PATI: Kebajikan Bermula Di Rumah Sendiri

Kapal-kapal Tentera Laut Myanmar yang digunakan dalam misi membawa pulang PATI Myanmar semalam. Dari kiri: kapal sokongan pelbagai guna UMS Moattama, kapal friget UMS Sin Phyu Shin, dan kapal hospital UMS Thanlwin

Kebajikan bermula di rumah sendiri. Ungkapan tersebut mula digunakan oleh seorang ahli fasafah Inggeris bernama John Wycliffe pada tahun 1382. Namun, konsep tersebut wujud dalam agama-agama utama dunia. Dalam Islam, sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.A, Nabi S.A.W telah bersabda yang bermaksud: “Dan dinar (harta) yang kamu belanjakan di jalan Allah dan dinar yang kamu berikan kepada hamba (untuk membebaskan) dan dinar yang kamu sedekahkan kepada orang miskin serta dinar yang kamu sedekahkan kepada keluargamu. Maka, yang paling besar ganjaran pahalanya adalah yang kamu sedekahkan kepada keluargamu.” (Hadis riwayat Muslim No. 9855).

Dalam kitab Injil King James, 1611 pula disebut: “Sekiranya ada yang berbelanja bukan untuk keluarganya sendiri, terutamanya yang tinggal di rumahnya sendiri, dia telah membelakangkan agamanya, dan adalah lebih teruk dari yang kafir.” (1 Timothy 5:8).

PENGHANTARAN PULANG PATI MYANMAR

Semalam, tiga buah kapal tentera laut Myanmar telah belayar dari Pangkalan TLDM Lumut membawa 1,086 orang pendatang asing tanpa izin Myanmar. Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalah suatu kenyataan berkata kesemua 1,086 warga Myanmar yang dihantar pulang tersebut adalah merupakan PATI dan tidak ada di kalangan mereka yang merupakan pelarian Rohingya atau pencari suaka. Kesemua mereka telah bersetuju untuk pulang secara sukarela dan tidak dipaksa oleh mana-mana pihak.

Penghantaran PATI Myanmar ini adalah merupakan sebahagian dari proses penghantaran PATI berterusan yang diusahakan oleh JIM.

Berikutan penghantaran pulang PATI Myanmar, NGO-NGO yang memperjuangkan hak asasi manusia mula berbunyi kerana mendakwa ada terdapat pelarian Rohingya dan pemegang kad UNHCR di kalangan PATI Myanmar tersebut. Satu perintah mahkamah juga telah diperolehi pada hari pelayaran untuk memaksa kerajaan menghentikan sementara penghantaran pulang PATI Myanmar tersebut sehingga menerima arahan mahkamah selanjutnya.

Masalahnya ialah, jam berapa perintah mahkamah tersebut diperolehi dan pada pukul berapa pula perintah tersebut diterima oleh pihak JIM? Apa yang NGO-NGO ini mahu JIM lakukan sekiranya PATI tersebut telah diserahkan kepada pihak berkuasa Myanmar dan telahpun menaiki kapal-kapal perang tersebut? Sebaik mereka jejakkan kaki ke atas kapal-kapal tersebut, mereka telah pun berada di bawah bidang kuasa Myanmar dan bukan lagi Malaysia. Pada ketika tersebut, hanya peperangan boleh menghalang pelayaran kapal-kapal tentera laut Myanmar.

REKALIBRASI PATI

Pada tahun 2019, seramai 192,260 orang PATI yang telah tampil untuk menyertai program ‘Back For Good.’ Jumlah kompaun yang telah diperolehi kerajaan ialah sebanyak RM134.6 juta. Dalam tahun 2020 pula, setakat 2 November 2020 JIM telah membuat pengusiran terkumpul Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) seramai 30,452 orang. Jumlah ini adalah jauh kurangnya berbanding pada tahun 2019 kerana penutupan sempadan antarabangsa akibat pandemik COVID-19.

Justeru, kerajaan memperkenalkan program rekalibrasi PATI yang memberi PATI peluang untuk bekerja di Malaysia dengan sah. Program ini berbeza dengan program-program pemutihan PATI yang dijalankan sebelum ini kerana majikan hanya perlu berinteraksi dengan JIM dan bukan lagi melalui pihak ketiga untuk mengurangkan kebarangkalian berlakunya jenayah rasuah.

PATI yang ada dalam depoh-depoh tahanan Imigresen boleh memilih untuk menyertai program rekalibrasi ini ataupun pulang ke negara asal masing-masing. Setakat 13 November 2020, terdapat 20,000 orang PATI yang ditahan di depoh-depoh tahanan Imigresen.

