Sikap China Bakal Jejaskan Kedaulatan Perairan Malaysia

220 buah kapal militia maritim Tentera China telah melabuhkan sauh di kawasan Whitson Reef

Laksamana Philip Davidson, Komander Tentera Laut Amerika Syarikat (USN) di rantau Indo-Pasifik semasa memberi kenyataan kepada Jawatankuasa Senat untuk Perkhidmatan Bersenjata berkata beliau risau dengan perkembangan cita-cita tentera laut China (PLAN) untuk mengambil alih kedudukan USN sebagai tentera laut terulung, di samping mengenepikan peraturan berasaskan perundangan (rules-based order).

Setakat penghujung tahun 2020, jumlah kapal perang PLAN telah mengatasi jumlah yang dimiliki USN dengan kadar 1.2:1. Menurut Pejabat Risik Laut USN (ONI), pada tahun 2015 PLAN mempunyai 255 buah kapal perang. Kini ia memiliki 360 buah kapal perang berbanding 297 milik USN. PLAN dijangka memiliki 400 buah kapal perang dalam tahun 2025 berbanding 355 untuk USN. Kapal-kapal yang diterima oleh PLAN kini adalah jauh lebih canggih berbanding yang pernah dimilikinya dua dekad lalu. Malah, kapal pembinasa Jenis 055 dikatakan memiliki sistem dan persenjataan yang mengatasi kecanggihan kapal pembinasa kelas Ticonderoga milik USN.

PERTAHANAN LAUT DEKAT/PERLINDUNGAN LAUT JAUH

China selama ini mengamalkan doktrin pertahanan laut dekat di mana aset-aset pertahanan adalah lebih sesuai untuk mempertahankan tanah besar China dari serangan luar dan mempertahankan Taiwan dari sebarang percubaan tentera asing untuk menawan pulau tersebut semula setelah ditawan semula oleh China.

Doktrin ini kini telah dilengkapkan dengan doktrin perlindungan laut jauh. Dalam situasi peperangan, China perlu tentukan penguasaannya ke atas laluan-laluan perhubungan laut (SLOC) yang membawa bekalan-bekalan barang-barang keperluan kepadanya. Untuk tujuan tersebut, ia perlu meletakkan aset pertahanan jauh dari tanah besar. Untuk menentukan penguasaan ke atas mineral dan khazanah dasar laut, Pengawal Pantai China (CCG) dikerahkan untuk mencegah kemasukan bot-bot nelayan serta kapal-kapal gerudi miik negara yang mempunyai tuntutan ke atas zon-zon maritim Laut China Selatan (SCS).

CCG yang baru-baru ini diberi kuasa untuk menggunakan kekerasan termasuk melepaskan tembakan ke arah mana-mana vesel yang dianggap menceroboh kawasan perairannya termasuk vesel-vesel penguatkuasaan negara-negara tersebut, termasuk milik Maritim Malaysia.

China menggunakan alasan memperkasakan tentera laut jarak jauh untuk memberi bantuan bencana kemanusiaan (HDR) dan lain-lain bantuan masa aman, tetapi ini merupakan konsep yang boleh bertukar kepada operasi ofensif jarak jauh untuk mencapai cita-cita perlindungan laut jauh.

Selain CCG, satu pasukan yang tidak boleh kita pandang remeh ialah pasukan militia maritim milik China (PLAMM) yang sering menggunakan bot-bot nelayan besar yang diperkukuhkan strukturnya. Anak-anak kapalnya diambil dari kalangan veteran tentera, dan setiap kapal mempunyai stor simpanan senjata api kecil. Dengan haluan yang diperbuat dari besi, kapal-kapal ini juga dilengkapi dengan meriam air, menjadikan mereka kapal-kapal yang paling berkuasa, mempunyai kebolehan untuk menghentam atau melanggar mana-mana kapal asing dan melakukan serangan.

Kedua-dua CCG dan PLAMM kini diletakkan di bawah naungan Angkatan Tentera China (PLA).

Melalui CCG dan PLAMM, kerajaan China berpeluang menulis semula peraturan kebebasan pelayaran (rules of freedom of navigation), perkukuhkan tuntutan-tuntutan maritimnya, menguasai sumber-sumber penting, dan memperluaskan jangkauan ekonominya di seluruh dunia.

