Surat Terbuka Untuk Charles Santiago: Ahli Parlimen Lorong Tikus

Ahli Parlimen DAP Kawasan Klang ini lebih gemar pentingkan kesejahteraan PATI berbanding keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia sendiri

Sebagai rakyat Malaysia yang menjunjung keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, saya tidak faham kenapa Ahli Parlimen Klang, YB Charles Santiago beriya-iya untuk membela individu yang masuk secara haram ke dalam negara tanpa ada dokumen?

Walaupun saya mengambil kira hak asasi migran sama ada yang berdokumen ataupun tidak untuk melangsungkan kehidupan, saya berpendapat hak asasi rakyat Malaysia untuk dilindungi dari sebarang gejala yang buruk, baik dari aspek sosial, moral, keselamatan mahupun kesihatan. Dengan itu, saya lebih cenderung untuk berpihak dengan Menteri Dalam Negeri serta beratus ribu petugas barisan hadapan agensi-agensi di bawah KDN yang saban hari menghadap makian dan cercaan rakyat Malaysia yang sudah muak dengan perangai migran tanpa dokumen (PATI).

Kenyataan YB Charles Santiago dari DAP yang mempersoalkan ketegasan Menteri Dalam Negeri serta agensi-agensi di bawah naungan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam menangani isu ini adalah satu kenyataan yang bukan sahaja bodoh, malahan ianya juga satu kenyataan yang tidak patriotik.

Sebagai Ahli Parlimen, bukankah sepatutnya YB Charles Santiago turut bersama menegakkan undang-undang dan mendahulukan kepentingan rakyat Malaysia daripada semua aspek. Bukankah itu sumpah yang YB lafaz semasa menjadi seorang Ahli Parlimen, iaitu berikrar akan taat setia kepada Malaysia serta memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan? Bukankah itu bermakna YB berjanji akan mendaulatkan undang-undang negara yang dibuat di bawah Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan bukan Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan, Rohingya dan sebagainya?

Tidakkah YB Charles Santiago ini tahu bahawa tidak ada negara di dunia ini yang menghalalkan pendatang tanpa izin terutama sekali pendatang ekonomi. Saya cabar YB Charles Santiago untuk namakan satu sahaja negara yang mengalu-alukan kemasukan pendatang asing ke dalam negara mereka secara haram.

Malah, Netherlands yang menduduki tempat pertama dalam senarai negara paling menghormati hak asasi manusia juga telah memperkenalkan Skim Insurans Kebangsaan yang tidak meliputi PATI di negara tersebut. Langkah ini sekaligus menafikan hak PATI di negara tersebut untuk mendapatkan faedah sosial. Netherlands juga mempunyai Linkage Act, 1998: satu Akta yang menyulitkan PATI di sana untuk mendapatkan rawatan di hospital; mereka tidak boleh diberi perlindungan insurans; malah kerajaan Netherlands juga tidak bertanggung jawab di atas kos perubatan mereka.

Di sini, kita telah memperkenalkan program Rekalibrasi Tenaga Kerja sejak bulan November 2020 dan sepatutnya berakhir pada penghujung bulan ini. Kalau mereka ini berdaftar, mereka layak dilindungi di bawah Skim Bencana Kerja Pekerja Asing oleh PERKESO. Sudahlah dia PATI, kita berbaik hati nak jadikan mereka pekerja migran yang sah, lakukan saringan COVID-19 ke atas mereka, tawarkan mereka peluang pekerjaan dengan syarat mereka mendaftar dan membayar kompaun.

Tak cukup dengan itu, kita sediakan pula skim perlindungan di bawah PERKESO lagi yang akan memberi mereka faedah perlindungan. Bukankah itu menandakan bahawa kerajaan Malaysia amat baik hati serta prihatin terhadap mereka?

Sudah tujuh bulan program ini berlangsung, kenapa masih ada yang tidak mahu keluar mendaftar dan lebih gemar ke sana-sini sambil berpotensi menjadi penyebar penyakit berjangkit terutamanya COVID-19?

Kita mempunyai perundangan yang jelas mengenai PATI dan kita perlu menguatkuasakan undang-undang yang telah dibuat.

