SeaDemon Says

Posts Tagged ‘Sikorsky

Maafkan saya sekiranya artikel saya kali ini agak berbunga.  Ini adalah kerana kita berada di dalam bulan Jun, dan ada tiga peristiwa yang pernah dan telah berlaku dalam bulan Jun.

Peristiwa yang pertama ialah peperangan di Kepulauan Falklands 35 tahun yang lalu dalam bulan Jun yang telah memperlihatkan pertempuran-pertempuran sengit di antara Angkatan Tentera Argentina dengan Angkatan Tentera British.

Peristiwa kedua ialah pertemuan saya dengan seorang bekas anggota lain-lain pangkat Tentera Udara DiRaja Malaysia yang kini bertugas di salah sebuah stesen televisyen utama di Malaysia.  Saya teringatkan kata-kata beliau semasa kami sama-sama belayar di atas salah sebuah kapal milik Tentera Laut DiRaja Malaysia, iaitu, “Ramai sekarang lebih gemar berpakaian seperti tentera, berlagak seperti tentera, tetapi lalui latihan tentera untuk sehari pun tidak pernah.”

Peristiwa ketiga ialah peristiwa pelupusan sebuah pesawat Sikorsky S-61A4 Nuri yang telah menjadi buah mulut ramai sehingga ada yang sanggup merosakkan imej Angkatan Tentera Malaysia dan Kementerian Pertahanan.

Percaya atau tidak, ketiga-tiga peristiwa yang saya sebutkan di atas ada hubungkaitnya.  Kita mulakan dengan cerita hangat, iaitu, pelupusan sebuah pesawat Nuri yang MUNGKIN telah banyak berjasa.  Saya menggunakan dan menggariskan perkataan MUNGKIN itu kerana tidak ada sesiapapun yang boleh, dengan fakta, membuktikan bahawa pesawat tersebut setaraf dengan pesawat TUDM yang pertama, “Lang Rajawali (FM-1001)” ataupun kapal friget pertama yang dibina khusus untuk TLDM iaitu KD Rahmat.

Ada yang berinteraksi dengan saya melalui laman Facebook menyatakan bahawa pesawat Nuri tersebut pernah memainkan peranan membawa keluar para anggota tentera yang tercedera semasa tragedi Gubir pada tahun 1976.  MUNGKIN. Tetapi tidak mungkin ianya satu-satu helikopter yang telah membuat tugas tersebut pada ketika itu.  Bagaimana pula dengan trak tiga tan atau ambulan yang membawa anggota-anggota tersebut dari pesawat Nuri tersebut ke hospital?  Ada yang nak dipamerkan di muzium juga?

Namun, ada pihak yang tidak berpuas hati dan terus menjadikan isu ini tular di media sosial hingga terpaksa pihak Kementerian Pertahanan masuk campur.

Kenyataan Kementerian Pertahanan berhubung isu pelupusan sebuah pesawat Nuri

Mari kita lihat sebentar proses pelupusan harta kerajaan.

OBJEKTIF PELUPUSAN

Pelupusan sesuatu aset kerajaan adalah untuk memastikan kerajaan tidak menyimpan aset yang tidak diperlukan lagi atau yang tidak boleh digunakan lagi.  Ini adalah untuk menjimatkan ruang simpanan aset tersebut dan bleh menjanakan sedikit kewangan untuk kerajaan.

Dalam isu ini, ada yang mempertikaikan harga pelupusan pesawat tersebut yang dikatakan jauh lebih murah dari harga pasaran.  Untuk pengetahuan umum, kerajaan bukanlah sebuah badan untuk membuat keuntungan seperti badan swasta.  Sebab itu pelupusan pesawat Nuri tersebut tidak mengikut harga pasaran.  Begitu juga dengan tanah kerajaan. Penilaian tanah kerajaan tidak sama dengan penilaian tanah milik individu ataupun swasta.

Sebab itu juga faedah pinjaman perumahan bagi kakitangan kerajaan adalah pada kadar empat peratus.  Adakah anda bersetuju sekiranya kerajaan memberi pinjaman kepada kakitangannya mengikut Base Lending Rate yang dikenakan oleh sektor perbankan?

Maka, jangan samakan proses pelupusan kerajaan dengan proses pelupusan swasta.

