22 Tahun Tentera Merana

rumahsetinggan

Semasa saya berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia sebagai seorang pegawai lebih tiga dekad yang lalu, gaji saya sebagai seorang Leftenan Muda hanyalah RM700 dengan sekali kenaikan sahaja dalam pangkat tersebut berjumlah RM750.  Itu sebelum dipotong. Elaun perkhidmatan yang diterima adalah sebanyak RM115 manakala elaun sewa rumah bagi mereka berpangkat Kapten ke bawah hanyalah RM450 sebulan.

Adalah menjadi suatu mimpi buruk sekiranya ditempatkan di bandar-bandar besar.  Kuarters kediaman pegawai mahupun lain-lain pangkat tidak pernah mencukupi dan hanya dikhususkan buat mereka yang berjawatan penting sahaja seperti Pegawai Memerintah, Ajutan, Ketua Cawangan-Cawangan.  Jika anda tidak berjawatan sedemikian maka bersedialah untuk menyewa di luar.

Mimpi ngeri saya adalah apabila saya ditempatkan di Markas Pemerintahan Pendidikan Udara di Jalan Azyze, Pulau Pinang dan telahpun berkahwin.  Sukar benar untuk mendapatkan rumah sewa yang elok dan mampu.  Harga sewa sebuah unit flat di Tanjung Tokong pada ketika itu adalah sekitar RM250 tetapi tidak pernah ada yang kosong.  Rumah teres pula sewanya RM800 sebulan.  Untuk kuarters (rumah keluarga) tentera pula, selain kami di Tanjung Bungah, terdapat elemen tentera darat seperti Markas 2 Divisyen, Kem Batu Uban, dan Kem Sungai Ara.  Kuarters di Pangkalan Udara Butterworth pula penuh dengan anggota dan pegawai yang berkhidmat di sana.

Maka saya terpaksa menyewa di rumah setinggan di sebuah kampung yang tidak lagi wujud, iaitu Kampung Haji Mahmood.  Bayaran sewanya ialah sebanyak RM150 sebulan termasuk elektrik dan air.  Ianya bukanlah rumah.  Sebaliknya hanyalah bilik yang disambung di belakang rumah tuan rumah – satu bilik yang juga merupakan ruang makan dan ruang tamu, satu sudut untuk menempatkan dapur masak, satu bilik mandi yang juga merupakan tandas disebabkan ketiadaan tandas. Maka, membuang air besar adalah di atas lantai dan kemudiannya disimbah.

Ramai di antara pegawai dan anggota yang duduk bujang di mes, berjumpa dengan keluarga seminggu atau dua minggu sekali.  Ada yang berulang ke Pulau Pinang setiap hari walaupun tinggal di Gurun (semasa itu lebuhraya PLUS hanya wujud di antara Bukit Kayu Hitam hingga Gurun, dan Changkat Jering hingga Ipoh) sebab sewa di sana lebih murah.  Beberapa orang anggota mengalami kecederaan teruk akibat kemalangan jalanraya untuk datang atau balik kerja.

Kedai PERNAMA yang ada di Jalan Gajah, Tanjung Tokong dan di Kem Sungai Ara bukanlah macam PERNAMA yang ada sekarang.  Dulu tidak berapa ada barangan dapur sebagaimana yang ada di PERNAMA sekarang.  Maka, pukul 4.15 petang, saya bersama beberapa orang pegawai dan anggota lain akan pergi memancing sama ada di Teluk Bahang ataupun di seberang jalan berhadapan dengan rumah sewa saya (kini telah ditambak dan didirikan apartmen-apartmen mewah).

Saya mempunyai sebuah peti ais kecil yang dibeli semasa bujang, sebuah televisyen warna 12-inci, dan sebuah radio.  Untuk televisyen, saya dikenakan pembayaran lesen sebanyak RM24 setahun, untuk radio pula RM12 setahun untuk setiap radio.

kghjmahmood
Kampung Haji Mahmood kini tidak wujud lagi. Tiada lagi rumah mampu sewa di Pulau Pinang

Di Kuala Lumpur, rakan saya berpangkat Kapten yang bertugas di Kementerian Pertahanan ketika itu terpaksa menyewa di sebuah rumah setinggan di Jalan Jelatek (kini tapak Kondo Sri Maya).  Seorang Sarjan di bawah saya menyewa rumah kampung di Kampung Tengah, Batu 12 Puchong (berhampiran One City Subang Jaya kini) dan berulang ke Kementerian Pertahanan.