SIKAP CHINA DAN PERSEDIAAN MALAYSIA

China mungkin tunjukkan sikap kerjasama dengan negara-negara serantau. Walaupun begitu, sikap China terhadap Vietnam dan Hong Kong boleh dijadikan iktibar.

Semasa campurtangan Amerika Syarikat dalam Perang Saudara Vietnam, China telah memberi sokongan kepada Vietnam Utara untuk mengekang pengaruh Amerika Syarikat dan Soviet Union di negara jirannya itu. Namun, pada tahun 1974 dan 1988, China telah bertempur dengan Vietnam untuk berebut terumbu-terumbu di Kepulauan Paracels dan Spratlys. Pada tahun 1979, China telah melanggar Vietnam sebagai tindakbalas pendudukan Vietnam di Kampuchea.

Walaupun sejak 2005 China lebih gemar menggunakan CCG dan PLAMM untuk cuba menguasai Laut China Selatan dan Laut China Timur (ECS), ia masih mengamalkan sikap ‘paksaan dan pencerobohan‘ (coercion and aggression) untuk menakut-nakutkan jirannya. Contoh termasuk sikap campurtangannya dalam hal-ehwal demokrasi di Hong Kong, persengketaan di sempadannya dengan India, dan juga tanpa ragu-ragu menenggelamkan bot-bot nelayan Vietnam.

Kehadiran 220 kapal PLAMM di Terumbu Whitsun adalah merupakan contoh terkini. Terumbu Subi yang ditambaknya pada tahun 2014 kini telah menerima tambakan tambahan dengan keluasan sekitar tujuh ekar. Kedudukan terumbu ini hanya sekitar 14 batu nautika (26 kilometer) jaraknya dari Pulau Thitu (Pag-asa dalam Bahasa Tagalog).

Dengan menggunakan CCG dan PLAMM, China cuba mencapai hajat untuk mengawal dan menyekat kemasukan kapal-kapal perang dan penguatkuasaan negara-negara asing ke kawasan-kawasan yang dituntut olehnya. Kemudian, ia akan gunakan PLAN untuk mengembangkan unjuran kuasa (force projection expansion) dan meningkatkan keupayaan mengekang pencerobohan kawasan (area-denial capability) di SCS dan ECS.

Filipina telah selesai membina sebuah pelantar mendarat (beaching ramp) di Pulau Pag-asa manakala Vietnam telah memperkukuhkan pertahanan udara dan pesisiran pantai di Pulau Sin Cowe sebagai tindakbalas terhadap sikap China.

Di sini kita dapat lihat betapa pentingnya peranan yang dimainkan oleh Maritim Malaysia dalam perairan Zon Kelabu. Sebagai sebuah agensi penguatkuasaan awam separa-tentera (paramilitary civilian enforcement agency), penggunaan aset-aset Maritim Malaysia sebagai respon untuk memintas aset-aset CCG dan PLAMM adalah lebih bersifat diplomatik berbanding penggunaan aset-aset milik TLDM. Aset-aset Maritim Malaysia memberi ruang untuk penyelesaian diplomatik manakala penggunaan aset-aset TLDM untuk tujuan yang sama dilihat lebih bersifat agresif.

Lebih banyak perhatian perlu diberikan terhadap pembangunan aset-aset laut dan udara Maritim Malaysia di samping aset-aset sokongan seperti pangkalan sendiri serta sistem Perintah, Kawalan, Komunikasi, Komputer, Risikan, Pemantauan dan Peninjauan (C4ISR) nya sendiri, untuk menentukan kedaulatan ZEE Malaysia terpelihara. Aset-aset ini perlu mampu bersaing dengan aset-aset CCG terutamanya bukan sahaja untuk mengekang kemasukan secara haram aset-aset CCG dan PLAMM, malah juga kapal-kapal nelayan jarak jauh (DWF) yang dilindungi kedua-dua buah organisasi ini.

