KESEDARAN KEBAKARAN BOT DAN KAPAL MILIK PERSENDIRIAN PERLU DIPERTINGKATKAN

M.Y Pochea yang berusia 45 tahun sedang terbakar di perairan Pulau Langkawi, Kedah. Kapal layar mewah milik persendirian tersebut yang mempunyai panjang keseluruhan 75.15 meter telah alami kerosakan teruk dalam insiden tersebut.

Pada 5 Februari 2021, sebuah bot nelayan Kelas C telah musnah dalam satu kebakaran yang berlaku 16.6 batu nautika ke Barat Daya Sungai Besar, Selangor. Dalam kejadian jam 10.20 pagi tersebut, seorang awak-awak warganegara Myanmar telah melecur di 90 peratus bahagian badan manakala dua orang lagi awak-awak warga Myanmar dan tekongnya yang merupakan warganegara tempatan dapat diselamatkan Maritim Malaysia.

Pada 18 Februari 2021, sebuah kapal layar mewah, M.Y Pochea, telah terbakar di perairan Pulau Langkawi. Kesemua enam orang yang berada diatas kapal layar tersebut telah berjaya diselamatkan oleh Maritim Malaysia. Kapal layar tersebut telah dibina pada tahun 1976 dan berusia 45 tahun.

Kedua-dua insiden tersebut adalah di antara insiden-insiden kebakaran yang melibatkan bot-bot dan kapal-kapal di perairan Malaysia. Insiden yang paling masyhur ialah penenggelaman kapal mewah M.V Sun Vista 60 batu nautika ke arah Barat Daya Pulau Pinang pada 21 Mei 1999. setelah tidak dapat mengawal kebakaran yang berlaku. Kesemua lebih 1,100 orang anak kapal dan penumpang kapal sepanjang 214 meter tersebut terselamat.

Kapal tersebut berusia 36 tahun semasa kejadian berlaku.

Kebakaran di atas sebuah vesel (terminologi yang akan saya gunakan sepanjang penulisan saya untuk merujuk kepada semua jenis bot dan kapal) adalah sesuatu yang amat ditakuti. Api dapat merebak dengan begitu cepat sekali tanpa mengira sama ada vesel tersebut diperbuat daripada kayu mahupun besi.

Perolakan haba (heat convection) yang dihasilkan oleh kebakaran tersebut sama ada akan membakar terus kayu yang menjadi dinding di antara ruang dalam kapal dengan air laut, ataupun menyebabkan pengaliran haba (heat conduction) melalui besi badan kapal yang akan menyebabkan pembakaran (combustion) bahan mudah terbakar.

Kepanasan melampau akan menyebabkan peledingan badan serta bulkheads kapal. Ini menyebabkan penutupan pintu kedap air untuk membantu memendamkan kebakaran (fire suppression) menjadi mustahil.

Bagi kebakaran yang melibatkan vesel jenis kaca gentian (fibreglass), ianya lebih cenderung untuk mengeluarkan asap toksik yang berbahaya kepada anak-anak kapal.

APA YANG LAZIMNYA MENYEBABKAN KEBAKARAN DI ATAS VESEL?

Kebakaran di laut bukanlah sesuatu yang menghairankan. Namun, penyebabnya adalah hampir sama bagi kesemua kes, melainkan dalam kes-kes yang melibatkan jenayah khianat. Bagi kes bot nelayan di perairan pantai negeri Selangor di atas, kita tidak tahu usia sebenar bot tersebut. Namun, pembinaannya lebih bersifat tradisional. Kita tidak tahu juga sama ada kontraktor pendawaian yang digunakan adalah berdaftar. Kadangkala, bot nelayan dan lain-lain vesel juga ada jalankan pengubahsuaian pendawaian sama ada kerana menggantikan yang lama ataupun menambah peralatan yang tidak datang dengan keadaan asal vesel.

Litar arus terus (DC circuit), sambungan yang longgar ke bateri, suis serta pendawaian bateri yang lama dan berkarat, saluran bahanapi adalah di antara punca-punca berlakunya kebakaran vesel.

Selain itu, sebarang pendawaian yang sudah berusia melebihi 25 tahun seharusnya diganti dengan yang baharu semasa vesel menjalani major survey. Anggota kejuruteraan sesebuah kapal harus jadikan amalan memeriksa setiap pendawaian dan saluran bahanapi untuk rekahan salutan atau pelunturan warna salutan pendawaian dan saluran bahanapi sebagai satu kebiasaan.

