Defence: Teka Bila Kem Tentera Mula Hendak Dijual?

Kian viral di WhatsApp ialah satu pesanan dari Yang Berbahagia Brigadier Jeneral Dato’ Mohammad Arshad bin Mohammad Raji (Bersara) yang pernah berbakti dalam Tentera Darat Malaysia.  Pesanan beliau berbunyi begini:

Surat terbuka kepada Menteri Pertahanan Malaysia

Kami dimaklumkan bahawa sebuah kem tentera peninggalan tentera British yang menyimpan banyak sejarah dan kenangan pahit manis pada ribuan veteran ATM yang pernah berkhidmat dan menduduki kem tersebut, akan dijual (atau pun sudah dijual) dengan sewenang- wenangnya kepada pihak awam.

Ini bukan kali pertama sebuah kem tentera peninggalan British dijual, tanpa menghormati sejarah silam, iaitu sesuatau yang amat berharga kepada veteran ATM, terutama bagi mereka-mereka yang pernah bertugas dan menduduki kem tersebut. Kem-kem peninggalan tentera British yang telah dijual oleh kerajaan adalah seperti berikut:

1. Kem Majidee, Johor Baharu, Johor
2. Kem Transit, Ampang, Selangor
3. Kem Tebrau, Johor Baharu, Johor
4. Kem Lapangan Terbang Sg. Besi, Kuala Lumpur

Kami baru difahamkan bahawa Kem Batu Kantomen, iaitu sebuah kem induk lojistik bagi Tentera Darat Malaysia bertempat di Jalan. Ipoh, Kuala Lumpur akan/telah menjadi mangsa untuk dijual/telah dijual. Disini kami ingin tahu samada maklumat berikut benar atau tidak:

1. Keluasan kem tersebut adalah dalam jangkauan 200 ekar.
2. Benarkah kem tersebut dijual secara rundingan terus kepada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT)?
3. Benarkah harga yang ditawarkan kepada LTAT ialah RM2.3 bilion, dan bukan mengikut nilai pasaran semasa?
4. Benarkah arahan sudah pun dikeluarkan bagi semua anggota dan unit yang sekarang masih bertempat di Kem tersebut berpindah keluar dengan secepat mungkin?
5. Benarkah peruntukan sebanyak RM700 juta disediaka untuk pemindahan ke kem-kem lain buat sementara waktu sehingga kem baru disediakan?
6. Benarkah RM1,6 bilion dari harga jualan tersebut akan digunakan bagi membayar veteran-veteran yang tidak berpencen, yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri pada Perhimpunan Raksaksa Veteran pada 31 Jułai ini di MIECC, Balakong, Selangor.

Persoalan nya sekarang……apa perlunya Kem yang besejarah ini dijual dengan begitu tergesa gesa dan melalui rundingan terus?

Sekiranya tiada sebarang kenyataan dibuat oleh Menteri Pertahanan dalam tempoh 14 hari dimana mana media massa menafikan maklumat ini, maka kami anggap maklumat ini benar. Jika ianya benar, maka adakah ini satu petanda bahawa kerajaan sedang menghadapi kesulitan kewangan akibat skandal 1MDB, dan tujuan Kem Batu Kantomen dijual secara tergesa gesa adalah bagi menyelamat kan kerajaan dari masalah kesulitan kewangan serius yang dihadapi sekarang?

Brig Jen Dato Arshad Raji ( B)”

Sebagai seorang bekas pegawai tentera, saya berasa amat terharu masih ada di kalangan bekas pegawai kanan tinggi Angkatan Tentera Malaysia yang masih mengambil berat akan kebajikan para veteran serta tradisi ketenteraan. Semoga Allah Subhanahu Wa Ta’ala merahmati niat murni beliau.

Namun sebagai seorang yang gemar mengkaji, saya suka membaca apa jua pesanan mahupun artikel-artikel dan kemudian membuat sedikit penyelidikan untuk memastikan fakta-fakta yang diberikan bukan sahaja oleh YBhg Dato’ Arshad, tetapi oleh sesiapa sahaja.  Dan sepertimana di dalam grup-grup WhatsApp Veteran yang mana saya ikuti, sekiranya betul dan memberi manfaat akan saya kongsi, yang tidak betul saya terangkan.

Sebagaimana kisah mengenai “kedudukan strategik” Pangkalan Udara Kuala Lumpur yang telah saya terangkan, kisah kini berkisar beberapa buah kem Tentera Darat (TD) yang merupakan kem-kem warisan peninggalan British.  Sudah tentu tempat-tempat tersebut mempunyai banyak peninggalan sejarah.  Kem-kem tersebut di atas adalah, elok saya ulangi di sini, Kem Majidee dan Kem Tebrau di Johor Bahru, Kem Transit Ampang di Selangor, dan Kem Batu Kantonmen di Kuala Lumpur.  Di antara kem-kem yang saya sebutkan di atas, Kem Batu Kantonmen mempunyai nilai sentimental buat saya kerana pada tahun 1988 di situlah saya dan rakan-rakan bermain ragbi melawan pasukan MINDEF Officers Rugby semasa membuat persediaan untuk perlawanan tiga perkhidmatan menentang TD dan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM).

Kedudukan Kem Batu Kantonmen kini

Namun, kepesatan pembangunan kawasan bandar menyebabkan kesemua kem yang dinyatakan di atas dihimpit pembangunan yang tidak lagi menjadikan kawasan-kawasan tersebut strategik.  Kalau dulu kem-kem tersebut berada di pinggir atau luar bandar, kini kesemuanya terhimpit dalam sebuah bandaraya yang membangun pesat.