Kerajaan harus sedar bahawa tanpa aset-aset ini, CCG, PLAMM dan kapal-kapal DWF mereka akan berleluasa di perairan kita, sambil menghalang dan mengganggu bot-bot nelayan tempatan. Usaha China menuntut kawasan dan khazanah milik kita sudah tentu akan merugikan kita, apatah lagi dengan kerosakan ekologi dan ekosistem laut kita yang dilakukan melalui penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak dikawal (illegal, unreported and unregulated fishing – IIU).

Jika tiada usaha yang menyeluruh dan serius oleh kerajaan untuk membangunkan keupayaan Maritim Malaysia, trend yang dibawa oleh China akan mengancam dan menjejaskan bukan sahaja kedaulatan, tetapi juga bidang keselamatan (realm of security) bukan tradisi negara ini seperti ekologi dan ekonominya.

Mereka Mengundang Bahaya Agar Kita Dapat Lena

Salah sebuah pesawat Bombardier CL-415MP dari dua buah yang dimiliki Maritim Malaysia, bersiap sedia untuk melakukan rondaan maritim malam.

Setiap hari selama lima hari dalam minggu pertama bulan Disember 2020, secara puratanya kapal Maritim Malaysia KM Malawali telah mengusir sebanyak 36 buah bot nelayan Indonesia dari perairan negeri Perak. Begitulah cabaran yang dihadapi oleh pihak Maritim Malaysia negeri Perak khususnya dalam era pandemik COVID-19 ini.

Di sebelah Barat Laut Semenanjung Malaysia pula, kemungkinan para penyeludup gunakan laluan laut untuk menyeludup masuk dan keluar barangan juga kian bertambah setelah Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) ketatkan lagi kawalan di sempadan Utara Semenanjung berikutan kejadian tembak-menembak dengan para penyeludup yang telah mengorbankan seorang anggota Pasukan Gerakan Am, Polis DiRaja Malaysia akhir bulan lepas.

Pandemik COVID-19 telah mengakibatkan pengangguran pada skala yang besar bukan sahaja di negara ini, malah juga di negara-negara jiran. Dalam bulan Ogos 2020 sahaja, seramai 2.67 juta orang pekerja di Indonesia telah hilang pekerjaan, menjadikan keseluruhan jumlah pengangguran sejak bermulanya wabak ini kepada 29.12 juta orang.

Dalam bulan yang sama, sebuah laporan yang dihasilkan bersama oleh Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menyatakan bahawa wabak COVID-19 akan menyebabkan di antara 1,117,000 dan 1,675,000 orang akan hilang pekerjaan di Bangladesh dalam tahun ini sahaja.

Perairan Malaysia bukan sahaja terbuka kepada cabaran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dari kedua-dua buah negara tersebut yang ingin mencari peluang pekerjaan serta mengambil kesempatan ke atas program Rekalibrasi PATI yang diumumkan baru-baru ini, tetapi juga kepada para penjenayah serta penyeludup dari negara jiran.

Buktinya jelas apabila Maritim Malaysia Negeri Pulau Pinang berjaya menahan satu percubaan menyeludup masuk dadah jenis Methamphitamine dan Ecstasy pada jam 8.20 malam, 3 Disember 2020 baru-baru ini.

Pengarah Maritim Pulau Pinang Kepten (M) Abd Razak Mohamed berkata ini merupakan rampasan dadah terbesar di negeri Pulau Pinang tahun ini. Setelah berlakunya aksi kejar-mengejar di laut selama lebih kurang 30 minit, dua orang individu ditahan bersama sebuah bot yang dipacu dua buah enjin sangkut dengan kekuatan 500 kuasa kuda bernilai RM150,000, manakala hablur kristal dadah yang dirampas adalah di anggar seberat 240 kilogram dengan nilai anggaran sebanyak RM10.53 juta. Ini menjadikan nilai rampasan pada malam tersebut berjumlah RM10.68 juta.

Pada 1 Disember 2020, sebuah pesawat sayap kaku jenis Bombardier CL-415MP milik Maritim Malaysia telah melakukan rondaan malam di perairan Utara pantai Barat Semenanjung Malaysia. Kawasan rondaan pesawat ini yang dipandu oleh Leftenan Komander (M) Yusni bin Sari dengan dibantu oleh Leftenan Komander (M) Mohammad Azli bin Razali selaku pembantu juruterbang merangkumi perairan negeri-negeri Perlis, Kedah (termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Perak), Pulau Pinang, dan Perak (termasuk Pulau Jarak) iaitu sebuah kawasan berkeluasan 7200 batu nautika persegi.

