
Minggu lalu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah menahan sebanyak enam buah kapal nelayan China dan seramai 60 orang anak kapal di perairan negeri Johor. Keenam-enam buah kapal tersebut yang didaftarkan di Qinhuangdao, 1300km ke utara Shanghai, sedang dalam perjalanan ke perairan Mauritania di barat Afrika apabila mengalami kerosakan berhampiran Tanjung Setapa di Pengerang. Kapal-kapal tersebut ditahan kerana berlabuh dalam perairan Malaysia tanpa kebenaran.
Apa yang menarik di sini ialah keenam-enam buah kapal tersebut adalah dalam perjalanan sejauh berpuluh ribu batu nautika untuk menangkap ikan di barat benua Afrika. Menurut kajian Overseas Development Institute, China mempunyai sebanyak 16,966 buah kapal nelayan jarak jauh. Dari jumlah tersebut, sebanyak 12,490 buah beroperasi di luar perairan China yang diiktiraf antarabangsa di antara tahun 2017 dan 2018. China menguatkuasakan sempadan perairannya mengikut nine-dash line yang direkanya pada tahun 2012 yang bertentangan dengan UNCLOS.
Selain penguatkuasaan yang dilakukan oleh China Coast Guard (CCG) berkenaan sempadan perairannya, penguatkuasaan juga dibuat ke atas tempoh larangan memancing di perairan Laut China Selatan. Penguatkuasaan ke atas larangan tersebut menyaksikan pertembungan di antara nelayan Vietnam dengan CCG. Dalam sebuah kes dalam bulan Jun 2020, sebuah bot nelayan Vietnam telah dikepung dan dilanggar hingga rosak oleh kapal-kapal milik CCG. Awak-awak bot Vietnam tersebut ditahan dan disiksa serta dipaksa menandatangani sebuah dokumen yang memaksa mereka mengakui perbuatan mereka melanggar tempoh larangan menangkap ikan.
Vietnam selama ini menggunakan tindakan diplomatik untuk membantah tindakan CCG, namun penggunaan saluran diplomatik yang terlalu kerap tidak membawa sebarang makna tanpa tindakan yang lebih keras untuk mempertahankan kedaulatan perairannya hinggakan nota-nota bantahan itu dianggap retorik semata-mata serta dimomok oleh rakyat Vietnam sendiri.
Tindakan CCG menghalau bot-bot nelayan Vietnam memaksa mereka untuk belayar lebih jauh ke Selatan untuk menangkap ikan, dan ini mengakibatkan mereka sanggup menceroboh ke dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) lain-lain negara termasuk Malaysia dan Indonesia. Keadaan ini menjadikan mereka lebih terdesak; maka terjadilah insiden-insiden keganasan di laut termasuk serangan ke atas bot ‘Penyelamat 7‘ milik APMM baru-baru ini yang berakhir dengan kematian seorang nelayan Vietnam.
Bukan mudah bagi sebuah agensi barisan hadapan masa aman seperti APMM untuk mengawasi dan mempertahankan kedaulatan perairan Malaysia yang seluas 614.159 kilometer persegi. ZEEnya sahaja mempunyai keluasan sebanyak 453,186 kilometer persegi. Majoriti aset yang dimiliki APMM bukan sahaja lebih sesuai digunakan di kawasan laut wilayah iaitu sekitar 12 batu nautika (22 kilometer) dari garis dasar (titik purata paras air surut terendah), malah ada yang berusia lebih 60 tahun dan boleh mendatangkan bahaya kepada anak kapal sekiranya dirempuh atau terperangkap dalam ribut dan gelombang yang kuat. Aset-aset ini juga tidak mampu menandingi aset-aset CCG yang jauh lebih besar dan berkeupayaan untuk berada di kawasan rondaan lebih lama.