KOS MENAHAN PATI

Menahan 20,000 orang PATI bukanlah sesuatu yang murah. Mengikut kiraan, kerajaan membelanjakan sebanyak RM800,000 sehari untuk memberi mereka makan. Ini bermakna sekiranya tempoh tiga hingga empat bulan diperlukan sehingga mereka dihantar pulang, rakyat menanggung sebanyak RM96 juta. Ini tidak termasuk kos-kos lain seperti utiliti (elektrik dan air), penyelenggaraan bangunan kompleks tahanan. Di era pandemik ini pula, kos calitan saringan COVID-19 dianggarkan sekitar RM300 seorang sekali calitan. Ini menjadikan kos calitan seorang sebanyak RM900 atau RM18 juta untuk kesemua 20,000 PATI dalam tahanan. Sekali lagi, ini tidak termasuk kos rawatan bagi mereka yang bukan sahaja menghidap penyakit COVID-19, tetapi lain-lain sakit yang memerlukan rawatan. Maka, jumlah kos yang ditanggung oleh kita semua, rakyat Malaysia, untuk menahan 20,000 orang PATI dan memberi makan serta ujian saringan COVID-19 sebanyak RM114 juta, tidak termasuk kos rawatan, utiliti, senggaraan dan lain-lain.

Kalau kita pergi balik kepada konsep Islam dan Kristian mengenai kebajikan yang sepatutnya bermula di rumah, RM114 juta boleh digunakan untuk menyaring seramai 380,000 orang rakyat Malaysia untuk penyakit COVID-19. Dalam konteks vaksin HPV yang berharga RM600 di hospital-hospital swasta yang disuntik secara percuma oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mengekang barah serviks, seramai 190,000 orang wanita rakyat Malaysia dapat diselamatkan dari menghidap barah serviks. RM114 juta juga bersamaan dengan 950 unit rumah kos rendah di Kuala Lumpur.

Berbalik kepada 1,086 orang yang dihantar pulang ke Myanmar semalam, kita rakyat Malaysia tidak perlu lagi menanggung sebanyak RM5,212,800 kos makanan untuk empat bulan, RM36,000 kos calitan ujian saringan COVID-19. Sebaliknya kos tersebut boleh digunakan untuk memberi tiga kali saringan untuk 5,832 orang rakyat Malaysia atau menyuntik vaksin HPV kepada 8,748 wanita rakyat Malaysia dan menyelamatkan nyawa mereka.

KESIMPULAN

Kita sememangnya bersimpati dengan pelarian yang terpaksa tinggalkan negara mereka demi keselamatan dan kelangsungan hidup. Tetapi, kita perlu berpada-pada dalam simpati yang ditunjukkan. Bukanlah sesuatu yang menghairankan sekiranya ada di kalangan PATI Myanmar yang dihantar balik ini sendiri dengan secara sukarela memohon untuk pulang ke negara asal mereka.

Pengalaman Malaysia menerima seramai 250,000 orang pelarian Vietnam bermula bulan Mei 1975, sebulan setelah jatuhnya Saigon ke tangan Vietnam Utara adalah pengalaman yang amat pahit sekali. Malaysia terpaksa menanggung bukan sahaja pelarian-pelarian tersebut serta jenayah berat dan masalah sosial yang dilakukan oleh pelarian-pelarian tersebut, tetapi juga kecaman hebat oleh negara-negara barat yang cakap tidak serupa bikin. Beban ini telah Malaysia tanggung selama 30 tahun sebelum saki-baki pelarian akhirnya diterima oleh negara-negara tersebut dengan tidak rela. Dari jumlah tersebut, seramai 9,000 orang telah secara sukarela minta untuk pulang ke Vietnam yang mempunyai sistem politik yang tidak mereka kenali.

Kita kena ambil kira juga takrif pelarian dan pencari suaka. Apabila seorang itu lari dari negara sendiri akibat ditindas ke kem-kem pelarian di Bangladesh, maka dia adalah seorang pelarian. Apabila dia melarikan diri dari Bangladesh untuk datang ke Malaysia, dia bukan lagi pelarian yang melarikan diri dari ditindas. Sebaliknya dia menjadi seorang PATI yang cuba untuk masuk ke negara ini dengan cara haram.

Kos yang tinggi yang perlu ditanggung untuk menampung kehidupan PATI dalam tahanan juga adalah tidak adil kepada rakyat Malaysia. Bagaimana NGO-NGO yang sering menyalahkan kerajaan dalam hal-hal berkaitan dengan PATI dan pelarian boleh mengutamakan kebajikan orang luar berbanding dengan hak rakyat negara ini sekali? Maka saya ajukan soalan ini kepada anda para pembaca: apakah hak 20,000 pendatang asing tanpa izin ini mengatasi hak dan keperluan 190,000 orang wanita rakyat Malaysia yang berkemungkinan menghadapi barah serviks, atau 380,000 orang rakyat Malaysia yang memerlukan saringan COVID-19, atau 950 buah keluarga miskin rakyat Malaysia yang memerlukan rumah?

Siapa yang anda sokong? NGO-NGO yang memperjuangkan hak PATI untuk ditanggung oleh kita, atau rancangan kerajaan untuk terus menghantar PATI pulang ke negara asal?

Tepuk dada, tanya selera.

%d bloggers like this: