Semasa saya berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia sebagai seorang pegawai lebih tiga dekad yang lalu, gaji saya sebagai seorang Leftenan Muda hanyalah RM700 dengan sekali kenaikan sahaja dalam pangkat tersebut berjumlah RM750. Itu sebelum dipotong. Elaun perkhidmatan yang diterima adalah sebanyak RM115 manakala elaun sewa rumah bagi mereka berpangkat Kapten ke bawah hanyalah RM450 sebulan.
Adalah menjadi suatu mimpi buruk sekiranya ditempatkan di bandar-bandar besar. Kuarters kediaman pegawai mahupun lain-lain pangkat tidak pernah mencukupi dan hanya dikhususkan buat mereka yang berjawatan penting sahaja seperti Pegawai Memerintah, Ajutan, Ketua Cawangan-Cawangan. Jika anda tidak berjawatan sedemikian maka bersedialah untuk menyewa di luar.
Mimpi ngeri saya adalah apabila saya ditempatkan di Markas Pemerintahan Pendidikan Udara di Jalan Azyze, Pulau Pinang dan telahpun berkahwin. Sukar benar untuk mendapatkan rumah sewa yang elok dan mampu. Harga sewa sebuah unit flat di Tanjung Tokong pada ketika itu adalah sekitar RM250 tetapi tidak pernah ada yang kosong. Rumah teres pula sewanya RM800 sebulan. Untuk kuarters (rumah keluarga) tentera pula, selain kami di Tanjung Bungah, terdapat elemen tentera darat seperti Markas 2 Divisyen, Kem Batu Uban, dan Kem Sungai Ara. Kuarters di Pangkalan Udara Butterworth pula penuh dengan anggota dan pegawai yang berkhidmat di sana.
Maka saya terpaksa menyewa di rumah setinggan di sebuah kampung yang tidak lagi wujud, iaitu Kampung Haji Mahmood. Bayaran sewanya ialah sebanyak RM150 sebulan termasuk elektrik dan air. Ianya bukanlah rumah. Sebaliknya hanyalah bilik yang disambung di belakang rumah tuan rumah – satu bilik yang juga merupakan ruang makan dan ruang tamu, satu sudut untuk menempatkan dapur masak, satu bilik mandi yang juga merupakan tandas disebabkan ketiadaan tandas. Maka, membuang air besar adalah di atas lantai dan kemudiannya disimbah.
Ramai di antara pegawai dan anggota yang duduk bujang di mes, berjumpa dengan keluarga seminggu atau dua minggu sekali. Ada yang berulang ke Pulau Pinang setiap hari walaupun tinggal di Gurun (semasa itu lebuhraya PLUS hanya wujud di antara Bukit Kayu Hitam hingga Gurun, dan Changkat Jering hingga Ipoh) sebab sewa di sana lebih murah. Beberapa orang anggota mengalami kecederaan teruk akibat kemalangan jalanraya untuk datang atau balik kerja.
Kedai PERNAMA yang ada di Jalan Gajah, Tanjung Tokong dan di Kem Sungai Ara bukanlah macam PERNAMA yang ada sekarang. Dulu tidak berapa ada barangan dapur sebagaimana yang ada di PERNAMA sekarang. Maka, pukul 4.15 petang, saya bersama beberapa orang pegawai dan anggota lain akan pergi memancing sama ada di Teluk Bahang ataupun di seberang jalan berhadapan dengan rumah sewa saya (kini telah ditambak dan didirikan apartmen-apartmen mewah).
Saya mempunyai sebuah peti ais kecil yang dibeli semasa bujang, sebuah televisyen warna 12-inci, dan sebuah radio. Untuk televisyen, saya dikenakan pembayaran lesen sebanyak RM24 setahun, untuk radio pula RM12 setahun untuk setiap radio.

Di Kuala Lumpur, rakan saya berpangkat Kapten yang bertugas di Kementerian Pertahanan ketika itu terpaksa menyewa di sebuah rumah setinggan di Jalan Jelatek (kini tapak Kondo Sri Maya). Seorang Sarjan di bawah saya menyewa rumah kampung di Kampung Tengah, Batu 12 Puchong (berhampiran One City Subang Jaya kini) dan berulang ke Kementerian Pertahanan.
Kalau dapat kuarters pun, iaitu semasa di Alor Setar, daripada tiga bilik yang ada, saya hanya gunakan dua buah bilik. Satu untuk saya dan anak-anak, satu lagi untuk tetamu jika ada. Bilik yang satu lagi itu tidak pernah saya masuk sebab kadang-kadang terdapat ular tedung yang memburu tikus-tikus di dalam rumah.
