Kenapa APMM Pula Yang Dipersalahkan?

Rondaan malam menguatkuasakan perintah berkurung di perairan ESSZONE

Kita mulakan artikel hari ini dengan sedikit matematik mudah.

Kalau kita buat pengiraan kasar, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mempunyai sekitar 250 buah aset permukaan laut, termasuk 70 buah yang boleh dikategorikan sebagai kapal yang sebahagiannya adalah hibah daripada agensi-agensi kerajaan yang berusia di antara 20 hingga 40 tahun. Baki 180 buah aset permukaan laut adalah bot-bot ronda laju kecil yang sudah semestinya tidak mempunyai ketahanan (endurance) yang jauh di laut.

Keluasan perairan negara pula berjumlah 556,285 kilometer persegi. Daripada jumlah tersebut perairan laut lepas yang bermula dari sempadan laut wilayah 12 batu nautika hingga ke pelantar benua termasuk Zon Ekonomi Eksklusif ialah 397,118 kilometer persegi. Baki 159,167 kilometer persegi selebihnya merupakan perairan dalaman dan perairan wilayah.

Sekarang kita lihat pula penyata rasmi mesyuarat pertama Dewan Rakyat Parlimen Kesebelas, Penggal Pertama bertarikh 14 Jun 2004 mengenai penubuhan APMM itu sendiri. Dewan telah dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu bahawa APMM ditubuhkan untuk menggantikan penguatkuasaan maritim oleh 11 buah agensi kerajaan seperti Polis DiRaja Malaysia cawangan Marin, Jabatan Perikanan, Jabatan Imigresen dan lain-lain, untuk menamatkan masalah pertindihan kawasan, fungsi dan bidang kuasa kesebelas buah agensi tersebut.

Dewan juga dimaklumkan bahawa bagi permulaan penubuhan, aset-aset dan anggota kesebelas agensi kerajaan tersebut akan diserahkan kepada APMM dan tidak lagi menjalankan fungsi penguatkuasaan undang-undang negara di laut. Ini bermakna APMM ketika itu bakal memulakan fungsinya dengan penyerapan hampir 5,000 orang anggota dan 400 buah aset permukaan laut. Dengan penubuhan APMM, agensi-agensi tersebut tidak perlu lagi membuat perolehan aset-aset permukaan laut.

Namun, setelah wujud selama 17 tahun 2 bulan, APMM masih hanya mempunyai keanggotaan lebih kurang 4,500 orang termasuk kakitangan sokongan dan 250 buah aset permukaan laut. Cawangan Marin 11 agensi-agensi yang sepatutnya diambil alih oleh APMM masih membuat perolehan aset permukaan laut dan mengekalkan perjawatan-perjawatan mereka. Ini bermakna sumber kewangan kerajaan untuk APMM membuat perolehan besar-besaran serta penambahan perjawatan masih menjadi impian yang tidak tercapai kerana lemahnya kerajaan itu sendiri dalam memenuhi kehendak Akta yang ianya sendiri luluskan di dalam Dewan pada hari tersebut.

Kita lihat semula jumlah aset APMM yang sedia ada. Untuk jarak laut wilayah berkeluasan 159,167 kilometer persegi tadi, setiap daripada 180 buah bot ronda kecil tadi mempunyai kawasan tanggung jawab seluas 890 kilometer persegi atau kawasan berupa kotak yang mempunyai 29.83 kilometer panjang darab depa 29.83 kilometer juga.

29.83 kilometer adalah hampir lapan kilometer melebihi jangkauan penglihatan kita di permukaan laut. Sekiranya anda berdiri di tepi pantai, jarak di antara anda dengan ufuk yang kelihatan hanyalah sejauh 22 kilometer (12 batu nautika).

Boleh atau tidak anda bayangkan sebuah bot ronda kurang dari 40 kaki (12 meter) dengan tiada bekalan air, dapur memasak, tempat tidur, melakukan rondaan hampir 1,000 kilometer persegi setiap hari? Hakikatnya, para pegawai dan anggota bot-bot ronda kecil ini berada di laut dan dilambung ombak selama seharian dan semalaman sebelum perlu pulang ke jeti untuk ulang bekal, termasuk kerana makanan yang dibekalkan sejak mula buat rondaan telah basi.

Untuk tanggungjawab membuat rondaan laut lepas Zon Maritim Malaysia seluas 397,118 kilometer persegi yang digalas oleh 70 buah aset besar berusia di antara 20 hingga 40 tahun pula, setiap aset perlu awasi kawasan tanggung jawab seluas 5,675 kilometer persegi. Kapal-kapal ronda pelbagai jenis ini mempunyai ketahanan di laut yang berbeza-beza di antara 5 hari ke 20 hari mengikut saiz dan jenis, sebelum perlunya ulang bekal dilakukan.