Pelan penjualan Kem Batu Kantonmen ini sebenarnya dibuat pada tahun 2002 lagi, tujuh tahun sebelum 1MDB ditubuhkan.  Ketika itu, negara ditadbir oleh seorang Perdana Menteri yang lain.  Kerajaan Negeri Perak ketika itu juga telah menyediakan satu tapak seluas 680 hektar (hampir 7 kali keluasan Kem Batu Kantonmen) untuk tujuan penempatan unit-unit TD yang terkesan akibat pembelian kem tersebut.

Pada tahun 2011, Boustead Holdings yang ketika itu mempunyai Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sebagai pemegang saham terbesar, iaitu 59 peratus saham syarikat, telah menyatakan

Berpandukan nilai hartanah pada tahun 2011, tanah yang belum ditukar kegunaan milik Kem Batu Kantonmen seluas 98 hektar (atau bersamaan 240 ekar) itu adalah sekitar RM40 hingga RM80 sekaki persegi.  Ini bermakna jumlah yang boleh diperoleh dari penjualan tanah tersebut ialah sebanyak RM845 juta.  Nilai tersebut KINI adalah sekitar RM1.7 billion.

Sepatutnya kita tidak mempersoalkan sebarang pembelian yang dibuat oleh sama ada Boustead mahupun LTAT kerana apa jua pembelian yang mendatangkan hasil untuk kepada kedua-dua organisasi tersebut akan memberi manfaat kepada para anggota dan pegawai sama ada yang masih berkhidmat mahupun yang telah bersara.  Ini adalah kerana Nilai Pembangunan Kasar tanah tersebut sebanyak RM8 billion setelah ditawarkan kepada LTAT dengan harga RM2.3 billion bermakna keuntungan kasar yang bakal diperolehi adalah berjumlah RM3.2 billion, yang mana akan menjadi dividen masa hadapan LTAT itu sendiri.

Sekiranya benar RM700 juta telah diperuntukkan untuk perpindahan yang dinyatakan juga adalah satu jumlah yang besar dan berpatutan.  Malah, kita sepatutnya berasa gembira adik-adik kita yang kini berkhidmat, berpeluang dipindahkan ke kem-kem serta pangkalan-pangkalan yang moden, lebih selesa, dan lebih sesuai sebagai instalasi tentera berbanding bangunan-bangunan uzur.

Kenapa juga kita mempersoalkan kenapa kem-kem bersejarah ini dijual secara terus tanpa memanggil tender?  Pada saya, ini soalan peringkat amatur dan bukannya peringkat pakar strategi.  Sekiranya dipanggil tender maka ianya terbuka kepada syarikat-syarikat pemaju gergasi yang pasti akan menafikan Boustead atau LTAT peluang untuk membuat keuntungan yang boleh dinikmati oleh semua yang menabung di LTAT dan para veteran.

Yang saya tidak faham adalah kenapa seorang bekas pegawai kanan tinggi TD mempersoalkan imbuhan sebanyak RM1.6 billion yang akan diberikan kepada para veteran yang bersara tanpa pencen?  Adakah para veteran tidak berpencen tidak layak menerima imbuhan seperti bayaran pencen bulanan yang diterima oleh mereka yang berpencen? Adakah veteran tidak berpencen berada dalam kasta yang lebih rendah dalam hirarki Veteran?

Sayugia diingatkan juga buat semua veteran dan mereka yang masih dalam perkhidmatan, begitu getir cabaran mereka yang berkhidmat sebelum kita sehingga merdekanya Tanah Melayu dan terbentuknya Malaysia kemudian dari diberi arahan oleh pihak British yang mentadbir kita sebelum ini.

Pada tahun 2016, Kementerian Pertahanan United Kingdom telah membuat pelan untuk menjual LIMA PULUH ENAM kem-kem tentera termasuk kem-kem tentera yang lagi penuh dengan sejarah, termasuk yang pernah digunakan untuk melatih para tentera semasa Perang Dunia Kedua seperi Woolwich Barracks di London dan Fort George yang sejak azali menjadi kem Batalion Ketiga, Rejimen DiRaja Scotland.

Kini kita pula ingin memalukan mereka yang berkhidmat sebelum kita dengan menjulang peninggalan kolonialis.  Kalau benar dkerajaan pusat bersalah menjual kem-kem usang yang disanjungi, kenapa kita berdiam diri apabila bangunan bersejarah yang pernah menempatkan Markas Dua Divisyen di Jalan Sultan Ahmad Shah, Georgetown, Pulau Pinang dijual dan dirobohkan untuk pembangunan baharu?  Banyak juga kenangan saya di bangunan tersebut dalam tahun 1980an.

Dan telah dibuktikan bahawa 1MDB tidak mengalami sebarang kerugian mahupun kesulitan kewangan.  Saya kecewa sekiranya YBhg Dato Arshad mempergunakan emosi para veteran untuk mencapai tujuan politik kerana kenyataan yang melibatkan 1MDB sememangnya berbaur politik.

Biarlah sekiranya kita hendak memperjuangkan hak, perjuangkanlah dengan betul, dan bukannya berlandaskan yang batil.  Kita ini semuanya veteran.  Setiap hari kubur menghampiri kita.  Eloklah kita benar dalam percakapan dan perbuatan tanpa sebarang niat yang memesongkan.