Veteran ATM: Semua Yang Dituntut Telahpun Ditunaikan

Lazim kita akan dapati mesej-mesej yang ditularkan sama ada di dalam group WhatsApp mahupun Facebook adalah merupakan cerita-cerita lama yang dikitar semula kerana ketandusan isu untuk dimainkan. Melihat kepada sikap para pembaca dan mereka yang gemar tularkan mesej-mesej ini, kita dapat lihat betapa ceteknya pemahaman mereka mengenai perjalanan pentadbiran sesebuah kerajaan. Bak kata pepatah Inggeris, “Rome was not built in a day“, begitu juga dengan kerajaan. Kerajaan perlu membuat perancangan jangkamasa pendek (5 tahun atau satu penggal, contoh Rancangan Malaysia Ke-11) dan jangkamasa panjang yang berdasarkan road map (contoh Transformasi Nasional 2050). Menjanjikan sesuatu sepertimana yang terdapat di dalam manifesto-manifesto pembangkang bukan caranya untuk mentadbir. Sesuatu yang popular itu tidak semestinya baik untuk sesebuah negara – contoh: Adolf Hitler.

Sejak bubarnya Dewan Rakyat, banyak isu lama diketengahkan semula, dan di antaranya adalah isu yang melibatkan kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (Veteran ATM). Terkini, ditularkan semula lima tuntutan oleh kumpulan Pahlawan yang dibuat dua tahun yang lepas. Pihak Kementerian Pertahanan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran mungkin pernah menjawab isu ini. Tidak mengapalah. Saya akan menjawab semula setiap tuntutan yang dikemukakan itu.

Tuntutan 1: Menuntut Kenaikan Pencen Pesara Veteran ATM Selaras Dengan Kenaikan Gaji Semasa

Apabila seseorang itu memasuki perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), beliau akan tertakluk kepada skim perkhidmatan ketika itu, manakala pencen yang diberikan adalah tertakluk kepada gaji akhir anggota atau pegawai tersebut.

Pada tahun 2013, setelah sekian lama berada ditakuk skim yang kuno, skim perkhidmatan yang baru telah diperkenalkan oleh ATM. Ini selaras dengan penambahbaikan sistem Tred (Ketukangan) dan Band. Skim ini memerlukan kelayakan akademik yang lebih tinggi. Sudah tentu ianya tidak sama dengan skim yang para pesara Veteran ATM terima semasa mereka di dalam perkhidmatan. Adakah adil, sebagai contoh, pesara yang dahulunya menyertai skim pegawai ATM menggunakan hanya kelulusan SPM Gred 1 menerima skim yang sama dengan para pegawai sekarang yang rata-ratanya pemegang ijazah?

Pun begitu, pelarasan amaun pencen berdasarkan penambahbaikan skim gaji kakitangan awam masih dilaksanakan sehingga skim SSM 2012. Mulai 1 Januari 2013, Kerajaan telah meluluskan kenaikan pencen sebanyak DUA PERATUS setiap tahun kepada SEMUA penerima pencen bagi menampung kos sara hidup yang kian meningkat.

Ini bermakna, kenaikan pencen sebanyak dua peratus adalah lebih baik kerana jika pelarasan gaji dilaksanakan oleh Kerajaan setiap lima tahun, para pesara telahpun menerima di antara 10 hingga 12 peratus kenaikan pencen mereka dalam tempoh tersebut.

Tuntutan 2: Menuntut Kerajaan Memberi Imbuhan Sebanyak RM6,000 Setahun Kepada Veteran ATM Tidak Berpencen

Sejak Merdeka, belum pernah ada satu skim pun yang dilaksanakan yang betul-betul dapat memberi sedikit bantuan kepada para Veteran ATM yang tamatkan perkhidmatan dengan baik tanpa pencen. Saya termasuk dalam golongan ini. Namun, saya amat berasa gembira dengan dua buah inisiatif Kerajaan yang diumumkan tahun lepas yang boleh membantu Veteran ATM dari golongan ini.

Untuk Veteran ATM tidak berpencen yang tergolong dalam kumpulan penerima BR1M yang telah menamatkan perkhidmatan sebelum November 2017, skim Bantuan Bakti Negara (BBN) diperkenalkan. Untuk golongan ini, mereka menerima sebanyak RM1,200 setahun di atas BR1M yang mereka terima daripada Kerajaan. Bagi mereka yang berumur 60 tahun ke atas pula, dan tidak tergolong dalam kumpulan penerima BR1M, mereka menerima sebanyak RM600 setahun.

Ini adalah merupakan bantuan untuk menampung kos sara hidup, bukannya elaun sara hidup oleh Kerajaan. Sebagai Veteran yang telah diberi berbagai jenis kemahiran dan kekuatan daya mental, kita patut lebih gigih mencari pendapatan sendiri dan menerima bantuan-bantuan yang disebutkan tadi sebagai bonus.

Skim yang kedua pula adalah untuk mereka yang berhenti sebelum bersara bermula bulan November 2017. Bagi golongan ini, satu inisiatif yang dinamakan Skim Anuiti Veteran (SAVe) dilakukan oleh Kerajaan. Melalui skim ini, mereka yang menamatkan perkhidmatan sebelum 21 tahun dan memilih pilihan SAVe akan menerima bayaran anuiti secara bulanan bagi membantu mereka dalam menampung kos sara hidup.

