menandingi aset-aset CCG yang jauh lebih besar dan berkeupayaan untuk berada di kawasan rondaan lebih lama.

Penggunaan aset-aset TLDM untuk membantu mengawasi dan mempertahankan kedaulatan perairan Malaysia di waktu aman juga hanyalah bersifat ‘barisan kedua.’ Penggunaan aset-aset tentera untuk membuat tugasan penguatkuasaan sebenarnya tidak langsung sesuai, malah lebih mudah untuk mencetus konflik di antara Malaysia dan negara-negara yang menceroboh. Pada bulan April 2012, sebuah kapal peronda tentera laut Filipina, ‘BRP Gregorio del Pilar‘, telah dihalang oleh dua buah kapal “penyelidikan” milik China iaitu ‘Zhonggou Haijian 75‘ dan ‘Zhonggou Haijian 84‘ daripada menahan lapan buah bot nelayan China di persekitaran Terumbu Scarborough. Ianya menjadi sebuah insiden diplomatik yang lebih sukar ditangani pada ketika itu kerana China lebih sukar untuk berkompromi kerana sebuah aset tentera telah digunakan.

Berbalik kepada 12,490 buah kapal nelayan jarak jauh milik China yang beroperasi di luar perairan China yang diiktiraf antarabangsa, kekurangan aset dan penggunaan aset-aset yang tidak bersesuaian dengan kehendak operasi sudah tentu menyukarkan APMM. Sebagai sebuah agensi separa-tentera, ianya memerlukan aset-aset yang lebih besar, lebih keupayaan tembakan untuk menguatkuasakan undang-undang yang berhubung dengan wilayah maritim negara. Kehadiran kapal-kapal nelayan yang diiringi aset-aset CCG di kawasan Gugusan Beting Raja Jarom (North Luconia Shoals), Gugusan Beting Patinggi Ali (South Luconia Shoals) dan Beting Serupai (James Shoal) mencabar kewibawaan serta memberi calar kepada imej APMM.

CCG juga telah dikesan hadir mengiringi kapal-kapal nelayan China dalam perairan Indonesia di sebelah utara Kepulauan Natuna dalam bulan September 2020. Ini bermakna kita mungkin bakal menyaksikan insiden-insiden yang serupa dengan insiden yang melibatkan kapal ‘Haiyang Dizhi 8‘ milik China dengan kapal ‘West Capella‘ di barat-laut Sabah, tetapi kali ini di kawasan-kawasan carigali minyak di luar pesisir pantai timur Semenanjung pula.

Kerajaan harus membina keupayaan APMM sebagai agensi mutlak menguatkuasakan undang-undang berkaitan maritim di Malaysia. Kewujudan APMM pada dasarnya adalah untuk menyatukan kesemua 11 agensi berkaitan maritim di Malaysia. Namun, kehendak politik yang lemah masih menyebabkan peruntukan kewangan disalurkan kepada agensi-agensi yang sepatutnya tidak lagi melakukan penguatkuasaan undang-undang maritim. Ini adalah di antara sebab APMM bukan sahaja tidak mendapat peruntukan yang diperlukan, malah dianggap setara dengan agensi-agensi yang ia sepatutnya gantikan. Walhal, dalam apa jua keadaan yang melibatkan segala jenis insiden di laut, baik pencerobohan nelayan Kelas C dalam zon Kelas A, penyeludupan rokok dari negara jiran, penyekatan kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) kesemuanya diletakkan oleh persepsi masyarakat di atas bahu APMM dan bukannya 11 agensi tersebut.

Selain aset-aset yang berpatutan, berkeupayaan dan bersesuaian, Malaysia juga harus gunakan pendekatan diplomatik untuk membawa usul supaya UNCLOS memberi takrif mutlak dan spesifik terhadap gugusan-gugusan pulau dan terumbu seperti yang berada di Laut China Selatan agar lebih mudah untuk keputusan-keputusan International Tribunal for the Laws of the Sea (ITLOS) dikuatkuasakan. Mungkin tidak keterlaluan juga dicadangkan, dalam ketiadaan suatu badan perjanjian seperti NATO, supaya Malaysia, Filipina, Vietnam dan Indonesia membuat satu gabungan agensi-agensi penguatkuasaan maritim untuk berhadapan dengan ancaman pihak China, disamping mengadakan perjanjian-perjanjian serupa dengan Malaysia-Thailand Joint Development Authority, tetapi untuk perikanan. Ianya lebih bermakna berbanding tunduk kepada kehendak China untuk mengiktiraf kedaulatan China di ZEE Malaysia.

Amatlah diharap agar Kementerian Kewangan dapat meluluskan peruntukan yang dimohon oleh pihak APMM demi maruah dan imej negara semasa pembentangan bajet tidak lama lagi.