Bila Radio Karat Berbunyi

Eksesais Maritim Perkasa 2022 menguji kecekapan kerjasama di antara unit-unit di bawah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)

Bila kita bercerita mengenai pasukan keselamatan dan angkatan tentera, acap kali akan kedengaran suara-suara sumbang yang mempersoalkan sama ada bentuk pengoperasian mahupun perolehan aset-aset pasukan-pasukan tersebut.

Terkini merupakan cuitan bekas Timbalan Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Zaini Hassan, dalam ruangan Cuit…Zaini Hassan.

Dalam ruangan tersebut beliau telah mempersoalkan tindakan APMM yang dikatakan boros kerana menggerakkan aset-aset ke luar kawasan semata-mata untuk menyambut Hari Ulangtahun APMM Ke-17 pada 15 Februari 2022.

Sebanyak 10 buah kapal peronda, 5 buah aset udara dan 7 buah bot pemintas telah digerakkan ke luar pesisir pantai negeri Selangor.

Kata Zaini, beliau bimbang dengan “ketiadaan” kapal-kapal seperti KM Pekan dan KM Arau di kawasan masing-masing, sindiket penyeludupan migran dan pendatang asing akan menggunakan peluang itu untuk membolosi perairan negara.

Malah, kata beliau lagi, lebih membimbangkan ialah penyusupan elemen-elemen yang tidak dikehendaki, terutamanya dari selatan Filipina.

Zaini hanya membincangkan mengenai sambutan Hari Ulangtahun yang kononnya meriah itu. Hari yang diberi tumpuannya itu hanyalah satu hari dari sejumlah lapan hari aset-aset tersebut diaturgerak, dan adalah hari terakhir sebuah latihan menguji kecekapan para anggota dan aset-aset APMM yang diberi nama Eksesais Maritim Perkasa.

Eksesais yang dimulakan dengan Tabletop Exercise seharian dan enam hari latihan-latihan di laut yang menguji kecekapan pengendalian pesawat, bot pemintas dan kapal-kapal peronda dalam beberapa situasi termasuk memadam kebakaran kapal, operasi anti-lanun, pendaratan helikopter di geladak kapal serta pendaratan pesawat sayap kaku di laut untuk mengambil air bagi tujuan memadamkan kebakaran.

Ianya juga memberi peluang buat komander-komander muda kapal-kapal peronda serta pegawai navigasi dan pegawai komunikasi berlatih cara-cara untuk mengkoordinasikan kapal peronda masing-masing dengan lain-lain kapal peronda dan aset-aset udara.

Kesemua latihan di atas bukannya boleh dilakukan ikut suka hati semasa menjalankan tugas-tugas harian. Contoh: KM Arau yang berpangkalan di pantai barat Sabah. Lokasinya yang jauh dari aset-aset udara yang berpangkalan di Semenanjung. Jika latihan ini tidak diadakan, maka anggota geladak penerbangan kapal tersebut akan tumpul pengetahuan mereka, manakala anggota yang baharu langsung tidak berpeluang untuk memperbaharui dan mempertingkatkan pengetahuan mereka dalam operasi pelbagai aset.

Itu baru satu contoh. Banyak contoh-contoh lain yang memberi manfaat besar kepada para anggota APMM terlibat yang boleh saya ceritakan. Pokok-pangkalnya, di sinilah peluang untuk APMM mengenalpasti kelemahan prosedur dan pengetahuan, dan memperbaikinya dalam taklimat oleh Pengarah Eksesais untuk semua komander selepas latihan setiap hari.

“Kehilangan” sebanyak 10 buah kapal dari lapangan rondaan masing-masing sebenarnya tidak memberi kesan terhadap keselamatan negara. APMM mempunyai 70 buah kapal peronda dan hampir 200 buah bot pemintas.

Pembolosan perairan oleh pendatang Rohingya yang berlaku tidak lama dahulu bukannya disebabkan mereka berjaya memperbodohkan APMM, tetapi bot mereka karam di luar perairan dan mereka berenang ke pulau-pulau yang berhampiran dengan Pulau Langkawi.

Bagi pendatang atau pengganas yang cuba menyusup masuk dari Selatan Filipina ke perairan timur Sabah, mungkin penulis tersebut lupa bahawa kawasan timur Sabah adalah di bawah pengawasan ESSCOM dan bukannya di bawah APMM semata-mata. Mungkin faktor usia sebab tak mungkin beliau ini suka-suka mereka-reka cerita.

Agak musykil hanya apa yang digambarkan sebagai kelemahan yang dicanangkan seolah-olah untuk menghasut rakyat membenci APMM. Kenapa tidak diceritakan juga pencapaian agensi tersebut?

Sepanjang tahun 2021, APMM telah membuat hampir 212,000 pemeriksaan ke atas kapal-kapal dan bot-bot. 26,000 penggeledahan dibuat di mana lebih 1,100 tangkapan dibuat. Ini membawa hasil sebanyak RM46 juta daripada denda dan kompaun, RM6 juta hasil lelongan dan RM55 juta nilai barangan yang dirampas. Ada penulis tersebut ceritakan perihal ini?

Berbalik kepada Eksesais Maritim Perkasa, APMM mengambil kesempatan untuk adakan latihan ini hampir kepada hari ulangtahunnya supaya hari terakhir latihan jatuh pada hari ulangtahunnya. Ini membolehkan APMM mempertontonkan keupayaannya kepada pihak media yang dijemput hadir. Ini bertujuan untuk memperkukuhkan kepercayaan rakyat terhadap agensi yang menjaga kedaulatan wilayah maritim negara ini.

Paling penting, dengan menyambut hari ulangtahunnya semasa latihan dijalankan mengurangkan kos sambutan berbanding dengan sekiranya kos sambutan hari ulangtahun terpaksa diadakan secara berasingan. Dalam prinsip peperangan, ini dinamakan economy of effort.

Susah kalau setiap perkara yang baik itu dilihat secara negatif tanpa mengetahui tujuan perkara itu diadakan. Sepatutnya kita lebih berfikiran terbuka dan bukannya jumud seperti ini, apatah lagi sebagai seorang Islam yang beriman dengan Al-Quran, kerana selaras dengan surah Al-Anfal ayat 60, di mana Allah S.W.T. mengingatkan supaya kita kita sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi musuh-musuh, menurut kemampuan dengan segala kekuatan dan barisan kuda (menurut keadaan zaman) bagi menakutkan musuh Allah dan musuh-musuh kita serta musuh-­musuh yang kita tidak ketahui.

Orang bukan Islam pun percayakan konsep persediaan untuk berperang melalui kata-kata dalam bahasa Latin iaitu si vis pacem, para bellum (jika anda inginkan keamanan, bersedialah untuk berperang).

Oleh itu, elok kalau bekas Timbalan Ketua Pengarang Utusan Malaysia tersebut rajin bertanya-tanya, dapatkan kepastian sebelum tembak melulu seperti Red Indian dapat senapang.

Sesungguhnya, malu bertanya sesat jalan, malu berkayuh perahu hanyut. Jangan marah, ya! Kita pun boleh cuit juga.