JUSTIFIKASI PELUPUSAN

Ada beberapa kategori yang diberikan kepada aset-aset yang hendak dilupuskan.  Saya masih ingat satu ketika dahulu semasa Lembaga Audit Pelupusan datang ke pangkalan di mana saya bertugas, di antara barangan yang hendak dilupuskan adalah sejumlah rucksack (backpack) yang usang.  Bukannya rosak sangat pun, tetapi telah dikategorikan sebagai usang.  Beg-beg ini dipotong atau dikoyakkan di hadapan para juruaudit yang hadir.  Memang sayang. Tetapi ianya telah usang.

Dalam isu pelupusan pesawat Nuri di atas, pesawat tersebut telah membuat pendaratan cemas di Pulau Perak pada penghujung tahun 2014 mengakibatkan kerosakan teruk kepada rangka pesawat tersebutyang tidak ekonomi untuk dibaiki.  Saya yakin, setelah dibawa pulang ke pangkalan asal pesawat tersebut, ianya telah “digantung” dan dijadikan “pokok Krismas” di mana komponen-komponen yang boleh digunapakai sebagai alatganti lain-lain pesawat Nuri diambil dari pesawat tersebut.  Sebab itulah buruk betul rupa pesawat tersebut.

Setelah habis komponen-komponen penting diambil dari rangka pesawat tersebut, satu tender dikeluarkan untuk melupuskan rangka pesawat tersebut.

Satu permohonan dibuat oleh pihak Unit Pengurusan Aset Kementerian Pertahanan, kepada Perbendaharaan Malaysia untuk melupuskan pesawat tersebut yang mana disertakan juga laporan kemalangan pesawat tersebut serta gambar-gambar.  Kemudian satu Lembaga Pemeriksa Pelupusan akan ditubuhkan yang mana keanggotaannya juga melibatkan sekurang-kurangnya dua orang ahli yang tiada sangkut paut dengan aset yang hendak dilupuskan.  Setelah semua proses dokumentasi selesai, barulah tender pelupusan dikeluarkan.

KENAPA TIDAK DIBERIKAN KEPADA MUZIUM?

Aset yang dilupuskan boleh diberikan kepada mana-mana pihak yang membuat permohonan.  Tetapi ianya mesti memenuhi dua syarat:

  1. Ianya masih boleh digunakan lagi dalam bentuk dan fungsi asal tetapi tidak diperlukan lagi oleh agensi Kerajaan; atau
  2. Ianya tidak ekonomi diperbaiki tetapi boleh diguna sebagai bahan latihan dan pameran.  Sebagai contoh: KD Rahmat yang masih dalam keadaan sempurna.

Persoalannya, adakah pesawat Nuri tersebut masih sempurna rupanya dan boleh dibuat bahan pameran?  Anda lihat sendiri rupanya.

BAGAIMANA KISAH PESAWAT NURI INI BERHUBUNG KAIT DENGAN DUA LAGI KISAH DI ATAS?

HMS Broadsword (kiri) dan HMS Hermes (kanan) – gambar Wikipedia

Gambar di atas menunjukkan dua buah bekas kapal diraja Britain iaitu sebuah friget bernama HMS Broadsword dan kapal pengangkut pesawat HMS Hermes.  Kedua-dua buah kapal tersebut telah ternyata banyak berjasa kepada pihak British semasa Peperangan Falklands pada bulan April hingga Jun 1982.  Kapal-kapal tersebut adalah di antara sebab tentera Argentina mengalami kekalahan dan terpaksa menyerahkan Kepulauan Falklands balik kepada British.

Seelok-eloknya kapal-kapal tersebut dijadikan bahan pameran di muzium, atau di Sungai Thames di mana kapal era Perang Dunia Kedua HMS Belfast berada.  Namun apakah nasib kedua-dua buah kapal tersebut?

HMS Broadsword telah dilucut tauliah dan dijual kepada Tentera Laut Brazil pada tahun 1995.  HMS Hermes pula dilucut tauliah pada tahun 1984 dan kemudiannya dijual kepada Tentera Laut India pada tahun 1986.  Malah, tidak ada satu pun di antara lebih 200 kapal yang menyertai armada Britain untuk menawan kembali Kepulauan Falklands dijadikan bahan pameran di muzium.  Sebuah lagi kapal pemusnah yang berjasa, HMS Glasgow, telah dilucut tauliah pada tahun 2005, dan kemudian dilupuskan pada tahun 2009.