Pemeriksaan teliti juga harus dilakukan ke atas kesemua pengapit saluran minyak supaya tidak ada yang terlalu longgar sehingga menyebabkan tumpahan bahanapi, dan tidak dipasang terlalu ketat sehingga ‘menggigit’ saluran bahanapi dan boleh menyebabkan kebocoran saluran bahanapi. Sebarang kebocoran boleh juga mengakibatkan pembentukan wasap petrol atau disel yang boleh mengakibatkan kebakaran atau letupan sekiranya bilge blower tidak dihidupkan atau tidak berfungsi dengan baik.

Satu lagi sebab utama kebakaran vesel yang lazim ialah tahap pengemasan dalam kapal adalah lemah (poor housekeeping). Kebakaran-kebakaran yang melibatkan kapal-kapal layar mewah jutaan Dollar seperti M.Y Barbie, M.Y The One, M.Y Lalibela, M.Y Pamela IV kesemua musnah dalam kebakaran yang disebabkan oleh tahap pengemasan yang lemah. Apa yang menyebabkan kebakaran M.Y Pochea pada 18 Februari 2021 belum kita ketahui. Tetapi adalah tidak menghairankan sekiranya puncanya adalah salah satu atau lebih sebab yang telah dibincangkan di atas.

KOMPETENSI ANAK KAPAL

Kalau kita amati video temuramah anak kapal M.Y Pochea yang disiarkan dalam laman Facebook Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, kita dapat lihat reaksi anak-anak kapal yang agak kelam-kabut semasa berlakunya insiden tersebut. Semasa menonton video tersebut, saya rasakan kemungkinan mereka tidak diberi latihan yang sempurna yang memenuhi kehendak undang-undang maritim.

Sebagai contoh, anak-anak kapal terpaksa menggunakan baju T untuk dilambai untuk menarik perhatian kapal ronda Maritim Malaysia yang lalu berhampiran. Tiada disebut mengenai sistem pemendaman dan pemadaman api dihidupkan. Tiada juga disebut penggunaan radio VHF yang mempunyai Digital Selective Calling (DSC) untuk berhubung pihak Maritim Malaysia atau Pasukan Gerakan Marin PDRM untuk memohon bantuan. Tiada langsung disebut mengenai penggunaan suar merah untuk menarik perhatian vesel-vesel yang berdekatan dengannya.

M.Y Pochea adalah merupakan sebuah kapal layar mewah yang boleh membawa seramai 12 orang penumpang dan 13 orang anak kapal yang panjangnya melebihi 75 meter dan beratnya 530 tan metrik. Sekiranya ianya digunakan untuk sewaan komersil, maka ianya perlu patuhi banyak peraturan-peraturan maritim seperti COLREGS, Passenger Yacht Code, ITC, Ballast Water Management, BUNKERS, Konvensyen Buruh Maritim 2006, SOLAS Bahagian I, II, III, V, XI, STCW dan lain-lain. Sekiranya ianya tidak digunakan untuk tujuan komersil, ia masih perlu mematuhi kesemua di atas kecuali STCW, Konvensyen Buruh Maritim 2006, SOLAS Bahagian II, III, dan XI.

Ini bermakna pemilik M.Y Pochea wajib menentukan anak-anak kapal adalah terlatih, biasa dan mahir mengendalikan sistem dan kecemasan kebakaran dan lain-lain termasuk penggunaan alat radio untuk berhubung dengan mana-mana agensi yang boleh membantu. Sama ada latihan tersebut dilakukan secara berkala seperti yang dikehendaki oleh peraturan-peraturan dan undang-undang maritim atau tidak, hanya mereka yang terbabit boleh menjawab persoalan tersebut.

Insiden kebakaran yang berlaku keatas M.Y Pochea adalah sesuatu yang sangat menyedihkan. Anak-anak kapal tersebut agak bernasib baik dapat diselamatkan tanpa mengalami sebarang kecederaan yang boleh mengancam nyawa. Yang menyedihkan juga ialah tindakan-tindakan yang diambil oleh mereka langsung tidak mencerminkan bahawa mereka telah dilatih dengan secukupnya untuk mengendalikan kapal layar tersebut dengan selamat sama ada dalam pengoperasian biasa mahupun dalam keadaan kecemasan. Sekiranya latihan-latihan termasuk pengendalian kecemasan terus dipandang enteng oleh pemilik-pemilik, maka suatu hari nanti ianya akan memberi bahaya kepada lain-lain vesel di laut.

Dan sudah tentu anak-anak kapal tersebut bernasib baik kerana hadirnya Maritim Malaysia yang cekap memberi bantuan memadamkan kebakaran sambil menyelamatkan ketujuh-tujuh mereka.