Begitulah GAHnya kami berpakaian seragam pegawai tentera dan berjalan di celah lorong-lorong perumahan setinggan setiap hari, naik kapcai tidak bercukai jalan untuk pergi bertugas, tinggalkan isteri dan anak-anak dalam suatu suasana tidak selamat. Suatu keadaan yang tidak berubah di bawah sebuah pentadbiran selama 22 tahun.
Berbeza sekali keadaannya sekarang. Kerajaan yang ada kini banyak memikirkan kebajikan para pegawai dan anggota ATM. Saya lihat skim demi skim disediakan untuk ATM, bukan sahaja dari segi kuarters, malah juga rumah mampu milik. Tidak cukup dengan itu, bantuan perumahan juga dipanjangkan kepada para veteran ATM yang berkelayakan.

Untuk warga ATM yang bertugas, contohnya di sekitar Kuala Lumpur, selain kemudahan PERNAMA yang jauh lebih baik, diwujudkan pula Pasar Tani yang menawarkan harga lebih murah dari harga jualan biasa.
Kebajikan dari segi penjagaan kesihatan warga ATM juga ditambah baik. Kini terdapat lima buah hospital angkatan tentera (HAT) utama yang telah dibina atau dinaik taraf di seluruh negara, tidak termasuk Rumah Sakit Angkatan Tentera yang terdapat di unit-unit serta pangkalan-pangkalan.
Para veteran ATM juga tidak lagi perlu hanya menagih simpati daripada hospital-hospital kerajaan dan HAT, kerana akan dibina sebuah hospital khusus untuk para veteran ATM, manakala enam buah poliklinik yang turut mengandungi pusat rawatan hemodialisis untuk menjaga kebajikan kesihatan para veteran ATM juga diwujudkan. Sebuah poliklinik untuk warga dan veteran ATM kini sedang rancak di bina di Kem Penrissen, Kuching.
Latihan-latihan peralihan untuk bakal pesara tentera juga kini lebih baik dan diurustadbir secara teratur. Tidak seperti di zaman saya di mana bakal pesara diberi kursus berpusat selama dua minggu dan kemudiannya dilepaskan seperti kerbau tidak bertambat selama enam hingga lebih setahun, dan kemudiannya kecundang di dunia awam kerana tidak mempunyai kemahiran yang diiktiraf.
Dulu para pesara tentera tidak berpencen hanya akan menerima saguhati menurut pangkat terakhir dan jumlah tahun perkhidmatan, dan pandai-pandailah nak hidup di luar.
Kerajaan sekarang memandang serius golongan veteran yang terbiar ini dan membuat satu inisiatif yang diberi nama Bantuan Bakti Negara (BBN) untuk para veteran dari golongan B40 yang menerima BR1M. Walaupun hanya RM1,200 setahun untuk golongan veteran B40 dan RM600 untuk semua veteran tidak berpencen berumur 60 tahun ke atas, ianya merupakan bonus buat veteran tidak berpencen yang terbiar di bawah sebuah pentadbiran selama 22 tahun sebelum ini.
Untuk bakal veteran tidak berpencen, mereka diberi pilihan untuk menyertai Skim Anuiti Veteran (SAVe) di mana mereka akan menerima bantuan setiap bulan sehingga akhir hayat.
Anak-anak warga ATM juga tidak dipinggirkan. Selain bantuan kemasukan ke kolej dan universiti, peluang mengukuhkan asas pendidikan juga kini disediakan dengan cadangan pembinaan sebuah Maktab Rendah Sains Mara di Bera, di mana 30 peratus kuota kemasukan disediakan untuk anak-anak warga dan veteran ATM.
Banyak lagi inisiatif-inisiatif yang telah diwujudkan dalam sembilan tahun pertama pentadbiran Najib Razak yang menyokong kepimpinan Hishammuddin Hussein dalam membantu Panglima ATM dan Panglima Perkhidmatan-Perkhidmatan menaikkan moral melalui kebajikan yang lebih baik bukan sahaja untuk warga ATM, malah untuk para veteran ATM juga. Sembilan tahun yang lebih baik dari keseluruhan peluang 22 tahun yang telah diberikan kepada seorang Perdana Menteri sebelum ini yang tidak pernah mengambil berat hal ehwal kebajikan warga dan veteran ATM.
Nikmat apa lagi yang hendak kita dustakan?
You must be logged in to post a comment.