Sekiranya PATI tidak perlu diambil tindakan undang-undang maka sia-sia sahajalah undang-undang yang dibentangkan di parlimen. Baik kita buka sahaja semua pintu sempadan kita dan benarkan mereka masuk atas nama hak asasi manusia.

Berbalik kepada isu, Menteri Dalam Negeri dah jelaskan, keutamaan vaksinasi adalah terhadap rakyat Malaysia terlebih dahulu.

Persoalannya, selepas rakyat kita divaksinasi, bagaimanakah kita mahu pastikan golongan PATI yang selama ini menyorok di penempatan- penempatan haram ini akan tampil sukarela mendaftar untuk dapatkan vaksin. Tujuh bulan program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang menjanjikan perlindungan yang lebih baik buat mereka pun mereka tidak endahkan.

Kalau ikut kebijaksanaan YB Charles Santiago dan 13 lagi Ahli Parlimen Pembangkang yang kononnya berpegang dengan prinsip kemanusiaan, YB-YB ini yakin bahawa mereka akan tampil kehadapan jika Kerajaan tidak ambil tindakan terhadap mereka. Tapi apa jaminannya? Tiada! Air liur sahaja! Talk is cheap, YB, and sorry, but Utopia does not exist.

Saya yakin dalam hal ini rakyat juga setuju dengan Menteri Dalam Negeri bahawa PATI ini tidak akan berani kedepan secara sukarela untuk mendapatkan vaksinasi. Kalau ada pun bilangannya terlalu sedikit.

Apa yang perlu kita lakukan dengan segera ialah dengan mengumpulkan mereka ke satu tempat dan lakukan ujian swab test. Ini hanya boleh dilaksanakan melalui operasi penguatkuasaan PATI secara bersepadu oleh JIM, PDRM, JPN, dan KKM.

Komuniti PATI ini adalah time-bomb. Mereka ini tidak pergi ke klinik jika ada gejala dan tidak buat swabtest walaupun mereka tahu mereka adalah kontak rapat. Dan mereka bergerak tanpa dikesan di kalangan rakya yang begitu cermat menjaga SOP agar tidak dijangkiti.

Mereka ini tiada majikan dan bebas bergaul bersama rakyat tempatan di tempat awam. Tidak wajar mereka diberikan kelonggaran dan tidak diambil tindakan. Itu adalah tindakan tidak berpelembagaan dan tidak bermaruah.

Enough is enough. Sudahlah YB Charles Santiago. Utamakan rakyat Malaysia. Jangan terhegeh-hegeh mahu bela golongan PATI. Bila tiba PRU nanti, mohon YB naik sampan pergi ke laut, rayu undi daripada mereka.

Yang sudah meluat,

Kapten (Bersara) Abdul Rahmat Omar

Rakyat Malaysia

PATI: Kebajikan Bermula Di Rumah Sendiri

Kapal-kapal Tentera Laut Myanmar yang digunakan dalam misi membawa pulang PATI Myanmar semalam. Dari kiri: kapal sokongan pelbagai guna UMS Moattama, kapal friget UMS Sin Phyu Shin, dan kapal hospital UMS Thanlwin

Kebajikan bermula di rumah sendiri. Ungkapan tersebut mula digunakan oleh seorang ahli fasafah Inggeris bernama John Wycliffe pada tahun 1382. Namun, konsep tersebut wujud dalam agama-agama utama dunia. Dalam Islam, sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.A, Nabi S.A.W telah bersabda yang bermaksud: “Dan dinar (harta) yang kamu belanjakan di jalan Allah dan dinar yang kamu berikan kepada hamba (untuk membebaskan) dan dinar yang kamu sedekahkan kepada orang miskin serta dinar yang kamu sedekahkan kepada keluargamu. Maka, yang paling besar ganjaran pahalanya adalah yang kamu sedekahkan kepada keluargamu.” (Hadis riwayat Muslim No. 9855).

Dalam kitab Injil King James, 1611 pula disebut: “Sekiranya ada yang berbelanja bukan untuk keluarganya sendiri, terutamanya yang tinggal di rumahnya sendiri, dia telah membelakangkan agamanya, dan adalah lebih teruk dari yang kafir.” (1 Timothy 5:8).

