Apabila demam pilihanraya semakin panas, akan terbit suara-suara sumbang Pakatan yang bukan sahaja menyerang parti memerintah, malah semua institusi kerajaan akan diserang dan difitnah demi mengelirukan para pengundi. Institusi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga tidak lekang dari budaya fitnah yang menjadi darah daging Pakatan.
Terkini, Tentera Laut Di Raja Malaysia menjadi mangsa fitnah Pakatan. Nik Nazmi yang merupakan exco Kerajaan Negeri Selangor membuat fitnah bahawa kapal-kapal perang milik TLDM adalah kecil dan banyak yang tersadai kerana faktor usia.
Sekiranya Nik Nazmi menghabiskan masa menggunakan Internet untuk membaca fakta dan mengurangkan masa beliau menyebar fitnah, beliau tentu akan dapat lihat bahawa kapal-kapal milik TLDM sentiasa menjalankan rondaan bukaan sahaja di Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ), malah juga di perairan Laut Sulu di timur negeri Sabah. Bagusnya TLDM ialah setiap buah kapal serta unit-unit sokongan mempunyai akaun Twitter dan kita dapat melihat aktiviti-aktiviti am yang dilakukan oleh kapal-kapal milik TLDM dalam memelihara kedaulatan perairan negara ini.
Kita mungkin mempunyai kapal-kapal yang telah berusian setengah abad seperti KD Hang Tuah yang kini menjalankan peranan sebagai friget latihan, serta bot-bot peronda kelas Kris seperti KD Sri Johor dan KD Sri Perlis. KD Sri Johor dan KD Sri Perlis masih aktif membuat rondaan di perairan Laut Sulu. Hakikat bahawa ketiga-tiga kapal tersebut masih dalam perkhidmatan aktif membuktikan bahawa rejim penyelenggaraan TLDM adalah amat baik sekali.
Program peremajaan serta pemerkasaan TLDM sepatutnya telah berjalan dengan lancar kalau budaya pemberian kontrak kepada kroni yang telah diamalkan oleh Pengerusi Pakatan Harapan tidak berlaku. Mungkin Nik Nazmi patut ajukan pertanyaan kepada Pengerusi kesayangannya bagaimana pemberian kontrak tersebut boleh berlaku, hinggakan kerajaan terpaksa mengeluarkan lebih kewangan untuk menyiapkan enam buah kapal peronda kelas Kedah sedangkan bajet yang diberikan kepada kroni Pengerusi mereka itu telah habis digunakan. Akibat terpaksa menyiapkan apa yang tidak disiapkan oleh kroni tersebut, program pemerkasaan serta peremajaan aset TLDM tergendala buat seketika waktu.
Hanya kini apabila kerajaan Najib Razak bergabung usaha dengan Panglima TLDM, baru lah dapat TLDM merealisasikan usaha peremajaan dan pemerkasaan TLDM dengan program 15-to-5 yang akan menyaksikan TLDM menggunakan hanya lima kelas aset tempur dan sokongan berbanding dengan 15 yang diwarisi dari zaman Pengerusi Pakatan Harapan tersebut.
Kenapa kapal TLDM lebih kecil berbanding dengan negara luar? Saiz kapal bukannya menjadi ukuran kekuatan sesuatu tentera laut. Kapal pengangkut pesawat milik Tentera Laut DiRaja Thailand Chakri Nareubet adalah kapal pengangkut pesawat (CV) yang paling kecil di dunia. Panjangnya hanyalah 201 meter berbanding kapal pengangkut helikopter (LHD) milik Tentera Laut Amerika Syarikat (USN) iaitu USS Wasp yang panjangnya 257 meter. Dan USS Wasp hanyalah separuh panjang kapal-kapal pengangkut pesawat (CVN) milik USN.
Kapal pemusnah INS Eilat milik Tentera Laut Israel yang panjangnya 100 meter telah ditenggelamkan pada tahun 1967 menggunakan peluru berpandu jenis Styx yang dilancarkan dari sebuah bot peronda jenis Komar milik Tentera Laut Mesir pada tahun 1967 yang panjangnya hanya 25 meter.
Kapal pemusnah milik USN iaitu USS Cole yang panjangnya 105 meter telah dilumpuhkan oleh sebuah bot fiberglass berukuran 4 meter pada tahun 2000. Serangan oleh bot fiberglass tersebut telah mengorbankan 15 orang anak kapal dan mencederakan 39 yang lain.
Ini membuktikan bahawa saiz kapal bukannya menjadi ukuran, tetapi saiz serta jenis kapal perlulah memenuhi doktrin milik Tentera Laut DiRaja Malaysia. Tetapi saya yakin Nik Nazmi tidak faham akan konsep doktrin Angkatan Tentera Malaysia. Dakwaan serta tohmahan yang dilemparkan beliau terhadap TLDM menunjukkan betapa ceteknya minda beliau.
Kurangkan berpolitik, dan kurangkan bermain game-game perang di komputer peribadi ataupun telefon pintar. Realiti adalah amat berbeza dari hiburan yang disajikan di alam maya tersebut.
You must be logged in to post a comment.