Malah, TLDM juga mempunya sebuah kapal yang menjadi kapal pertama dibina untuk TLDM iaitu KD Mutiara (jangan dikelirukan dengan KD Mutiara yang masih berkhidmat sekarang).  Kapal KD Mutiara tersebut pernah membawa delegasi Malaya berunding dengan Borneo Utara, Brunei dan Sarawak mengenai penubuhan Persekutuan Malaysia.  Delegasi Malaya ketika itu termasuk Tunku Abdul Rahman, Tun Haji Abdul Razak, dan Tun Ghazali Shafie.  Ianya juga merupakan kapal TLDM pertama yang diberi gelaran “Kapal DiRaja.”

Itu memang aset yang amat bersejarah, malah memainkan peranan besar dalam penubuhan Malaysia.  Kenapa tidak disimpan dan dijadikan bahan pameran muzium?

Kapal KD Mutiara ditauliahkan ke dalam perkhidmatan Tentera Laut DiRaja Malaya pada tahun 1961

Teringat kembali kata-kata petugas stesen televisyen yang merupakan bekas anggota TUDM, “Ramai sekarang lebih gemar berpakaian seperti tentera, berlagak seperti tentera, tetapi lalui latihan tentera untuk sehari pun tidak pernah.”

Begitulah hakikatnya sekarang. Yang tidak pernah mengalami dunia ketenteraan yang begitu galak berkata-kata mengenai hal-ehwal ketenteraan sehingga mengajak rakyat berasa tidak puas hati dengan Angkatan Tentera Malaysia sedangkan tidak memahami proses pelupusan aset.  Pesawat Nuri masih banyak yang berkhidmat dalam perkhidmatan Tentera Udara DiRaja Malaysia dan Tentera Darat Malaysia.  Tunggu sahajalah satu hari nanti apabila kesemuanya tidak lagi berkhidmat untuk ATM. Banyak nanti bahan pameran. Cuma dikhuatirkan muzium yang tidak mencukupi

Tentera kuat berpegang kepada tradisi. Tentera juga tidak lupa kepada sejarah. Tetapi tentera tidak bersifat sentimental dan berhati tisu.  Itu sifat tentera papan kekunci sahaja.

  • In: Defence
  • Comments Off on Pertahanan: Terhempas Atau Pendaratan Kecemasan?
Helikopter Sikorsky S-61A4 Nuri milik TUDM yang telah melakukan pendaratan cemas di SMK Balung, Tawau

Helikopter Sikorsky S-61A4 Nuri milik TUDM yang telah melakukan pendaratan cemas di SMK Balung, Tawau

Hari ini saya diajukan beberapa soalan dari berbagai pihak mengenai kejadian yang melibatkan sebuah pesawat helikopter Sikorsky S-61A4 Nuri milik TUDM di Sekolah Menengah Kebangsaan Balung, Tawau.  Untuk memudahkan penulisan, izinkan saya menulis dalam bentuk soalan-soalan yang telah diajukan kepada saya:

SOALAN 1: Media telah menggunakan perkataan “terhempas” namun pihak TUDM menggunakan istilah “mendarat cemas.”  Boleh Kapten terangkan perbezaan kedua-dua istilah tersebut?

Istilah “terhempas” menggambarkan suatu situasi diluar kawalan.  Sebagai contoh, pesawat mengalami kegagalan sepenuhnya fungsi alat kawalan yang mengakibatkan sesuatu pesawat itu terus jatuh diluar kawalan (uncontrolled descent).

Contoh-contoh dalam negeri yang terbaik termasuk kejadian helikopter terhempas yang mengorbankan Allahyarham Datuk Seri Jamaluddin Jarjis pada tahun 2015, dan kejadian helikopter terhempas di Sri Damansara pada tahun 1997.

Akibat kejadian “terhempas” kebiasaannya akan mengakibatkan kemusnahan total kepada kerangka pesawat, disertai kehilangan jiwa dan/atau kecederaan parah kepada majoriti penumpang.

Mendarat cemas” ataupun “pendaratan kecemasan” ialah suatu tindakan yang dilakukan sebagai respon kepada sesuatu kejadian kecemasan, contohnya respon juruterbang kepada kegagalan fungsi enjin pesawat. Dalam kejadian semalam pada pengamatan saya, juruterbang telah bertindak untuk cuba mendaratkan pesawat di suatu tempat lapang di antara dua blok sekolah menggunakan kaedah “auto-rotation” namun telah tidak cukup masa untuk mencapai kawasan tersebut.  Siasatan oleh pihak TUDM akan memberi lebih pencerahan mengenai kejadian ini.