PENGHANTARAN PULANG PATI MYANMAR

Semalam, tiga buah kapal tentera laut Myanmar telah belayar dari Pangkalan TLDM Lumut membawa 1,086 orang pendatang asing tanpa izin Myanmar. Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalah suatu kenyataan berkata kesemua 1,086 warga Myanmar yang dihantar pulang tersebut adalah merupakan PATI dan tidak ada di kalangan mereka yang merupakan pelarian Rohingya atau pencari suaka. Kesemua mereka telah bersetuju untuk pulang secara sukarela dan tidak dipaksa oleh mana-mana pihak.

Penghantaran PATI Myanmar ini adalah merupakan sebahagian dari proses penghantaran PATI berterusan yang diusahakan oleh JIM.

Berikutan penghantaran pulang PATI Myanmar, NGO-NGO yang memperjuangkan hak asasi manusia mula berbunyi kerana mendakwa ada terdapat pelarian Rohingya dan pemegang kad UNHCR di kalangan PATI Myanmar tersebut. Satu perintah mahkamah juga telah diperolehi pada hari pelayaran untuk memaksa kerajaan menghentikan sementara penghantaran pulang PATI Myanmar tersebut sehingga menerima arahan mahkamah selanjutnya.

Masalahnya ialah, jam berapa perintah mahkamah tersebut diperolehi dan pada pukul berapa pula perintah tersebut diterima oleh pihak JIM? Apa yang NGO-NGO ini mahu JIM lakukan sekiranya PATI tersebut telah diserahkan kepada pihak berkuasa Myanmar dan telahpun menaiki kapal-kapal perang tersebut? Sebaik mereka jejakkan kaki ke atas kapal-kapal tersebut, mereka telah pun berada di bawah bidang kuasa Myanmar dan bukan lagi Malaysia. Pada ketika tersebut, hanya peperangan boleh menghalang pelayaran kapal-kapal tentera laut Myanmar.

REKALIBRASI PATI

Pada tahun 2019, seramai 192,260 orang PATI yang telah tampil untuk menyertai program ‘Back For Good.’ Jumlah kompaun yang telah diperolehi kerajaan ialah sebanyak RM134.6 juta. Dalam tahun 2020 pula, setakat 2 November 2020 JIM telah membuat pengusiran terkumpul Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) seramai 30,452 orang. Jumlah ini adalah jauh kurangnya berbanding pada tahun 2019 kerana penutupan sempadan antarabangsa akibat pandemik COVID-19.

Justeru, kerajaan memperkenalkan program rekalibrasi PATI yang memberi PATI peluang untuk bekerja di Malaysia dengan sah. Program ini berbeza dengan program-program pemutihan PATI yang dijalankan sebelum ini kerana majikan hanya perlu berinteraksi dengan JIM dan bukan lagi melalui pihak ketiga untuk mengurangkan kebarangkalian berlakunya jenayah rasuah.

PATI yang ada dalam depoh-depoh tahanan Imigresen boleh memilih untuk menyertai program rekalibrasi ini ataupun pulang ke negara asal masing-masing. Setakat 13 November 2020, terdapat 20,000 orang PATI yang ditahan di depoh-depoh tahanan Imigresen.

KOS MENAHAN PATI

Menahan 20,000 orang PATI bukanlah sesuatu yang murah. Mengikut kiraan, kerajaan membelanjakan sebanyak RM800,000 sehari untuk memberi mereka makan. Ini bermakna sekiranya tempoh tiga hingga empat bulan diperlukan sehingga mereka dihantar pulang, rakyat menanggung sebanyak RM96 juta. Ini tidak termasuk kos-kos lain seperti utiliti (elektrik dan air), penyelenggaraan bangunan kompleks tahanan. Di era pandemik ini pula, kos calitan saringan COVID-19 dianggarkan sekitar RM300 seorang sekali calitan. Ini menjadikan kos calitan seorang sebanyak RM900 atau RM18 juta untuk kesemua 20,000 PATI dalam tahanan. Sekali lagi, ini tidak termasuk kos rawatan bagi mereka yang bukan sahaja menghidap penyakit COVID-19, tetapi lain-lain sakit yang memerlukan rawatan. Maka, jumlah kos yang ditanggung oleh kita semua, rakyat Malaysia, untuk menahan 20,000 orang PATI dan memberi makan serta ujian saringan COVID-19 sebanyak RM114 juta, tidak termasuk kos rawatan, utiliti, senggaraan dan lain-lain.

