Tindakan Pantas APMM Selamatkan Anak Kapal Dayang Topaz

MV Dayang Topaz, accommodation work boat milik DESB Marine Services Sdn Bhd yang dibina pada tahun 2010, mempunyai 199 tempat tidur untuk para pekerja dan anak kapal.

Pagi semalam kita dikejutkan dengan berita bahawa sebuah accommodation work boat milik DESB Marine Services Sdn Bhd, ‘MV Dayang Topaz’, telah karam dan dua orang meninggal dunia. Disyaki mooring anchor wirenya telah putus dalam keadaan laut yang bergelora serta ombak tinggi 4.5 meter mengakibatkan kapal tersebut menghentam pelantar Baram ‘B’ sebelum terbalik dan karam.

Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) yang telah menerima laporan daripada kapal ‘MV Sapura Constructor’ yang telah menerima isyarat kecemasan daripada ‘MV Dayang Topaz’. MRCC kemudiannya menghubungi semua kapal serta agensi-agensi tempatan dan antarabangsa yang berada berhampiran kawasan tersebut untuk memberi bantuan. Di antara aset-aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang berada di lokasi tersebut adalah KM Siagut, KM Siakap dan Bot Penggalang 23. Pada masa yang sama, MRCC juga menghubungi komuniti nelayan tempatan, syarikat-syarikat seperti PETRONAS, Shell, agensi-agensi seperti Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), dan agensi antarabangsa berhampiran seperti National Search Coordination Center (NSCC) Brunei, yang telah menugaskan sebuah pesawat Brunei Shell Petroleum.

Ramai yang mungkin tidak tahu bahawa MRCC adalah pusat operasi yang ditubuhkan oleh APMM untu mengawal dan menyelaras operasi mencari dan menyelamat (MSAR) di perairan Malaysia. Berpusat di Putrajaya, MRCC ditubuhkan mengikut keperluan Mencari dan Menyelamat Udara dan Maritim Antarabangsa (IAMSAR). Berdasarkan Jilid IV IAMSAR, APMM menjadi organisasi yang bertanggung jawab terhadap semua insiden maritim. Ketua Pengarah APMM menjadi ketua perkhidmatan MSAR, manakala MRCC menjadi organisasi yang mengkoordinasi operasi dan menggerakkan segala aset untuk membantu.

Tanggung jawab yang digalas oleh APMM untuk melakukan operasi MSAR adalah amat berat memandangkan jangkauan Wilayah Mencari dan Menyelamat (MSSR) yang agak luas. Ianya merangkumi kawasan sehingga ke Kepulauan Andaman di sebelah barat Semenanjung, seluruh kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia di sebelah timur Semenanjung, dan seluruh kawasan pantai negeri Sabah dan Sarawak serta ZEE.

Keberkesanan APMM melaksanakan tugas dan tanggung jawab MSAR bergantung kepada dua perkara utama, iaitu jenis dan jumlah aset atas permukaan laut dan udara milik APMM, dan keberkesanan sistem pengesanan kecemasan milik kapal-kapal dan bot-bot dalam wilayah tersebut. Saya difahamkan bahawa aset-aset atas permukaan laut yang dimiliki APMM ada pelbagai jenis yang dibina atau diperolehi mengikut penugasan masing-masing. Sebagai contoh, kapal peronda luar pesisir pantai (OPV) milik APMM yang diperolehi dari Jepun, ‘KM Arau’ dan ‘KM Pekan’ adalah dibina khusus untuk penugasan SAR kerana memiliki rekabentuk yang lebih stabil di kelajuan yang perlahan, manakala tiga buah OPV yang sedang dibina di Pulau Indah lebih merupakan kapal pelbagai peranan yang lebih sesuai. Kapal-kapal peronda generasi baharu (NGPC), kapal-kapal peronda laju yang diperolehi dari PDRM dan lain-lain agensi pula lebih sesuai ditugaskan di perairan pesisir pantai. Lebih banyak aset pelbagai peranan diperlukan dan bersesuaian dengan zon-zon penugasan.

Lebih banyak aset udara berkemampuan juga diperlukan, lebih-lebih lagi dalam keadaan pengoperasian pengawalan kedaulatan perairan negara dan juga tugas-tugas MSAR. Malah, aset-aset udara tersebut juga perlu boleh ditugaskan dalam pelbagai jenis cuaca dan lebih penting lagi, dilengkapi secukupnya untuk penugasan malam. Kita amat maklum dengan tragedi yang menimpa sebuah helikopter Sikorsky S-61A4 Nuri milik TUDM pada 16 Oktober 1996 ketika membuat penugasan menyelamat di laut pada waktu malam berhampiran Muka Head, Pulau Pinang yang mengorbankan seramai tiga orang anak kapal manakala dua lagi terselamat.

Berbalik kepada insiden ‘MV Dayang Topaz’, hubungan kerjasama antarabangsa di antara MRCC dan NSCC Brunei telah membolehkan penugasan operasi MSAR dijalankan dengan pantas. Penggunaan Sistem Global Kecemasan Maritim dan Keselamatan (GMDSS) untuk kapal-kapal bersaiz 300 tan ke atas atau lain-lain sistem seperti Suar Radio Kecemasan Yang Menunjukkan Kedudukan (EPIRB), Pemancar Kedudukan Kecemasan (ELT) untuk bot-bot lebih kecil dan juga Suar Kedudukan Persendirian (PLB) untuk peminat aktiviti laut juga dapat membantu pihak MRCC mencari kedudukan orang atau bot dan kapal yang perlu diselamatkan dengan lebih cekap dan pantas. Inilah kenapa sistem-sistem ini penting untuk semua yang menjalankan aktiviti-aktiviti di laut.

Dan sudah tentunya pencarian dan penyelamatan mereka yang memerlukan perkhidmatan ini akan menjadi lebih mantap sekiranya APMM dibekalkan dengan aset-aset yang amat diperlukan.