
Laksamana Philip Davidson, Komander Tentera Laut Amerika Syarikat (USN) di rantau Indo-Pasifik semasa memberi kenyataan kepada Jawatankuasa Senat untuk Perkhidmatan Bersenjata berkata beliau risau dengan perkembangan cita-cita tentera laut China (PLAN) untuk mengambil alih kedudukan USN sebagai tentera laut terulung, di samping mengenepikan peraturan berasaskan perundangan (rules-based order).
Setakat penghujung tahun 2020, jumlah kapal perang PLAN telah mengatasi jumlah yang dimiliki USN dengan kadar 1.2:1. Menurut Pejabat Risik Laut USN (ONI), pada tahun 2015 PLAN mempunyai 255 buah kapal perang. Kini ia memiliki 360 buah kapal perang berbanding 297 milik USN. PLAN dijangka memiliki 400 buah kapal perang dalam tahun 2025 berbanding 355 untuk USN. Kapal-kapal yang diterima oleh PLAN kini adalah jauh lebih canggih berbanding yang pernah dimilikinya dua dekad lalu. Malah, kapal pembinasa Jenis 055 dikatakan memiliki sistem dan persenjataan yang mengatasi kecanggihan kapal pembinasa kelas Ticonderoga milik USN.
PERTAHANAN LAUT DEKAT/PERLINDUNGAN LAUT JAUH
China selama ini mengamalkan doktrin pertahanan laut dekat di mana aset-aset pertahanan adalah lebih sesuai untuk mempertahankan tanah besar China dari serangan luar dan mempertahankan Taiwan dari sebarang percubaan tentera asing untuk menawan pulau tersebut semula setelah ditawan semula oleh China.
Doktrin ini kini telah dilengkapkan dengan doktrin perlindungan laut jauh. Dalam situasi peperangan, China perlu tentukan penguasaannya ke atas laluan-laluan perhubungan laut (SLOC) yang membawa bekalan-bekalan barang-barang keperluan kepadanya. Untuk tujuan tersebut, ia perlu meletakkan aset pertahanan jauh dari tanah besar. Untuk menentukan penguasaan ke atas mineral dan khazanah dasar laut, Pengawal Pantai China (CCG) dikerahkan untuk mencegah kemasukan bot-bot nelayan serta kapal-kapal gerudi miik negara yang mempunyai tuntutan ke atas zon-zon maritim Laut China Selatan (SCS).
CCG yang baru-baru ini diberi kuasa untuk menggunakan kekerasan termasuk melepaskan tembakan ke arah mana-mana vesel yang dianggap menceroboh kawasan perairannya termasuk vesel-vesel penguatkuasaan negara-negara tersebut, termasuk milik Maritim Malaysia.
China menggunakan alasan memperkasakan tentera laut jarak jauh untuk memberi bantuan bencana kemanusiaan (HDR) dan lain-lain bantuan masa aman, tetapi ini merupakan konsep yang boleh bertukar kepada operasi ofensif jarak jauh untuk mencapai cita-cita perlindungan laut jauh.
Selain CCG, satu pasukan yang tidak boleh kita pandang remeh ialah pasukan militia maritim milik China (PLAMM) yang sering menggunakan bot-bot nelayan besar yang diperkukuhkan strukturnya. Anak-anak kapalnya diambil dari kalangan veteran tentera, dan setiap kapal mempunyai stor simpanan senjata api kecil. Dengan haluan yang diperbuat dari besi, kapal-kapal ini juga dilengkapi dengan meriam air, menjadikan mereka kapal-kapal yang paling berkuasa, mempunyai kebolehan untuk menghentam atau melanggar mana-mana kapal asing dan melakukan serangan.
Kedua-dua CCG dan PLAMM kini diletakkan di bawah naungan Angkatan Tentera China (PLA).
Melalui CCG dan PLAMM, kerajaan China berpeluang menulis semula peraturan kebebasan pelayaran (rules of freedom of navigation), perkukuhkan tuntutan-tuntutan maritimnya, menguasai sumber-sumber penting, dan memperluaskan jangkauan ekonominya di seluruh dunia.
SIKAP CHINA DAN PERSEDIAAN MALAYSIA
China mungkin tunjukkan sikap kerjasama dengan negara-negara serantau. Walaupun begitu, sikap China terhadap Vietnam dan Hong Kong boleh dijadikan iktibar.