Rondaan seumpama ini dilakukan untuk mempertingkatkan Kesedaran Penguasaan Maritim (Maritime Domain Awareness) – atau MDA, pihak Maritim Malaysia khusunya, dan seluruh pasukan keselamatan amnya. Peningkatan MDA hanya boleh dilakukan dengan mengumpul maklumat mengenai semua jenis kapal, bot dan apa jua aktiviti maritim yang berada dalam perairan Malaysia, dan kemudiannya dirujuk bersama maklumat yang dikumpulkan oleh lain-lain agensi keselamatan, dianalisa dan dijadikan asas serta rujukan untuk operasi-operasi yang bakal dilakukan di masa hadapan.

Pengumpulan data dan maklumat serta rakaman video dan gambar-gambar dilakukan oleh Leftenan Komander (M) Mohd Hafizi bin Mohd Nor selaku Air Surveillance Operator (ASO) atau Pegawai Sistem Operasi Udara penerbangan tersebut. Dua orang anak kapal iaitu Bintara Kanan (M) Jamaludin bin Masri dan Laskar Kanan (M) Mohd Faizul bin Mat Yamme membantu pengoperasian pesawat.

Ternyata perairan Malaysia menjadi tumpuan bot nelayan asing (BNA) apabila pesawat mengesan kehadiran 43 buah BNA yang sedang rancak melakukan aktiviti penangkapan ikan lebih 8 batu nautika ke dalam perairan negeri Perak, lebih kurang 31 batu nautika ke arah Barat Laut dari Pulau Jarak. Leftenan Komander (M) Mohd Hafizi dengan segera berhubung dengan kapal ronda KM Malawali yang dinakhodai oleh Pegawai Memerintah Bertugas, Leftenan Komander (M) Fadzliana binti Fadzil, yang kemudiannya telah berkejar ke lokasi untuk tindakan pengusiran. KM Malawali telah mengiringi kumpulan BNA tersebut sehingga mereka kembali berada di dalam perairan negara mereka sendiri.

Kapal Maritim Malawali menjadi benteng utama penghindaran PATI dan lain-lain anasir di perairan negeri Perak

Walaupun merupakan para juruterbang yang amat berpengalaman, Leftenan Komander (M) Yusni dan Leftenan Komander (M) Mohammad Azli tetap berhadapan dengan risiko-risiko penerbangan malam seperti kekeliruan ruang (spatial disorientation) dan persekitaran penglihatan yang merosot (degraded visual environment) ketika membuat penerbangan waktu malam walaupun dalam keadaan cuaca penglihatan (Visual Meteorological Condition atau VMC). Ini adalah kerana amat mudah untuk terkeliru di antara kegelapan laut dan langit. Biarpun terdapat bintang-bintang di langit, namun lampu-lampu bot-bot dan kapal-kapal juga boleh mengelirukan keadaan, terutamanya apabila juruterbang perlu terbang dengan rendah seperti pada malam rondaan tersebut, iaitu sekitar 300 kaki (91 meter) dari paras laut. Hanya pengalaman dan kecekapan para juruterbang sahaja yang menjadi benteng di antara kejayaan operasi dan tragedi.

Begitu juga dengan para pegawai dan anggota Maritim Malaysia negeri Pulau Pinang dan KM Malawali yang terpaksa berhadapan dengan kemungkinan bahaya serangan balas daripada para pelaku kesalahan yang terdesak untuk meloloskan diri. Anda lihatlah sendiri aksi kejar-mengejar pada malam 3 Disember 2020 di perairan Pulau Pinang dan perhatikan sendiri bagaimana mereka sanggup membahayakan diri supaya kita dapat lena diulit mimpi.

Kejadian kejar-mengejar di antara bot penyeludup dadah dan bot Maritim Malaysia di perairan Gertak Sanggul dan Teluk Kumbar, Pulau Pinang pada 3 Disember 2020.