Sedih apabila saya melihat seorang veteran Angkatan Tentera Malaysia dijadikan keldai tunggangan Pakatan Harapan apabila beliau berjalan dengan membawa sebuah bendera PKR dari Kuantan ke Putrajayauntuk membantah kos sara hidup yang tinggi.
Saya menganggapnya sebagai suatu penghinaan terhadap veteran ATM, pertamanya kerana veteran digunakan sebagai alat untuk meraih simpati terhadap “perjuangan” yang terpesong, dan keduanya, ia mengukuhkan lagi tanggapan bahawa veteran ATM memang tiada berpelajaran (askar Darjah 6) kerana tidak boleh berfikir secara rasional dan mudah terpengaruh.
Walaupun kita tidak lagi menjadikan minyak mentah sebagai bahan komoditi untama untuk pendapatan negara, pertumbuhan ekonomi kita tetap pesat. Fakta ini diakui oleh Bank Dunia dan juga IMF dan disokong oleh laporan-laporan para ekonomi dunia.
Namun, kita jangan lupa bahawa perkara yang wajib hadir dengan pertumbuhan ekonomi ialah inflasi. Saya yakin kita tidak pernah dengar semasa zaman kita kanak-kanak dahulu, ibubapa kita berkata bahawa barangan rumah pada ketika itu amat murah.
Dengan pertumbuhan ekonomi juga, perniagaan menjadi lebih efisien. Kalau kita lihat pada zaman dahulu kala kedai-kedai runcit menjadi tumpuan untuk membeli bukan sahaja barangan rumah tetapi juga pakaian seharian. Pada tahun 1960an dan 1970an muncul pusat beli belah seperti The Weld, Fitzpatrick, Jaya, Robinsons, Pertama Complex, Campbell Complex. Tahun 1980an semasa Mahathir menjadi Perdana Menteri kita lihat pula kemunculan pusat membeli belah Jepun seperti AEON, Yaohan, Hankyu. Di antaranya banyak yang sudah ditutup walaupun ekonomi Malaysia terus berkembang. Kini, banyak pula pasaraya dan pusat membeli belah tutup disebabkan era perniagaan digital yang menjual barangan secara online. Pada tahun 2016, perbelanjaan rakyat Malaysia membeli secara elektronik meningkat dengan mendadak walaupun banyak pasaraya dan pusat membeli belah yang tutup. Di Amerika Syarikat sahaja berpuluh ribu pasaraya terkenal telah menggulung tikar akibat penghijrahan konsumer dari pembelian secara fizikal kepada pembelian secara online.
Harga bahan api yang meningkat memberi kesan terhadap kos sara hidup kerana kos pengangkutan pula naik. Kerajaan tidak boleh mengawal harga bahan api seperti minyak kerana ianya tertakluk kepada harga pasaran dunia. Satu lagi faktor yang mempengaruhi kos sara hidup ialah gaya hidup rakyat Malaysia itu sendiri yang tidak pandai hidup mengikut kemampuan masing-masing. Tidak dinafikan juga kadar pertukaran Ringgit berbanding Dollar Amerika juga memainkan peranan dalam meningkatkan lagi kos sara hidup. Namun, walaupun Malaysia merupakan salah satu dari berpuluh negara yang terkesan akibat kejatuhan kadar pertukaran berbanding Dollah Amerika, Malaysia tidak begitu teruk terkesan berbanding banyak negara lain termasuk Jepun.
Kerajaan telah mengambil beberapa langkah untuk membantu terutamanya golongan B40 dengan mengadakan bantuan-bantuan seperti BR1M, Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik Rakyat 1Malaysia, mendirikan UTC dan RTC agar dapat memudahkan lagi rakyat membuat urusan dengan jabatan-jabatan kerajaan. Subsidi perubatan diteruskan walaupun kos ubatan dan peralatan perubatan semakin tinggi meningkat.
Untuk veteran ATM, pelbagai inisiatif juga telah diambil supaya dapat mengurangkan kos sara hidup dan meringankan beban mereka. Sebagai contoh, para veteran yang telah mengambil keputusan untuk menamatkan perkhidmatan sebelum layak pencen sebelum akhir 2016 diberi Bantuan Bakti Negara (BBN) untuk veteran dari golongan B40, di atas bantuan BR1M yang diterima. Untuk veteran golongan tersebut yang berumur 60 tahun ke atas, mereka akan menerima BBN walaupun mereka bukan dari golongan B40.