SOALAN 2: Pada pendapat Kapten, apa punca kejadian? Adakah ia boleh dielak?

Semua kejadian boleh dielak. Namun kita tiak boleh menjangkakan sesuatu yang bakal berlaku walaupun semua langkah telah diambil untuk mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.  Contoh terbaik: Lewis Hamilton terpaksa keluar dari perlumbaan F1 di litar Sepang baru-baru ini walaupun sedang mendahului para pesaing lain akibat kerosakan enjin walaupun penyelenggaraannya amat baik.  Hanya siasatan terperinci dapat memberi gambaran punca kerosakan kepada pesawat Nuri tersebut dan juga kereta yang dipandu Lewis Hamilton tempoh hari.

SOALAN 3: Masalah teknikal dikatakan antara punca kejadian. Adakah wujud faktor tersebut atau Nuri itu sendiri tidak boleh diselenggarakan lagi kerana usianya yang sudah lanjut?

TUDM, sayap udara TLDM dan Pasukan Udara Tentera Darat mempunya rejim penyelenggaraan pesawat yang amat baik. Usia lanjut sesebuah pesawat itu tidak banyak memainkan peranan sekiranya penyelenggaraan adalah baik.

SOALAN 4: Adakah pesawat Nuri kita terlalu tua dan tidak sesuai lagi untuk latihan memandangkan komponen dan besi pesawat sudah uzur dan haus seperti didakwa sesetengah pihak?

Masih banyak varian Sikorsky S-61 yang masih digunakan di seluruh dunia termasuk juga yang digunakan oleh State Department Amerika Syarikat.  Malah ianya juga salah satu helikopter yang digunakan untuk mengangkut Presiden Amerika Syarikat.  Tentera Udara DiRaja New Zealand masih menerbangkan pesawat Hercules C-130 mereka yang sudah berumur 51 tahun. Usia pesawat bukan merupakan faktor.

SOALAN 5: Apakah sudah sampai masa Nuri digantikan bagi megelakkan insiden yang sama berlaku? Jika tidak, adakah Nuri masih lagi perlu digunakan?

Nuri adalah pesawat yang masih diperlukan.  Aset-aset Nuri TUDM juga kini diserapkan ke dalam Pasukan Udara Tentera Darat untuk tujuan “air mobility.” TUDM menggantikan pesawat Nuri bukan kerana usia atau masalah penyelenggaraan tetapi adalah kesesuaian peranan yang dimainkan oleh TUDM seperti Combat Search and Rescue, Special Forces Insertion and Extraction yang memerlukan helikopter berperanan khusus.  Pesawat Nuri juga telah melalui beberapa proses penambahbaikan kerangka dan avionics untuk menentukan ianya selaras dengan keperluan masa kini.  Ini termasuk peningkatan upaya gearbox, bilah kipas utama dan bilah kipas ekor dan pautan data digital. Malah peningkatan upaya pesawat Nuri dengan memperkenalkan “glass cockpit” atau kawalan digital sepenuhnya yang sesuai digunakan dengan teropong kegunaan malam (night-vision goggles) telah dilakukan untuk sesetengah pesawat Nuri.

Ini menunjukkan pesawat Nuri masih lagi relevan, terutama untuk tujuan pengangkutan saiz sederhana atau penghantaran platun infantri ke medan.

SOALAN 6: Apa nasihat, cadangan, pandangan Kapten kepada TUDM demi masa depan aset seperti Nuri dan keselamatan pengguna helikopter tersebut?

Kementerian Pertahanan perlu menentukan “end-user” mendapat bajet yang diperlukan untuk menentukan perolehan, pengoperasian dan penyelenggaraan aset-aset bukan sahaja TUDM, malah untuk Angkatan Tentera Malaysia amnya, dapat diteruskan dengan baik dan memenuhi doktrin Angkatan Tentera Malaysia.

Pesawat Sikorsky S-61A4 yang telah diserap oleh Pasukan Udara Tentera Darat

Pesawat Sikorsky S-61A4 yang telah diserap oleh Pasukan Udara Tentera Darat


Taqweem al-SeaDemon

June 2017
M T W T F S S
« May    
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
2627282930  

Blog Stats

  • 1,206,322 hits

Twitter

Error: Twitter did not respond. Please wait a few minutes and refresh this page.

Archives