Kalau dapat kuarters pun, iaitu semasa di Alor Setar, daripada tiga bilik yang ada, saya hanya gunakan dua buah bilik. Satu untuk saya dan anak-anak, satu lagi untuk tetamu jika ada.  Bilik yang satu lagi itu tidak pernah saya masuk sebab kadang-kadang terdapat ular tedung yang memburu tikus-tikus di dalam rumah.

Begitulah GAHnya kami berpakaian seragam pegawai tentera dan berjalan di celah lorong-lorong perumahan setinggan setiap hari, naik kapcai tidak bercukai jalan untuk pergi bertugas, tinggalkan isteri dan anak-anak dalam suatu suasana tidak selamat.  Suatu keadaan yang tidak berubah di bawah sebuah pentadbiran selama 22 tahun.

Berbeza sekali keadaannya sekarang.  Kerajaan yang ada kini banyak memikirkan kebajikan para pegawai dan anggota ATM.  Saya lihat skim demi skim disediakan untuk ATM, bukan sahaja dari segi kuarters, malah juga rumah mampu milik.  Tidak cukup dengan itu, bantuan perumahan juga dipanjangkan kepada para veteran ATM yang berkelayakan.

Screen Shot 2018-05-03 at 08.27.44
Rumah keluarga untuk lain-lain pangkat kini adalah jauh lebih baik dari para pegawai berpangkat Mejar semasa zaman saya berkhidmat

Untuk warga ATM yang bertugas, contohnya di sekitar Kuala Lumpur, selain kemudahan PERNAMA yang jauh lebih baik, diwujudkan pula Pasar Tani yang menawarkan harga lebih murah dari harga jualan biasa.

mindef04

Kebajikan dari segi penjagaan kesihatan warga ATM juga ditambah baik.  Kini terdapat lima buah hospital angkatan tentera (HAT) utama yang telah dibina atau dinaik taraf di seluruh negara, tidak termasuk Rumah Sakit Angkatan Tentera yang terdapat di unit-unit serta pangkalan-pangkalan.

Para veteran ATM juga tidak lagi perlu hanya menagih simpati daripada hospital-hospital kerajaan dan HAT, kerana akan dibina sebuah hospital khusus untuk para veteran ATM, manakala enam buah poliklinik yang turut mengandungi pusat rawatan hemodialisis untuk menjaga kebajikan kesihatan para veteran ATM juga diwujudkan.  Sebuah poliklinik untuk warga dan veteran ATM kini sedang rancak di bina di Kem Penrissen, Kuching.

mindef01

Latihan-latihan peralihan untuk bakal pesara tentera juga kini lebih baik dan diurustadbir secara teratur.  Tidak seperti di zaman saya di mana bakal pesara diberi kursus berpusat selama dua minggu dan kemudiannya dilepaskan seperti kerbau tidak bertambat selama enam hingga lebih setahun, dan kemudiannya kecundang di dunia awam kerana tidak mempunyai kemahiran yang diiktiraf.

mindef02

Dulu para pesara tentera tidak berpencen hanya akan menerima saguhati menurut pangkat terakhir dan jumlah tahun perkhidmatan, dan pandai-pandailah nak hidup di luar.

Kerajaan sekarang memandang serius golongan veteran yang terbiar ini dan membuat satu inisiatif yang diberi nama Bantuan Bakti Negara (BBN) untuk para veteran dari golongan B40 yang menerima BR1M.  Walaupun hanya RM1,200 setahun untuk golongan  veteran B40 dan RM600 untuk semua veteran tidak berpencen berumur 60 tahun ke atas, ianya merupakan bonus buat veteran tidak berpencen yang terbiar di bawah sebuah pentadbiran selama 22 tahun sebelum ini.