Untuk mereka yang menamatkan perkhidmatan tanpa pencen selepas 2016 disediakan pula Skim Anuiti Veteran ATM (SAVe) di mana veteran boleh mengambil pilihan untuk tidak mengeluarkan wang caruman dalam tabung LTAT. Hasilnya akan dibahagi kepada 12 pembayaran setahun secara purata. Bolehlah dianggap seperti bayaran pencen atau bonus kepada mereka yang tidak berpencen.
Kemudahan membeli barangan rumah pada harga yang lebih murah juga diberikan kepada Veteran ATM di kedai-kedai PERNAMA. Dalam membuka lembaran baru bagi para veteran ATM, PERNAMA turut melahirkan usahawan berjaya di Akademi Peruncitan PERNAMA, Kampus PERHEBAT.
Mereka bergelar veteran ATM tetapi dalam bidang perniagaan, mereka bergelar pencetus semangat keusahawanan.
Hospital Veteran ATM juga kini dalam perancangan untuk dibina di Ipoh manakala lima buah poliklinik khusus untuk veteran ATM akan dibina di seluruh negara tidak lama lagi. Ini adalah selain kemudahan perubatan percuma yang diberikan kepada para veteran ATM berdaftar yang jumlahnya menjangkau lebih 200 ribu orang. Bayangkan kos yang dibelanjakan untuk veteran ATM sahaja setiap tahun untuk perubatan.
Ini tidak termasuk bantuan pendidikan anak-anak veteran ATM, bantuan perumahan, kursus-kursus keusahawanan yang disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dari semasa ke semasa, serta Kuota Khas Haji yang disediakan untuk veteran ATM yang tidak diperolehi secara meluas dalam tempoh 30 tahun sebelum ini.
Kalau kita bandingkan dengan veteran tentera Amerika Syarikat, apa yang kerajaan telah sediakan untuk membantu para veteran ATM lebih banyak dan menyeluruh jika dibandingkan dengan apa yang disediakan oleh kerajaan Amerika Syarikat. Untuk perubatan, tidak semua veteran tentera AS diberi rawatan perubatan percuma di hospital-hospital veteran sahaja. Mereka yang tidak layak mendapat rawatan percuma dikehendaki membayar sebahagian dari kos rawatan.
Untuk pembelian rumah, pinjaman hanya akan diberikan sekiranya veteran tentera AS tersebut telah habis semua jalan untuk mendapatkan pinjaman perumahan biasa dari bank-bank dan institusi-institusi kewangan. Dan hanya mereka yang pernah berkhidmat semasa Perang Dunia Kedua (16 September 1940 hingga 25 Julai 1945), Perang Korea (27 Jun 1950 hingga 31 Januari 1955) dan Perang Vietnam (5 Ogos 1964 hingga 7 Mei 1975) sahaja yang layak menerima pinjaman perumahan veteran tentera AS. Selain itu, untuk veteran Perang Teluk, hanya mereka yang berkhidmat dua tahun berterusan di medan dibenarkan membuat pinjaman. Untuk mereka yang tidak pergi ke medan perang, lain-lain pangkat yang berkhidmat di antara 8 Mei 1975 hingga 7 September 1980, dan pegawai yang berkhidmat dari 9 Mei 1975 hingga 16 Oktober 1981 sahaja yang boleh membuat pinjaman.
Kemudahan yang disediakan buat veteran tentera British juga jauh lebih kurang dari apa yang disediakan untuk veteran ATM. Selain tidak mempunyai hospital-hospital khusus untuk veteran di bawah National Health Service, tiada skim perumahan disediakan untuk para veteran. Tiada juga bantuan untuk anak-anak veteran yang belajar di peringkat tinggi seperti yang diberikan kepada anak-anak veteran ATM.
Di sini, veteran ATM boleh memohon untuk memiliki rumah mampu milik di bawah Projek Perumahan Awam 1Malaysia (PPA1M), Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP), Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Skim Rumah Pertama.
Saya khuatir, di akhir perjalanan rakan veteran saya di atas di Putrajaya kelak, beliau hanya akan mendapat sakit kaki dan berasa kepenatan kerana usaha beliau tersebut hanyalah suatu agenda politik dan amat sia-sia. Berhubunglah dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran untuk mengetahui nikmat apa yang telah dikurniakan Allah SWT yang didustai oleh beliau.