Penggunaan aset-aset TLDM untuk membantu mengawasi dan mempertahankan kedaulatan perairan Malaysia di waktu aman juga hanyalah bersifat ‘barisan kedua.’ Penggunaan aset-aset tentera untuk membuat tugasan penguatkuasaan sebenarnya tidak langsung sesuai, malah lebih mudah untuk mencetus konflik di antara Malaysia dan negara-negara yang menceroboh. Pada bulan April 2012, sebuah kapal peronda tentera laut Filipina, ‘BRP Gregorio del Pilar‘, telah dihalang oleh dua buah kapal “penyelidikan” milik China iaitu ‘Zhonggou Haijian 75‘ dan ‘Zhonggou Haijian 84‘ daripada menahan lapan buah bot nelayan China di persekitaran Terumbu Scarborough. Ianya menjadi sebuah insiden diplomatik yang lebih sukar ditangani pada ketika itu kerana China lebih sukar untuk berkompromi kerana sebuah aset tentera telah digunakan.
Berbalik kepada 12,490 buah kapal nelayan jarak jauh milik China yang beroperasi di luar perairan China yang diiktiraf antarabangsa, kekurangan aset dan penggunaan aset-aset yang tidak bersesuaian dengan kehendak operasi sudah tentu menyukarkan APMM. Sebagai sebuah agensi separa-tentera, ianya memerlukan aset-aset yang lebih besar, lebih keupayaan tembakan untuk menguatkuasakan undang-undang yang berhubung dengan wilayah maritim negara. Kehadiran kapal-kapal nelayan yang diiringi aset-aset CCG di kawasan Gugusan Beting Raja Jarom (North Luconia Shoals), Gugusan Beting Patinggi Ali (South Luconia Shoals) dan Beting Serupai (James Shoal) mencabar kewibawaan serta memberi calar kepada imej APMM.
CCG juga telah dikesan hadir mengiringi kapal-kapal nelayan China dalam perairan Indonesia di sebelah utara Kepulauan Natuna dalam bulan September 2020. Ini bermakna kita mungkin bakal menyaksikan insiden-insiden yang serupa dengan insiden yang melibatkan kapal ‘Haiyang Dizhi 8‘ milik China dengan kapal ‘West Capella‘ di barat-laut Sabah, tetapi kali ini di kawasan-kawasan carigali minyak di luar pesisir pantai timur Semenanjung pula.
Kerajaan harus membina keupayaan APMM sebagai agensi mutlak menguatkuasakan undang-undang berkaitan maritim di Malaysia. Kewujudan APMM pada dasarnya adalah untuk menyatukan kesemua 11 agensi berkaitan maritim di Malaysia. Namun, kehendak politik yang lemah masih menyebabkan peruntukan kewangan disalurkan kepada agensi-agensi yang sepatutnya tidak lagi melakukan penguatkuasaan undang-undang maritim. Ini adalah di antara sebab APMM bukan sahaja tidak mendapat peruntukan yang diperlukan, malah dianggap setara dengan agensi-agensi yang ia sepatutnya gantikan. Walhal, dalam apa jua keadaan yang melibatkan segala jenis insiden di laut, baik pencerobohan nelayan Kelas C dalam zon Kelas A, penyeludupan rokok dari negara jiran, penyekatan kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) kesemuanya diletakkan oleh persepsi masyarakat di atas bahu APMM dan bukannya 11 agensi tersebut.
Selain aset-aset yang berpatutan, berkeupayaan dan bersesuaian, Malaysia juga harus gunakan pendekatan diplomatik untuk membawa usul supaya UNCLOS memberi takrif mutlak dan spesifik terhadap gugusan-gugusan pulau dan terumbu seperti yang berada di Laut China Selatan agar lebih mudah untuk keputusan-keputusan International Tribunal for the Laws of the Sea (ITLOS) dikuatkuasakan. Mungkin tidak keterlaluan juga dicadangkan, dalam ketiadaan suatu badan perjanjian seperti NATO, supaya Malaysia, Filipina, Vietnam dan Indonesia membuat satu gabungan agensi-agensi penguatkuasaan maritim untuk berhadapan dengan ancaman pihak China, disamping mengadakan perjanjian-perjanjian serupa dengan Malaysia-Thailand Joint Development Authority, tetapi untuk perikanan. Ianya lebih bermakna berbanding tunduk kepada kehendak China untuk mengiktiraf kedaulatan China di ZEE Malaysia.
Amatlah diharap agar Kementerian Kewangan dapat meluluskan peruntukan yang dimohon oleh pihak APMM demi maruah dan imej negara semasa pembentangan bajet tidak lama lagi.
You must be logged in to post a comment.