Untuk bakal veteran tidak berpencen, mereka diberi pilihan untuk menyertai Skim Anuiti Veteran (SAVe) di mana mereka akan menerima bantuan setiap bulan sehingga akhir hayat.

mindef05

Anak-anak warga ATM juga tidak dipinggirkan. Selain bantuan kemasukan ke kolej dan universiti, peluang mengukuhkan asas pendidikan juga kini disediakan dengan cadangan pembinaan sebuah Maktab Rendah Sains Mara di Bera, di mana 30 peratus kuota kemasukan disediakan untuk anak-anak warga dan veteran ATM.

mindef03

Banyak lagi inisiatif-inisiatif yang telah diwujudkan dalam sembilan tahun pertama pentadbiran Najib Razak yang menyokong kepimpinan Hishammuddin Hussein dalam membantu Panglima ATM dan Panglima Perkhidmatan-Perkhidmatan menaikkan moral melalui kebajikan yang lebih baik bukan sahaja untuk warga ATM, malah untuk para veteran ATM juga.  Sembilan tahun yang lebih baik dari keseluruhan peluang 22 tahun yang telah diberikan kepada seorang Perdana Menteri sebelum ini yang tidak pernah mengambil berat hal ehwal kebajikan warga dan veteran ATM.

Nikmat apa lagi yang hendak kita dustakan?

mindef06

Veteran ATM: Semua Yang Dituntut Telahpun Ditunaikan

Lazim kita akan dapati mesej-mesej yang ditularkan sama ada di dalam group WhatsApp mahupun Facebook adalah merupakan cerita-cerita lama yang dikitar semula kerana ketandusan isu untuk dimainkan. Melihat kepada sikap para pembaca dan mereka yang gemar tularkan mesej-mesej ini, kita dapat lihat betapa ceteknya pemahaman mereka mengenai perjalanan pentadbiran sesebuah kerajaan. Bak kata pepatah Inggeris, “Rome was not built in a day“, begitu juga dengan kerajaan. Kerajaan perlu membuat perancangan jangkamasa pendek (5 tahun atau satu penggal, contoh Rancangan Malaysia Ke-11) dan jangkamasa panjang yang berdasarkan road map (contoh Transformasi Nasional 2050). Menjanjikan sesuatu sepertimana yang terdapat di dalam manifesto-manifesto pembangkang bukan caranya untuk mentadbir. Sesuatu yang popular itu tidak semestinya baik untuk sesebuah negara – contoh: Adolf Hitler.

Sejak bubarnya Dewan Rakyat, banyak isu lama diketengahkan semula, dan di antaranya adalah isu yang melibatkan kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (Veteran ATM). Terkini, ditularkan semula lima tuntutan oleh kumpulan Pahlawan yang dibuat dua tahun yang lepas. Pihak Kementerian Pertahanan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran mungkin pernah menjawab isu ini. Tidak mengapalah. Saya akan menjawab semula setiap tuntutan yang dikemukakan itu.

Tuntutan 1: Menuntut Kenaikan Pencen Pesara Veteran ATM Selaras Dengan Kenaikan Gaji Semasa

Apabila seseorang itu memasuki perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), beliau akan tertakluk kepada skim perkhidmatan ketika itu, manakala pencen yang diberikan adalah tertakluk kepada gaji akhir anggota atau pegawai tersebut.

Pada tahun 2013, setelah sekian lama berada ditakuk skim yang kuno, skim perkhidmatan yang baru telah diperkenalkan oleh ATM. Ini selaras dengan penambahbaikan sistem Tred (Ketukangan) dan Band. Skim ini memerlukan kelayakan akademik yang lebih tinggi. Sudah tentu ianya tidak sama dengan skim yang para pesara Veteran ATM terima semasa mereka di dalam perkhidmatan. Adakah adil, sebagai contoh, pesara yang dahulunya menyertai skim pegawai ATM menggunakan hanya kelulusan SPM Gred 1 menerima skim yang sama dengan para pegawai sekarang yang rata-ratanya pemegang ijazah?

Pun begitu, pelarasan amaun pencen berdasarkan penambahbaikan skim gaji kakitangan awam masih dilaksanakan sehingga skim SSM 2012. Mulai 1 Januari 2013, Kerajaan telah meluluskan kenaikan pencen sebanyak DUA PERATUS setiap tahun kepada SEMUA penerima pencen bagi menampung kos sara hidup yang kian meningkat.

