
Umum risau setiap hari semakin ramai pekerja yang terpaksa diberhentikan sama ada akibat penutupan tempat kerja ataupun tindakan majikan mengurangkan jumlah pekerja demi menyelamatkan perniagaan mereka.
Di era pandemik COVID-19, kita dapat melihat fenomena yang sama berlaku di seluruh dunia. Berjuta orang yang telah hilang pekerjaan.
Turut dirisaukan juga adalah kemungkinan meningkatnya kadar jenayah berikutan penambahan jumlah penganggur yang mendadak. Hakikatnya, kadar jenayah adalah semakin menurun.
Kadar pengangguran terkini setakat suku ketga tahun ini ialah 4.6 peratus dari jumlah pekerja. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah pekerjaan dalam sektor swasta menurun sebanyak 181,000 menjadikan jumlah pekerjaan sektor swata sebanyak 8.47 juta berbanding suku ketiga 2019. Dari angka tersebut, 97.9 peratus jawatan telah diisi manakala 2.1 peratus masih kosong.
Ini bermakna, masih terdapat 179,000 kekosongan jawatan untuk pekerjaan separa-mahir manakala 21,000 pekerjaan baharu telah wujud untuk pekerja tanpa kemahiran. 100,000 kekosongan masih ada dalam sektor perkilangan.
Apa yang diperlukan hanyalah kesanggupan rakyat Malaysia yang telah kehilangan pekerjaan untuk mengkalibrasikan kemahiran mereka untuk menceburi bidang baharu.
Apa yang dapat kita lihat sejak bermulanya PKP pada 18 Mac 2020 ialah betapa ramainya para pekerja berkemahiran tinggi yang telah menyesuaikan diri dengan menjalankan perniagaan dan pekerjaan baharu seperti menjadi rider penghantar, taukeh tauhu bergedil yang berniaga dari rumah, dan menjalankan perniagaan detailing kereta dari rumah ke rumah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM dalam satu kenyataan mengenai penularan trend jenayah ragut berkata kes jenayah yang dilaporkan bagi tempoh dari 1 Januari 2020 hingga 15 November 2020 ialah sebanyak 56,117 kes berbanding 72,836 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas. Ini bermakna jumlah keseluruhan kes jenayah telah menurun sebanyak 16,719 kes atau 23 peratus.
Bagi jenayah ragut pula, sebanyak 1,160 kes telah dilaporkan dalam tempoh yang sama berbanding 2,216 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas. Ini menunjukkan penurunan sebanyak 1,056 kes atau 47.65 peratus berbanding tahun lepas.
Sama ada ianya berhubung kait dengan penurunan kadar jenayah secara langsung ataupun tidak, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tahun ini setakat 2 November 2020 telah membuat pengusiran terkumpul Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) seramai 30,452 orang.
Tahun lepas sahaja telah menyaksikan seramai 192,260 orang PATI yang telah tampil untuk menyertai program ‘Back For Good.’ Jumlah kompaun yang telah diperolehi kerajaan ialah sebanyak RM134.6 juta.
Kerajaan, melalui inisiatif Rekalibrasi Pulang yang diumumkan oleh YB Menteri Dalam Negeri baru-baru ini, lebih ramai PATI dijangka akan tampil kehadapan untuk pulang ke negara asal mereka. Lebih baik juga bagi mereka kerana mereka akan menjalani saringan COVID-19 terlebih dahulu. Ini sekaligus menangkis tanggapan bahawa kerajaan tidak prihatin terhadap PATI yang dicanang oleh pihak-pihak tidak bertanggung jawab.
Inisiatif-inisiatif lain seperti Ops Benteng, Ops Kuda Laut dan lain-lain juga telah banyak membantu. Sebagai contoh, bagi tempoh 1 Januari 2020 hingga 21 Ogos 2020, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah membuat sebanyak 127,930 pemeriksaan, 18,731 penggeledehan dan 565 tangkapan. Bagi tempoh tersebut, hasil denda, lelong dan nilaian kompaun adalah sebanyak RM11.12 juta.
Kita tidaklah mengatakan bahawa rakyat Malaysia langsung tidak terlibat dalam perbuatan jenayah ataupun menyalahkan PATI semata-mata di atas jenayah-jenayah yang telah berlaku, tetapi kita harus berfikir secara rasional dan melihat ‘the big picture’ sebelum membuat sebarang andaian.
Berlaku adillah terhadap barisan hadapan kita yang bukan sahaja bersengkang mata untuk menjaga keselamatan kita, tetapi juga terdedah kepada bahaya seperti virus COVID-19 semasa menjalankan tugas. Janganlah kerana satu kes maka diperbesarkan seolah-olah negara ini tidak lagi selamat untuk didiami.
You must be logged in to post a comment.