Kalau kita pergi balik kepada konsep Islam dan Kristian mengenai kebajikan yang sepatutnya bermula di rumah, RM114 juta boleh digunakan untuk menyaring seramai 380,000 orang rakyat Malaysia untuk penyakit COVID-19. Dalam konteks vaksin HPV yang berharga RM600 di hospital-hospital swasta yang disuntik secara percuma oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mengekang barah serviks, seramai 190,000 orang wanita rakyat Malaysia dapat diselamatkan dari menghidap barah serviks. RM114 juta juga bersamaan dengan 950 unit rumah kos rendah di Kuala Lumpur.

Berbalik kepada 1,086 orang yang dihantar pulang ke Myanmar semalam, kita rakyat Malaysia tidak perlu lagi menanggung sebanyak RM5,212,800 kos makanan untuk empat bulan, RM36,000 kos calitan ujian saringan COVID-19. Sebaliknya kos tersebut boleh digunakan untuk memberi tiga kali saringan untuk 5,832 orang rakyat Malaysia atau menyuntik vaksin HPV kepada 8,748 wanita rakyat Malaysia dan menyelamatkan nyawa mereka.

KESIMPULAN

Kita sememangnya bersimpati dengan pelarian yang terpaksa tinggalkan negara mereka demi keselamatan dan kelangsungan hidup. Tetapi, kita perlu berpada-pada dalam simpati yang ditunjukkan. Bukanlah sesuatu yang menghairankan sekiranya ada di kalangan PATI Myanmar yang dihantar balik ini sendiri dengan secara sukarela memohon untuk pulang ke negara asal mereka.

Pengalaman Malaysia menerima seramai 250,000 orang pelarian Vietnam bermula bulan Mei 1975, sebulan setelah jatuhnya Saigon ke tangan Vietnam Utara adalah pengalaman yang amat pahit sekali. Malaysia terpaksa menanggung bukan sahaja pelarian-pelarian tersebut serta jenayah berat dan masalah sosial yang dilakukan oleh pelarian-pelarian tersebut, tetapi juga kecaman hebat oleh negara-negara barat yang cakap tidak serupa bikin. Beban ini telah Malaysia tanggung selama 30 tahun sebelum saki-baki pelarian akhirnya diterima oleh negara-negara tersebut dengan tidak rela. Dari jumlah tersebut, seramai 9,000 orang telah secara sukarela minta untuk pulang ke Vietnam yang mempunyai sistem politik yang tidak mereka kenali.

Kita kena ambil kira juga takrif pelarian dan pencari suaka. Apabila seorang itu lari dari negara sendiri akibat ditindas ke kem-kem pelarian di Bangladesh, maka dia adalah seorang pelarian. Apabila dia melarikan diri dari Bangladesh untuk datang ke Malaysia, dia bukan lagi pelarian yang melarikan diri dari ditindas. Sebaliknya dia menjadi seorang PATI yang cuba untuk masuk ke negara ini dengan cara haram.

Kos yang tinggi yang perlu ditanggung untuk menampung kehidupan PATI dalam tahanan juga adalah tidak adil kepada rakyat Malaysia. Bagaimana NGO-NGO yang sering menyalahkan kerajaan dalam hal-hal berkaitan dengan PATI dan pelarian boleh mengutamakan kebajikan orang luar berbanding dengan hak rakyat negara ini sekali? Maka saya ajukan soalan ini kepada anda para pembaca: apakah hak 20,000 pendatang asing tanpa izin ini mengatasi hak dan keperluan 190,000 orang wanita rakyat Malaysia yang berkemungkinan menghadapi barah serviks, atau 380,000 orang rakyat Malaysia yang memerlukan saringan COVID-19, atau 950 buah keluarga miskin rakyat Malaysia yang memerlukan rumah?

Siapa yang anda sokong? NGO-NGO yang memperjuangkan hak PATI untuk ditanggung oleh kita, atau rancangan kerajaan untuk terus menghantar PATI pulang ke negara asal?

Tepuk dada, tanya selera.