Ini bermakna, kenaikan pencen sebanyak dua peratus adalah lebih baik kerana jika pelarasan gaji dilaksanakan oleh Kerajaan setiap lima tahun, para pesara telahpun menerima di antara 10 hingga 12 peratus kenaikan pencen mereka dalam tempoh tersebut.

Tuntutan 2: Menuntut Kerajaan Memberi Imbuhan Sebanyak RM6,000 Setahun Kepada Veteran ATM Tidak Berpencen

Sejak Merdeka, belum pernah ada satu skim pun yang dilaksanakan yang betul-betul dapat memberi sedikit bantuan kepada para Veteran ATM yang tamatkan perkhidmatan dengan baik tanpa pencen. Saya termasuk dalam golongan ini. Namun, saya amat berasa gembira dengan dua buah inisiatif Kerajaan yang diumumkan tahun lepas yang boleh membantu Veteran ATM dari golongan ini.

Untuk Veteran ATM tidak berpencen yang tergolong dalam kumpulan penerima BR1M yang telah menamatkan perkhidmatan sebelum November 2017, skim Bantuan Bakti Negara (BBN) diperkenalkan. Untuk golongan ini, mereka menerima sebanyak RM1,200 setahun di atas BR1M yang mereka terima daripada Kerajaan. Bagi mereka yang berumur 60 tahun ke atas pula, dan tidak tergolong dalam kumpulan penerima BR1M, mereka menerima sebanyak RM600 setahun.

Ini adalah merupakan bantuan untuk menampung kos sara hidup, bukannya elaun sara hidup oleh Kerajaan. Sebagai Veteran yang telah diberi berbagai jenis kemahiran dan kekuatan daya mental, kita patut lebih gigih mencari pendapatan sendiri dan menerima bantuan-bantuan yang disebutkan tadi sebagai bonus.

Skim yang kedua pula adalah untuk mereka yang berhenti sebelum bersara bermula bulan November 2017. Bagi golongan ini, satu inisiatif yang dinamakan Skim Anuiti Veteran (SAVe) dilakukan oleh Kerajaan. Melalui skim ini, mereka yang menamatkan perkhidmatan sebelum 21 tahun dan memilih pilihan SAVe akan menerima bayaran anuiti secara bulanan bagi membantu mereka dalam menampung kos sara hidup.

Tuntutan 3. Hak Mewariskan Pencen Kepada Isteri Yang Dikahwini Selepas Tamat Perkhidmatan Manakala Pencen Terbitan Harus Untuk Sepanjang Hayat

Saya harap rakan-rakan Veteran ATM ambil perhatian bahawa sebelum ini pemberian pencen terbitan kepada balu yang dikahwini selepas tamat perkhidmatan hanyalah selama tempoh 12 1/2 tahun sahaja selepas tarikh persaraan. Namun, berkuatkuasa 1 Januari 2012, Kerajaan telah meluluskan untuk memanjangkan tempoh tersebut kepada 20 tahun selepas persaraan. Penetapan ini adalah selari dengan Akta Pencen, 1980 (Akta 227) bagi pesara perkhidmatan awam yang lain.

Tuntutan 4. Menuntut Penyeragaman Pencen Hilang Upaya (PHU) Dan Ex-Gratia Untuk Semua Veteran Tentera Hilang Upaya Semasa Operasi Ketenteraan/Pertempuran Tanpa Mengira Tahun Akhir Perkhidmatan

Kerajaan ada memberi Faedah Hilang Upaya (FHU) kepada anggota yang mendapat hilang upaya (HU) kekal yang diperkaitkan dengan tugas semasa perkhidmatan. Kadarnya pula dihitung berdasarkan gaji dan pangkat semasa veteran tersebut ditimpa kecederaan serta peratus HU yang ditetapkan oleh Lembaga Perubatan.

Bayaran HU tersebut terbahagi kepada dua iaitu bayaran secara one-off (ganjaran) bagi peratusan HU yang kurang dari 20 peratus atau bayaran secara bulanan (pencen HU) bagi peratusan HU sekurang-kurangnya 20 peratus.