Dengan kekangan-kekangan dari segi aset, keanggotaan dan kewangan yang dihadapi APMM, dalam tahun 2021 sahaja ia telah membuat sebanyak 183 tangkapan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan lima tangkapan di bawah Akta Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Sebelum-sebelum ini memang warga asing termasuk kaum Rohingya sememangnya giat mencari jalan untuk masuk ke dalam negara. Kita lihat statistik penangkapan oleh APMM seperti berikut:

2018 – 531 orang ditahan; 2019 – 745 orang ditahan; 2020 – 896 orang ditahan; 2021 – 397 orang ditahan.

Jumlah yang ditahan dalam tahun 2021 menurun dengan mendadak kerana APMM membuat tindakan menghalau keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) dan kaum Rohingya semasa di laut lagi untuk elakkan penularan wabak COVID-19 yang bakal dibawa masuk.

Maka, adalah amat menghairankan apabila penganalisis jenayah Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim membuat dakwaan bahawa lebih ramai PATI yang lolos masuk ke dalam negara berbanding 30 hingga 45 yang ditahan di sempadan negara setiap hari. Beliau menyalahkan APMM di atas perkara tersebut.

Saya tidak tahu dari mana beliau perolehi statistik beliau tetapi beliau membuat andaian bahawa PATI yang menceroboh perairan negara adalah lebih bijak kerana menggunakan bot yang diacu enjin 200 kuasa kuda jikalau tahu APMM gunakan bot 100 kuasa kuda.

Pertama sekali, enjin bot bukanlah sesuatu yang murah. Sebuah enjin luar (outboard motor) 350 kuasa kuda berharga sekitar RM250,000 sebuah. Bot-bot ronda laju APMM pun kesemuanya mempunyai daya paling kurang 1,000 kuasa kuda.

Kedua, pedagang dan penyeludup migran tidak menggunakan bot laju berkuasa tinggi kerana kos pengoperasian sahaja tidak berbaloi dengan jumlah PATI yang boleh di bawa oleh sebuah bot laju. Kos minyak petrol untuk menyeberang Selat Melaka sahaja sudah melebihi kemampuan para PATI dan jumlah orang yang boleh dibawa oleh bot laju tidak ramai. Sebab itu pedagang dan penyeludup migran lebih gemar gunakan bot-bot seperti tongkang besar yang berenjin disel, lebih tahan ombak besar, perlahan tetapi boleh membawa muatan PATI yang ramai.

Bot laju berkuasa besar biasanya hanya akan digunakan oleh penjenayah seperti penyeludup barangan bernilai tinggi seperti dadah, dan bukannya PATI.

Di pesisir pantai timur Sabah pula (ESSZONE), perintah berkurung berkuat kuasa di perairan bermula jam 6 petang hingga 6 pagi. Sebarang bot yang bergerak di antara waktu-waktu tersebut boleh dikenakan tindakan termasuk kekerasan melampau. Setakat pemerhatian saya (semasa menulis saya berada di kawasan ESSZONE) tidak ada satu bot pun yang kelihatan atau kedengaran selepas jam 6 petang kecuali bot-bot pasukan keselamatan.

Jangan lupa bahawa satu lagi aset milik APMM iaitu Sistem Pengawasan Laut Maritim Malaysia (SWASLA) banyak memainkan peranan pengesanan awal pencerobohan sempadan maritim Malaysia. Sistem ini juga digunakan untuk membolehkan lain-lain agensi di bawah National Task Force (NTF) yang melaksanakan Op Benteng untuk membanteras kegiatan menceroboh sempadan perairan negara.

Saya percaya kenyataan Shahul Hamid lebih merupakan serkap jarang kerana menunjukkan ketidak fahaman beliau dalam memperhalusi isu ini dan tidak berlandaskan fakta mahupun logik.

Sekarang, kita lihat semula bot ronda laju APMM yang setiap sebuah perlu menjaga kawasan rondaan berukuran 29.83 kilometer darab 29.83 kilometer (16 batu nautika darab 16 batu nautika).

Sekiranya bot PATI berkelajuan 10 knot (18 kmj) dikesan berada pada kedudukan 16 batu nautika dari kedudukan bot APMM tersebut, masa yang diperlukan oleh sebuah bot APMM yang berkelajuan 40 knot (72 kmj) untuk memintas bot PATI tersebut ialah 30 minit (kerana bot PATI tersebut masih bergerak).

Maka, untuk mengurangkan jumlah masa untuk melakukan pintasan yang lebih efektif ialah dengan mengurangkan jarak kawasan rondaan bot APMM tersebut? Bukankah aset yang lebih akan dapat kurangkan saiz kawasan rondaan?

Jika benar, bukankah tanggungjawab kerajaan untuk memastikan APMM memperolehi aset dan anggota yang mencukupi? Sekiranya kewangan menjadi punca, kenapa 11 buah agensi yang sepatutnya digantikan oleh APMM masih beroperasi?

Sekarang kita pulangkan persoalan ini kepada pihak berwajib.