Semasa campurtangan Amerika Syarikat dalam Perang Saudara Vietnam, China telah memberi sokongan kepada Vietnam Utara untuk mengekang pengaruh Amerika Syarikat dan Soviet Union di negara jirannya itu. Namun, pada tahun 1974 dan 1988, China telah bertempur dengan Vietnam untuk berebut terumbu-terumbu di Kepulauan Paracels dan Spratlys. Pada tahun 1979, China telah melanggar Vietnam sebagai tindakbalas pendudukan Vietnam di Kampuchea.
Walaupun sejak 2005 China lebih gemar menggunakan CCG dan PLAMM untuk cuba menguasai Laut China Selatan dan Laut China Timur (ECS), ia masih mengamalkan sikap ‘paksaan dan pencerobohan‘ (coercion and aggression) untuk menakut-nakutkan jirannya. Contoh termasuk sikap campurtangannya dalam hal-ehwal demokrasi di Hong Kong, persengketaan di sempadannya dengan India, dan juga tanpa ragu-ragu menenggelamkan bot-bot nelayan Vietnam.
Kehadiran 220 kapal PLAMM di Terumbu Whitsun adalah merupakan contoh terkini. Terumbu Subi yang ditambaknya pada tahun 2014 kini telah menerima tambakan tambahan dengan keluasan sekitar tujuh ekar. Kedudukan terumbu ini hanya sekitar 14 batu nautika (26 kilometer) jaraknya dari Pulau Thitu (Pag-asa dalam Bahasa Tagalog).
Dengan menggunakan CCG dan PLAMM, China cuba mencapai hajat untuk mengawal dan menyekat kemasukan kapal-kapal perang dan penguatkuasaan negara-negara asing ke kawasan-kawasan yang dituntut olehnya. Kemudian, ia akan gunakan PLAN untuk mengembangkan unjuran kuasa (force projection expansion) dan meningkatkan keupayaan mengekang pencerobohan kawasan (area-denial capability) di SCS dan ECS.
Filipina telah selesai membina sebuah pelantar mendarat (beaching ramp) di Pulau Pag-asa manakala Vietnam telah memperkukuhkan pertahanan udara dan pesisiran pantai di Pulau Sin Cowe sebagai tindakbalas terhadap sikap China.
Di sini kita dapat lihat betapa pentingnya peranan yang dimainkan oleh Maritim Malaysia dalam perairan Zon Kelabu. Sebagai sebuah agensi penguatkuasaan awam separa-tentera (paramilitary civilian enforcement agency), penggunaan aset-aset Maritim Malaysia sebagai respon untuk memintas aset-aset CCG dan PLAMM adalah lebih bersifat diplomatik berbanding penggunaan aset-aset milik TLDM. Aset-aset Maritim Malaysia memberi ruang untuk penyelesaian diplomatik manakala penggunaan aset-aset TLDM untuk tujuan yang sama dilihat lebih bersifat agresif.
Lebih banyak perhatian perlu diberikan terhadap pembangunan aset-aset laut dan udara Maritim Malaysia di samping aset-aset sokongan seperti pangkalan sendiri serta sistem Perintah, Kawalan, Komunikasi, Komputer, Risikan, Pemantauan dan Peninjauan (C4ISR) nya sendiri, untuk menentukan kedaulatan ZEE Malaysia terpelihara. Aset-aset ini perlu mampu bersaing dengan aset-aset CCG terutamanya bukan sahaja untuk mengekang kemasukan secara haram aset-aset CCG dan PLAMM, malah juga kapal-kapal nelayan jarak jauh (DWF) yang dilindungi kedua-dua buah organisasi ini.
Kerajaan harus sedar bahawa tanpa aset-aset ini, CCG, PLAMM dan kapal-kapal DWF mereka akan berleluasa di perairan kita, sambil menghalang dan mengganggu bot-bot nelayan tempatan. Usaha China menuntut kawasan dan khazanah milik kita sudah tentu akan merugikan kita, apatah lagi dengan kerosakan ekologi dan ekosistem laut kita yang dilakukan melalui penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak dikawal (illegal, unreported and unregulated fishing – IIU).
Jika tiada usaha yang menyeluruh dan serius oleh kerajaan untuk membangunkan keupayaan Maritim Malaysia, trend yang dibawa oleh China akan mengancam dan menjejaskan bukan sahaja kedaulatan, tetapi juga bidang keselamatan (realm of security) bukan tradisi negara ini seperti ekologi dan ekonominya.
You must be logged in to post a comment.