Kemudian, Kerajaan juga menyediakan Ex-Gratia Kerja Perkhidmatan ATM yang telah diluluskan pada tahun 2017. Skim ini diberi kepada semua anggota yang mengalami HU kekal atau meninggal dunia akibat kejadian yang dikaitkan dengan tugas semasa perkhidmatan tanpa mengambil kira tarikh mereka mendapat kecederaan atau meninggal dunia.

Kaedah pembayaran kepada mereka yang layak adalah berpandukan syarat dan kadar bayaran pampasan di bawah skim tersebut melalui Perintah Majlis Angkatan Tentera Bilangan 9 Tahun 2008 (PMAT 9/2008), dan adalah tetakluk kepada syarat-syarat seperti had minimum bayaran pukal sebanyak RM2,000 dan bayaran bulanan sebanyak RM200.

Bayaran ini juga telah berkuat kuasa mulai 1 Januari 2017 bagi penambahbaikan untuk penerima pencen hilang upaya yang tidak menerima pencen perkhidmatan veteran yang layak telah dibayar Skim Hilang Upaya Veteran mulai Januari 2017 dengan kadar minima RM500.00 sebulan dan kadar maksima sebanyak RM2000.00 sebulan.

Tuntutan 5. Menuntut Kerajaan Menyediakan Sebidang Tanah Kepada Veteran ATM Selepas Persaraan

Sebenarnya, ini memang sudah ada disediakan oleh Kerajaan sejak tahun 1973 lagi. Malangnya, ramai Veteran ATM yang tidak peka mengenai keistimewaan yang telah diberikan oleh Kerajaan. Perintah Majlis Angkatan Tentera Bilangan 7 Tahun 1973 (PMAT 7/1973) ada menyatakan bahawa seseorang anggota itu boleh memohon untuk memiliki tanah Kerajaan dan permohonan tersebut boleh dibuat melalui Kementerian Pertahanan.

Walau bagaimanapun, Kementerian Pertahanan mahupun kerajaan Persekutuan tidak mempunyai hak untuk meluluskan permohonan tanah tersebut kerana hak hal ehwal tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, Kerajaan Persekutuan mahupun Kementerian Pertahanan tidak boleh mewajibkan Kerajaan Negeri untuk meluluskan permohonan tersebut.

Kesimpulan

Saya dapati ramai Veteran ATM yang tidak peka mengenai keistimewaan yang telah disediakan untuk mereka, dan mudah diperdaya oleh mereka yang mempunyai agenda tersendiri. Ramai juga di kalangan Veteran ATM yang menganggap sudah pun berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) setelah menamatkan perkhidmatan.

Hakikatnya, mereka perlu pergi ke pejabat JHEV berhampiran untuk mendaftar agar dapat merasai keistimewaan yang telah disediakan oleh kerajaan untuk membantu kehidupan pasca tentera. Nasihat saya kepada mereka, pergilah mendaftar sebagai seorang Veteran, dapatkan maklumat lanjut mengenai keistimewaan serta kemudahan yang disediakan. Bertanyalah juga kepada pihak JHEV mengenai persatuan-persatuan Veteran ATM yang berdaftar dengan JHEV berhampiran dengan tempat tinggal anda dan sentiasalah berhubung dengan persatuan-persatuan tersebut agar dapat mereka membantu salurkan bantuan jika perlu.

Janganlah kita beremosi tidak menentu dan marah apabila dicucuk. Maklumat sebenar ada dihujung jari dan gunakanlah kebijaksanaan kita sebagai bekas tentera terlatih untuk menilai setiap maklumat yang diterima.

Bila Veteran ATM Dijadikan Keldai Pakatan

Sedih apabila saya melihat seorang veteran Angkatan Tentera Malaysia dijadikan keldai tunggangan Pakatan Harapan apabila beliau berjalan dengan membawa sebuah bendera PKR dari Kuantan ke Putrajayauntuk membantah kos sara hidup yang tinggi.

Saya menganggapnya sebagai suatu penghinaan terhadap veteran ATM, pertamanya kerana veteran digunakan sebagai alat untuk meraih simpati terhadap “perjuangan” yang terpesong, dan keduanya, ia mengukuhkan lagi tanggapan bahawa veteran ATM memang tiada berpelajaran (askar Darjah 6) kerana tidak boleh berfikir secara rasional dan mudah terpengaruh.

Walaupun kita tidak lagi menjadikan minyak mentah sebagai bahan komoditi untama untuk pendapatan negara, pertumbuhan ekonomi kita tetap pesat. Fakta ini diakui oleh Bank Dunia dan juga IMF dan disokong oleh laporan-laporan para ekonomi dunia.

Namun, kita jangan lupa bahawa perkara yang wajib hadir dengan pertumbuhan ekonomi ialah inflasi. Saya yakin kita tidak pernah dengar semasa zaman kita kanak-kanak dahulu, ibubapa kita berkata bahawa barangan rumah pada ketika itu amat murah.

Dengan pertumbuhan ekonomi juga, perniagaan menjadi lebih efisien. Kalau kita lihat pada zaman dahulu kala kedai-kedai runcit menjadi tumpuan untuk membeli bukan sahaja barangan rumah tetapi juga pakaian seharian. Pada tahun 1960an dan 1970an muncul pusat beli belah seperti The Weld, Fitzpatrick, Jaya, Robinsons, Pertama Complex, Campbell Complex. Tahun 1980an semasa Mahathir menjadi Perdana Menteri kita lihat pula kemunculan pusat membeli belah Jepun seperti AEON, Yaohan, Hankyu. Di antaranya banyak yang sudah ditutup walaupun ekonomi Malaysia terus berkembang. Kini, banyak pula pasaraya dan pusat membeli belah tutup disebabkan era perniagaan digital yang menjual barangan secara online. Pada tahun 2016, perbelanjaan rakyat Malaysia membeli secara elektronik meningkat dengan mendadak walaupun banyak pasaraya dan pusat membeli belah yang tutup. Di Amerika Syarikat sahaja berpuluh ribu pasaraya terkenal telah menggulung tikar akibat penghijrahan konsumer dari pembelian secara fizikal kepada pembelian secara online.

Harga bahan api yang meningkat memberi kesan terhadap kos sara hidup kerana kos pengangkutan pula naik. Kerajaan tidak boleh mengawal harga bahan api seperti minyak kerana ianya tertakluk kepada harga pasaran dunia. Satu lagi faktor yang mempengaruhi kos sara hidup ialah gaya hidup rakyat Malaysia itu sendiri yang tidak pandai hidup mengikut kemampuan masing-masing. Tidak dinafikan juga kadar pertukaran Ringgit berbanding Dollar Amerika juga memainkan peranan dalam meningkatkan lagi kos sara hidup. Namun, walaupun Malaysia merupakan salah satu dari berpuluh negara yang terkesan akibat kejatuhan kadar pertukaran berbanding Dollah Amerika, Malaysia tidak begitu teruk terkesan berbanding banyak negara lain termasuk Jepun.

Kerajaan telah mengambil beberapa langkah untuk membantu terutamanya golongan B40 dengan mengadakan bantuan-bantuan seperti BR1M, Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik Rakyat 1Malaysia, mendirikan UTC dan RTC agar dapat memudahkan lagi rakyat membuat urusan dengan jabatan-jabatan kerajaan. Subsidi perubatan diteruskan walaupun kos ubatan dan peralatan perubatan semakin tinggi meningkat.

Untuk veteran ATM, pelbagai inisiatif juga telah diambil supaya dapat mengurangkan kos sara hidup dan meringankan beban mereka. Sebagai contoh, para veteran yang telah mengambil keputusan untuk menamatkan perkhidmatan sebelum layak pencen sebelum akhir 2016 diberi Bantuan Bakti Negara (BBN) untuk veteran dari golongan B40, di atas bantuan BR1M yang diterima. Untuk veteran golongan tersebut yang berumur 60 tahun ke atas, mereka akan menerima BBN walaupun mereka bukan dari golongan B40.

Untuk mereka yang menamatkan perkhidmatan tanpa pencen selepas 2016 disediakan pula Skim Anuiti Veteran ATM (SAVe) di mana veteran boleh mengambil pilihan untuk tidak mengeluarkan wang caruman dalam tabung LTAT. Hasilnya akan dibahagi kepada 12 pembayaran setahun secara purata. Bolehlah dianggap seperti bayaran pencen atau bonus kepada mereka yang tidak berpencen.

Kemudahan membeli barangan rumah pada harga yang lebih murah juga diberikan kepada Veteran ATM di kedai-kedai PERNAMA. Dalam membuka lembaran baru bagi para veteran ATM, PERNAMA turut melahirkan usahawan berjaya di Akademi Peruncitan PERNAMA, Kampus PERHEBAT.
Mereka bergelar veteran ATM tetapi dalam bidang perniagaan, mereka bergelar pencetus semangat keusahawanan.

Hospital Veteran ATM juga kini dalam perancangan untuk dibina di Ipoh manakala lima buah poliklinik khusus untuk veteran ATM akan dibina di seluruh negara tidak lama lagi. Ini adalah selain kemudahan perubatan percuma yang diberikan kepada para veteran ATM berdaftar yang jumlahnya menjangkau lebih 200 ribu orang. Bayangkan kos yang dibelanjakan untuk veteran ATM sahaja setiap tahun untuk perubatan.

Ini tidak termasuk bantuan pendidikan anak-anak veteran ATM, bantuan perumahan, kursus-kursus keusahawanan yang disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dari semasa ke semasa, serta Kuota Khas Haji yang disediakan untuk veteran ATM yang tidak diperolehi secara meluas dalam tempoh 30 tahun sebelum ini.

Kalau kita bandingkan dengan veteran tentera Amerika Syarikat, apa yang kerajaan telah sediakan untuk membantu para veteran ATM lebih banyak dan menyeluruh jika dibandingkan dengan apa yang disediakan oleh kerajaan Amerika Syarikat. Untuk perubatan, tidak semua veteran tentera AS diberi rawatan perubatan percuma di hospital-hospital veteran sahaja. Mereka yang tidak layak mendapat rawatan percuma dikehendaki membayar sebahagian dari kos rawatan.

Untuk pembelian rumah, pinjaman hanya akan diberikan sekiranya veteran tentera AS tersebut telah habis semua jalan untuk mendapatkan pinjaman perumahan biasa dari bank-bank dan institusi-institusi kewangan. Dan hanya mereka yang pernah berkhidmat semasa Perang Dunia Kedua (16 September 1940 hingga 25 Julai 1945), Perang Korea (27 Jun 1950 hingga 31 Januari 1955) dan Perang Vietnam (5 Ogos 1964 hingga 7 Mei 1975) sahaja yang layak menerima pinjaman perumahan veteran tentera AS. Selain itu, untuk veteran Perang Teluk, hanya mereka yang berkhidmat dua tahun berterusan di medan dibenarkan membuat pinjaman. Untuk mereka yang tidak pergi ke medan perang, lain-lain pangkat yang berkhidmat di antara 8 Mei 1975 hingga 7 September 1980, dan pegawai yang berkhidmat dari 9 Mei 1975 hingga 16 Oktober 1981 sahaja yang boleh membuat pinjaman.

Kemudahan yang disediakan buat veteran tentera British juga jauh lebih kurang dari apa yang disediakan untuk veteran ATM. Selain tidak mempunyai hospital-hospital khusus untuk veteran di bawah National Health Service, tiada skim perumahan disediakan untuk para veteran. Tiada juga bantuan untuk anak-anak veteran yang belajar di peringkat tinggi seperti yang diberikan kepada anak-anak veteran ATM.

Di sini, veteran ATM boleh memohon untuk memiliki rumah mampu milik di bawah Projek Perumahan Awam 1Malaysia (PPA1M), Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP), Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Skim Rumah Pertama.

Saya khuatir, di akhir perjalanan rakan veteran saya di atas di Putrajaya kelak, beliau hanya akan mendapat sakit kaki dan berasa kepenatan kerana usaha beliau tersebut hanyalah suatu agenda politik dan amat sia-sia. Berhubunglah dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran untuk mengetahui nikmat apa yang telah dikurniakan Allah SWT yang didustai oleh beliau.