
Kau berleter tak habis-habis. Perpaduan itu penting kata engkau. Kesetiaan kepada pemimpin itu penting kata engkau.
Aku hanya mendengar kebodohan engkau itu sambil mencungkil bawang dari roti telur yang tersangkut dicelah gigiku. Aku malas nak layan kebodohan engkau itu kerana perkataan-perkataan yang bakal keluar dari mulutku untuk menggambarkan ahli-ahli seperti engkau hanya akan membuat novel The Catcher In The Rye bagai sebuah buku yang digunakan di Tadika KEMAS dan dibaca oleh rata-rata kanak-kanak Ribena.
Parti ini dibelenggu dengan sel-sel barah dalam bentuk orang-orang yang mencantas mereka-mereka yang mempunyai potensi untuk membawa parti ke satu tahap yang lebih baik. Akibat pencantasan ini maka yang hidup dan berjawatan hanyalah mereka-mereka yang umpama barangan buangan dalam tong-tong berwarna biru, perang dan hijau.
Kau tak habis-habis memuji mereka-mereka yang merosakkan parti dengan memperlakukan ia bagai hak milik persendirian. Lama kelamaan aku sendiri naik mual dengan perkataan-perkataan yang kau luahkan. Aku rasa, kalau aku kasi engkau sebatang straw, besar kemungkinan kau akan gunakannya untuk menyedut isi-isi dari dalam bontot mereka-mereka yang kau puji itu, atau dalam erti kata lain, kata orang kampungku, sucking up people’s ass.
Sudahlah. Perpaduan apa yang kau nak? Adakah kesetiaan yang kau laung-laungkan itu untuk menyelamatkan bontot mereka-mereka yang berpegang kepada jawatan kerana ianya merupakan tiket untuk membuat lebih banyak wang? Aku tidak pernah bertuhankan wang, jadi aku tidak takut kalah. Bak pepatah orang kampungku: a man who has nothing has nothing to lose.
Lawan tetap lawan, kata aku kembali sambil berlalu dari situ tanpa membayar.
Kau kan banyak duit projek yang kau dapat sebab kau terer mengampu. Kau bayarlah.
