Atlet Lebih Berharga Dari Veteran Tentera?

Semasa diumumkan atlet Olimpik dan Paralimpik yang menyerlah mendapat imbuhan dan elaun bulanan RM5,000 (pingat Emas), RM3,000 (pingat Perak) dan RM2,000 (pingat Gangsa) seorang maka ramai bekas tentera yang telah lama pencen menyuarakan rasa tidak puas hati seolah-olah dianaktirikan.
Ahli sukan sukar untuk mendapat pekerjaan tetap melainkan mereka diberi pekerjaan oleh negeri yang beliau wakili kerana sering perlu tidak bekerja untuk mewakili negeri atau negara. 

Allahyarham Mokhtar Dahari sebagai contoh bekerja di Cold Storage sebelum menjadi seorang kerani di MARA dan kemudiannya di PKNS juga sebagai seorang kerani. 
Mungkin seorang anggota berpangkat Pegawai Waran yang pencen sekitar tahun 1980an dan 1990an menerima kurang dari RM2,000 sebulan. Tetapi, berbanding dengan berapa kerat yang menerima elaun tersebut, ramai bekas tentera lupa yang kos perubatan mereka, isteri mereka serta anak yang masih ditanggung yang lahir semasa mereka masih di dalam perkhidmatan adalah ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan dan jumlah bekas tentera yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran adalah sekitar 85,000 orang! Mungkin lebih.

Veteran tentera juga masih menikmati kemudahan pembelian dari kedai-kedai PERNAMA yang mana kebanyakan barangan dikecualikan dari cukai eksais, cukai kastam dan cukai jualan yang dapat membantu mengurangkan kos sara hidup, walaupun sudah lama menamatkan perkhidmatan.

Begitu juga dengan latihan-latihan serta kursus-kursus kemahiran yang diadakan secara percuma di PERHEBAT bagi membantu para veteran mendapat ilmu dalam bidang-bidang khusus di mana orang awam perlu membayar sekitar empat angka untuk mendapat sijil yang sama. Malah khairat kematian dan bantuan sara hidup bagi balu dan anak-anak veteran ATM yang telah meninggal dunia yang memenuhi kriteria juga diberikan oleh kerajaan dan setakat ini lebih 5,000 keluarga telah menerima kemudahan ini.
Itu hanya sebahagian dari keistimewaan yang diterima oleh bekas pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia dan jumlah yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar ini melebihi jumlah yang diterima setiap bulan oleh para atlet tersebut. Apa yang perlu kita sebagai veteran tentera lakukan hanyalah untuk berusaha menambahkan pendapatan bulanan seperti orang lain yang tidak mendapat sebarang keistimewaan seperti kita.

Tak ada sesiapa pun yang paksa kita sertai perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia berdekad yang lalu. Kita yang telah membuat pilihan itu sendiri. Namun keistimewaan tetap diberikan kepada kita walaupun tiada sesiapa pun lagi yang masih dalam perkhidmatan yang mengenali kita.

Maka, nikmat apa lagi yang hendak kita dustakan?