Apabila Berniat Jahat

Siapa ingat cerita bodoh di atas?

Pertama sekali, kejadian di atas bukanlah sepertimana yang telah digembar-gemburkan oleh penyebar kisah yang menggunakan nama Abam Supir di Facebook.

Abam Supir mendakwa sekumpulan penari berpakaian tradisional Sarawak telah dihalau keluar dari taman KLCC kerana berpakaian sedemikian.

Kisah ini telah mendapat perhatian rakan blogger saya, Bigdog.

Menurut Abam Supir kumpulan penari ini telah dihalau kerana berpakaian kurang bersesuaian di taman KLCC dan telah disembur dengan kata-kata kesat.


Kisah ini telah ditularkan oleh beberapa portal di Internet dan disebarkan terutamanya di kalangan orang negeri Sarawak. Di antaranya memberi komen seperti berikut:


Menurut Bigdog, kumpulan penari ini sebenarnya menunggu masa untuk ke Angkasapuri untuk membuat persembahan apabila mereka dibawa ke KLCC untuk bergambar.

Namun mereka telah membuat suatu tarian dan ini bercanggah dengan undang-undang kecil DBKL.

Pihak sekuriti telah meminta daripada mereka permit DBKL yang diperlukan tetapi mereka tidak dapat menunjukkan sebarang permit.

Ini mendorong pihak sekuriti untuk menyuruh mereka menghentikan tarian tersebut dan memberi mereka nombor pihak berkenaan untuk mereka hubungi untuk mendapatkan permit persembahan.

Malangnya, Abam Supir telah bertindak untuk memesongkan kisah tersebut dan membuat seolah-olah orang di Semenanjung tidak menghormati dan tidak toleran terhadap adat budaya Sarawak, dua minggu sebelum perayaan paling penting masyarakat Sarawak iaitu Hari Gawai dirayakan.

Abam Supir telah memadamkan posting Facebook beliau yang tersebut, tetapi tidak sebelum ianya menular di media sosial.


Apabila seorang pengguna Facebook yang juga penggiat aktif Twitter berhadapam dengan beliau di Facebook, Abam Supir akui bahawa kumpulan tersebut telah membuat tarian di taman tersebut.


Akibat tindakan tidak bertanggungjawab  yang disengajakan okeh Abam Supir dan lain-lain yang hadir semasa kejadian tersebut berlaku, perasaan orang Sarawak telah terguris dan rasa marah terhadap orang Semenanjung mula membara.

Di atas perbuatan tersebut saya menggesa pihak Polis DiRaja Malaysia menyiasat Abam Supir dan lain-lain di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja berniat hendak mengapikan atau yang mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain.

Semoga mereka menjadi contoh dan pengajaran agar tidak menyebarkan fitnah dan menyalahgunakan platform kebebasan bersuara.

Majlis Perbandaran Klang Ditadbir Oleh Bangkai?

Adakah pentadbiran Majlis Perbandaran Klang (MPK) dilakukan oleh sekumpulan bangkai?

Saya nyatakan sebegini kerana pentadbiran MPK menyalahkan pihak Polis DiRaja Malaysia kerana tidak menghalang pihak MPK, selaku penganjur Fiesta Gegar Klang di Kompleks Sukan Pandamaran, daripada mengadakan pertunjukan bunga api sempena sambutan Malam Tahun Baru.

Pertama sekali, larangan pembakaran mercun dan bunga api masih berkuat kuasa. MPK sebagai sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) juga pasti mengetahui mengenai perkara ini.

Keduanya, sebagai sebuah PBT MPK harus mempunyai prosedur-prosedur yang tetap mengenai penganjuran sesuatu majlis atau pertunjukan sama ada yang dianjurkan di kawasan-kawasan milik MPK oleh penganjur luar mahupun oleh MPK sendiri.

Sudah tentu sebagai penganjur Fiesta, pihak MPK arif dengan prosedur-prosedurnya sendiri. Ini termasuk menyemak lesen mengimpot dan kelayakan menggunakan bunga api yang diberi oleh Kementerian Dalam Negeri untuk pertunjukan kepunyaan kontraktor yang dipertanggung jawabkan untuk membuat pertunjukan tersebut.

Sekiranya mereka tiada memiliki lesen mengimpot mahupun kelayakan membakar bunga api tersebut mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 4(2) Akta Bahan Letupan 1957 yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Maka, adakah MPK telah berlaku secara tidak bertanggung jawab memberi kontrak pertunjukan bunga api kepada sebuah syarikat yang tidak berlesen?

Ketiga, sebagai penganjur juga MPK bertanggung jawab menentukan jarak selamat di antara kawasan pembakaran bunga api tersebut dengan kawasan para penonton. Dari segi perundangan, MPK mempunyai duty of care untuk menentukan keselamatan para pengunjung di premis miliknya itu.

Keempat, kita semua tahu mengenai larangan pembakaran bunga api dan mercun yang masih berkuat kuasa. Kalau membakar mercun skala kecil oleh individu menjadi kesalahan, mustahil MPK berfikir tidak perlu memohon sebarang permit untuk pembakaran bunga api pada skala yang besar.

Orang yang pemikirannya normal sudah tentu akan memeriksa dengan kontraktor bunga api tersebut bukan sahaja berkenaan lesen, sijil kelayakan yang dinyatakan di atas, tetapi juga permit untuk mengadakan pertunjukan bunga api tersebut.

Hanya bangkai yang tidak berupaya berfikir sedemikian.

Maka, alasan mengatakan pihak PDRM yang menjadi sebahagian dari jawatankuasa Fiesta adalah amat daif. Saya berani katakan bahawa pihak PDRM dijemput hadir untuk kawalan trafik dan bukannya terlibat dengan tatacara perjalanan Fiesta tersebut.

Kalau saya seorang peguam yang mahu mengukir nama, dengan segera saya akan adakan khidmat guaman pro bono buat mereka yang tercedera mahupun yang mengalami trauma mental akibat kejadian tersebut dan saman pihak MPK dalam satu class action. Kes ini memang kes tentu menang.

Tak usahlah pihak MPK nak salahkan orang lain. MPK adalah penganjur, maka MPK sahajalah yang bertanggung jawab di atas kejadian tersebut.