Tuntutan 3. Hak Mewariskan Pencen Kepada Isteri Yang Dikahwini Selepas Tamat Perkhidmatan Manakala Pencen Terbitan Harus Untuk Sepanjang Hayat

Saya harap rakan-rakan Veteran ATM ambil perhatian bahawa sebelum ini pemberian pencen terbitan kepada balu yang dikahwini selepas tamat perkhidmatan hanyalah selama tempoh 12 1/2 tahun sahaja selepas tarikh persaraan. Namun, berkuatkuasa 1 Januari 2012, Kerajaan telah meluluskan untuk memanjangkan tempoh tersebut kepada 20 tahun selepas persaraan. Penetapan ini adalah selari dengan Akta Pencen, 1980 (Akta 227) bagi pesara perkhidmatan awam yang lain.

Tuntutan 4. Menuntut Penyeragaman Pencen Hilang Upaya (PHU) Dan Ex-Gratia Untuk Semua Veteran Tentera Hilang Upaya Semasa Operasi Ketenteraan/Pertempuran Tanpa Mengira Tahun Akhir Perkhidmatan

Kerajaan ada memberi Faedah Hilang Upaya (FHU) kepada anggota yang mendapat hilang upaya (HU) kekal yang diperkaitkan dengan tugas semasa perkhidmatan. Kadarnya pula dihitung berdasarkan gaji dan pangkat semasa veteran tersebut ditimpa kecederaan serta peratus HU yang ditetapkan oleh Lembaga Perubatan.

Bayaran HU tersebut terbahagi kepada dua iaitu bayaran secara one-off (ganjaran) bagi peratusan HU yang kurang dari 20 peratus atau bayaran secara bulanan (pencen HU) bagi peratusan HU sekurang-kurangnya 20 peratus.

Kemudian, Kerajaan juga menyediakan Ex-Gratia Kerja Perkhidmatan ATM yang telah diluluskan pada tahun 2017. Skim ini diberi kepada semua anggota yang mengalami HU kekal atau meninggal dunia akibat kejadian yang dikaitkan dengan tugas semasa perkhidmatan tanpa mengambil kira tarikh mereka mendapat kecederaan atau meninggal dunia.

Kaedah pembayaran kepada mereka yang layak adalah berpandukan syarat dan kadar bayaran pampasan di bawah skim tersebut melalui Perintah Majlis Angkatan Tentera Bilangan 9 Tahun 2008 (PMAT 9/2008), dan adalah tetakluk kepada syarat-syarat seperti had minimum bayaran pukal sebanyak RM2,000 dan bayaran bulanan sebanyak RM200.

Bayaran ini juga telah berkuat kuasa mulai 1 Januari 2017 bagi penambahbaikan untuk penerima pencen hilang upaya yang tidak menerima pencen perkhidmatan veteran yang layak telah dibayar Skim Hilang Upaya Veteran mulai Januari 2017 dengan kadar minima RM500.00 sebulan dan kadar maksima sebanyak RM2000.00 sebulan.

Tuntutan 5. Menuntut Kerajaan Menyediakan Sebidang Tanah Kepada Veteran ATM Selepas Persaraan

Sebenarnya, ini memang sudah ada disediakan oleh Kerajaan sejak tahun 1973 lagi. Malangnya, ramai Veteran ATM yang tidak peka mengenai keistimewaan yang telah diberikan oleh Kerajaan. Perintah Majlis Angkatan Tentera Bilangan 7 Tahun 1973 (PMAT 7/1973) ada menyatakan bahawa seseorang anggota itu boleh memohon untuk memiliki tanah Kerajaan dan permohonan tersebut boleh dibuat melalui Kementerian Pertahanan.

Walau bagaimanapun, Kementerian Pertahanan mahupun kerajaan Persekutuan tidak mempunyai hak untuk meluluskan permohonan tanah tersebut kerana hak hal ehwal tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, Kerajaan Persekutuan mahupun Kementerian Pertahanan tidak boleh mewajibkan Kerajaan Negeri untuk meluluskan permohonan tersebut.

Kesimpulan

Saya dapati ramai Veteran ATM yang tidak peka mengenai keistimewaan yang telah disediakan untuk mereka, dan mudah diperdaya oleh mereka yang mempunyai agenda tersendiri. Ramai juga di kalangan Veteran ATM yang menganggap sudah pun berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) setelah menamatkan perkhidmatan.

Hakikatnya, mereka perlu pergi ke pejabat JHEV berhampiran untuk mendaftar agar dapat merasai keistimewaan yang telah disediakan oleh kerajaan untuk membantu kehidupan pasca tentera. Nasihat saya kepada mereka, pergilah mendaftar sebagai seorang Veteran, dapatkan maklumat lanjut mengenai keistimewaan serta kemudahan yang disediakan. Bertanyalah juga kepada pihak JHEV mengenai persatuan-persatuan Veteran ATM yang berdaftar dengan JHEV berhampiran dengan tempat tinggal anda dan sentiasalah berhubung dengan persatuan-persatuan tersebut agar dapat mereka membantu salurkan bantuan jika perlu.

Janganlah kita beremosi tidak menentu dan marah apabila dicucuk. Maklumat sebenar ada dihujung jari dan gunakanlah kebijaksanaan kita sebagai bekas tentera terlatih untuk menilai setiap maklumat yang diterima.

%d bloggers like this: