Maafkan saya sekiranya artikel saya kali ini agak berbunga. Ini adalah kerana kita berada di dalam bulan Jun, dan ada tiga peristiwa yang pernah dan telah berlaku dalam bulan Jun.
Peristiwa yang pertama ialah peperangan di Kepulauan Falklands 35 tahun yang lalu dalam bulan Jun yang telah memperlihatkan pertempuran-pertempuran sengit di antara Angkatan Tentera Argentina dengan Angkatan Tentera British.
Peristiwa kedua ialah pertemuan saya dengan seorang bekas anggota lain-lain pangkat Tentera Udara DiRaja Malaysia yang kini bertugas di salah sebuah stesen televisyen utama di Malaysia. Saya teringatkan kata-kata beliau semasa kami sama-sama belayar di atas salah sebuah kapal milik Tentera Laut DiRaja Malaysia, iaitu, “Ramai sekarang lebih gemar berpakaian seperti tentera, berlagak seperti tentera, tetapi lalui latihan tentera untuk sehari pun tidak pernah.”
Peristiwa ketiga ialah peristiwa pelupusan sebuah pesawat Sikorsky S-61A4 Nuri yang telah menjadi buah mulut ramai sehingga ada yang sanggup merosakkan imej Angkatan Tentera Malaysia dan Kementerian Pertahanan.
Percaya atau tidak, ketiga-tiga peristiwa yang saya sebutkan di atas ada hubungkaitnya. Kita mulakan dengan cerita hangat, iaitu, pelupusan sebuah pesawat Nuri yang MUNGKIN telah banyak berjasa. Saya menggunakan dan menggariskan perkataan MUNGKIN itu kerana tidak ada sesiapapun yang boleh, dengan fakta, membuktikan bahawa pesawat tersebut setaraf dengan pesawat TUDM yang pertama, “Lang Rajawali (FM-1001)” ataupun kapal friget pertama yang dibina khusus untuk TLDM iaitu KD Rahmat.
Ada yang berinteraksi dengan saya melalui laman Facebook menyatakan bahawa pesawat Nuri tersebut pernah memainkan peranan membawa keluar para anggota tentera yang tercedera semasa tragedi Gubir pada tahun 1976. MUNGKIN. Tetapi tidak mungkin ianya satu-satu helikopter yang telah membuat tugas tersebut pada ketika itu. Bagaimana pula dengan trak tiga tan atau ambulan yang membawa anggota-anggota tersebut dari pesawat Nuri tersebut ke hospital? Ada yang nak dipamerkan di muzium juga?
Namun, ada pihak yang tidak berpuas hati dan terus menjadikan isu ini tular di media sosial hingga terpaksa pihak Kementerian Pertahanan masuk campur.

Mari kita lihat sebentar proses pelupusan harta kerajaan.
OBJEKTIF PELUPUSAN
Pelupusan sesuatu aset kerajaan adalah untuk memastikan kerajaan tidak menyimpan aset yang tidak diperlukan lagi atau yang tidak boleh digunakan lagi. Ini adalah untuk menjimatkan ruang simpanan aset tersebut dan bleh menjanakan sedikit kewangan untuk kerajaan.
Dalam isu ini, ada yang mempertikaikan harga pelupusan pesawat tersebut yang dikatakan jauh lebih murah dari harga pasaran. Untuk pengetahuan umum, kerajaan bukanlah sebuah badan untuk membuat keuntungan seperti badan swasta. Sebab itu pelupusan pesawat Nuri tersebut tidak mengikut harga pasaran. Begitu juga dengan tanah kerajaan. Penilaian tanah kerajaan tidak sama dengan penilaian tanah milik individu ataupun swasta.
Sebab itu juga faedah pinjaman perumahan bagi kakitangan kerajaan adalah pada kadar empat peratus. Adakah anda bersetuju sekiranya kerajaan memberi pinjaman kepada kakitangannya mengikut Base Lending Rate yang dikenakan oleh sektor perbankan?
Maka, jangan samakan proses pelupusan kerajaan dengan proses pelupusan swasta.
JUSTIFIKASI PELUPUSAN
Ada beberapa kategori yang diberikan kepada aset-aset yang hendak dilupuskan. Saya masih ingat satu ketika dahulu semasa Lembaga Audit Pelupusan datang ke pangkalan di mana saya bertugas, di antara barangan yang hendak dilupuskan adalah sejumlah rucksack (backpack) yang usang. Bukannya rosak sangat pun, tetapi telah dikategorikan sebagai usang. Beg-beg ini dipotong atau dikoyakkan di hadapan para juruaudit yang hadir. Memang sayang. Tetapi ianya telah usang.
Dalam isu pelupusan pesawat Nuri di atas, pesawat tersebut telah membuat pendaratan cemas di Pulau Perak pada penghujung tahun 2014 mengakibatkan kerosakan teruk kepada rangka pesawat tersebutyang tidak ekonomi untuk dibaiki. Saya yakin, setelah dibawa pulang ke pangkalan asal pesawat tersebut, ianya telah “digantung” dan dijadikan “pokok Krismas” di mana komponen-komponen yang boleh digunapakai sebagai alatganti lain-lain pesawat Nuri diambil dari pesawat tersebut. Sebab itulah buruk betul rupa pesawat tersebut.
Setelah habis komponen-komponen penting diambil dari rangka pesawat tersebut, satu tender dikeluarkan untuk melupuskan rangka pesawat tersebut.
Satu permohonan dibuat oleh pihak Unit Pengurusan Aset Kementerian Pertahanan, kepada Perbendaharaan Malaysia untuk melupuskan pesawat tersebut yang mana disertakan juga laporan kemalangan pesawat tersebut serta gambar-gambar. Kemudian satu Lembaga Pemeriksa Pelupusan akan ditubuhkan yang mana keanggotaannya juga melibatkan sekurang-kurangnya dua orang ahli yang tiada sangkut paut dengan aset yang hendak dilupuskan. Setelah semua proses dokumentasi selesai, barulah tender pelupusan dikeluarkan.
KENAPA TIDAK DIBERIKAN KEPADA MUZIUM?
Aset yang dilupuskan boleh diberikan kepada mana-mana pihak yang membuat permohonan. Tetapi ianya mesti memenuhi dua syarat:
- Ianya masih boleh digunakan lagi dalam bentuk dan fungsi asal tetapi tidak diperlukan lagi oleh agensi Kerajaan; atau
- Ianya tidak ekonomi diperbaiki tetapi boleh diguna sebagai bahan latihan dan pameran. Sebagai contoh: KD Rahmat yang masih dalam keadaan sempurna.
Persoalannya, adakah pesawat Nuri tersebut masih sempurna rupanya dan boleh dibuat bahan pameran? Anda lihat sendiri rupanya.
BAGAIMANA KISAH PESAWAT NURI INI BERHUBUNG KAIT DENGAN DUA LAGI KISAH DI ATAS?

Gambar di atas menunjukkan dua buah bekas kapal diraja Britain iaitu sebuah friget bernama HMS Broadsword dan kapal pengangkut pesawat HMS Hermes. Kedua-dua buah kapal tersebut telah ternyata banyak berjasa kepada pihak British semasa Peperangan Falklands pada bulan April hingga Jun 1982. Kapal-kapal tersebut adalah di antara sebab tentera Argentina mengalami kekalahan dan terpaksa menyerahkan Kepulauan Falklands balik kepada British.
Seelok-eloknya kapal-kapal tersebut dijadikan bahan pameran di muzium, atau di Sungai Thames di mana kapal era Perang Dunia Kedua HMS Belfast berada. Namun apakah nasib kedua-dua buah kapal tersebut?
HMS Broadsword telah dilucut tauliah dan dijual kepada Tentera Laut Brazil pada tahun 1995. HMS Hermes pula dilucut tauliah pada tahun 1984 dan kemudiannya dijual kepada Tentera Laut India pada tahun 1986. Malah, tidak ada satu pun di antara lebih 200 kapal yang menyertai armada Britain untuk menawan kembali Kepulauan Falklands dijadikan bahan pameran di muzium. Sebuah lagi kapal pemusnah yang berjasa, HMS Glasgow, telah dilucut tauliah pada tahun 2005, dan kemudian dilupuskan pada tahun 2009.
Malah, TLDM juga mempunya sebuah kapal yang menjadi kapal pertama dibina untuk TLDM iaitu KD Mutiara (jangan dikelirukan dengan KD Mutiara yang masih berkhidmat sekarang). Kapal KD Mutiara tersebut pernah membawa delegasi Malaya berunding dengan Borneo Utara, Brunei dan Sarawak mengenai penubuhan Persekutuan Malaysia. Delegasi Malaya ketika itu termasuk Tunku Abdul Rahman, Tun Haji Abdul Razak, dan Tun Ghazali Shafie. Ianya juga merupakan kapal TLDM pertama yang diberi gelaran “Kapal DiRaja.”
Itu memang aset yang amat bersejarah, malah memainkan peranan besar dalam penubuhan Malaysia. Kenapa tidak disimpan dan dijadikan bahan pameran muzium?

Teringat kembali kata-kata petugas stesen televisyen yang merupakan bekas anggota TUDM, “Ramai sekarang lebih gemar berpakaian seperti tentera, berlagak seperti tentera, tetapi lalui latihan tentera untuk sehari pun tidak pernah.”
Begitulah hakikatnya sekarang. Yang tidak pernah mengalami dunia ketenteraan yang begitu galak berkata-kata mengenai hal-ehwal ketenteraan sehingga mengajak rakyat berasa tidak puas hati dengan Angkatan Tentera Malaysia sedangkan tidak memahami proses pelupusan aset. Pesawat Nuri masih banyak yang berkhidmat dalam perkhidmatan Tentera Udara DiRaja Malaysia dan Tentera Darat Malaysia. Tunggu sahajalah satu hari nanti apabila kesemuanya tidak lagi berkhidmat untuk ATM. Banyak nanti bahan pameran. Cuma dikhuatirkan muzium yang tidak mencukupi
Tentera kuat berpegang kepada tradisi. Tentera juga tidak lupa kepada sejarah. Tetapi tentera tidak bersifat sentimental dan berhati tisu. Itu sifat tentera papan kekunci sahaja.
You must be logged in to post a comment.