Defence: Skim Bantuan Bakti Negara Untuk Veteran ATM Tidak Berpencen

Tatacara Skim Bantuan Bakti Negara (BBN)
SOALAN-SOALAN LAZIM (FAQ) UNTUK BANTUAN BAKTI NEGARA (BBN)

 

Soalan 1        :  Siapakah yang layak membuat permohonan BBN?

 

Jawapan 1    : Pemohon yang layak membuat permohonan BBN mesti memenuhi syarat-syarat seperti berikut:

 

  1. Veteran ATM, iaitu Warganegara Malaysia yang telah berkhidmat sepenuh masa dan tidak pernah dibersarakan atau diberhentikan daripada perkhidmatan atas alasan salah laku dalam mana-mana Angkatan yang berikut:

 

  • Angkatan Tetap ATM;

 

  • Angkatan Sukarela yang dikerah sepenuh masa oleh ATM tanpa mengira tempoh perkhidmatan;

 

  • Force 136;

 

  • Tentera British yang berkhidmat di Malaya / Malaysia atau Singapura; dan

 

  • Sarawak Rangers.

 

  1. Tarikh tamat tempoh perkhidmatan (TTP) sebelum 1 November 2017.

 

  1. Bermastautin di Malaysia.

 

  1. Tidak menerima sebarang pencen.

 

  1. Veteran dengan jumlah pendapatan isi rumah kasar bulanan RM4,000.00 dan ke bawah (atau penerima BR1M).

 

  1. Veteran yang berumur 60 tahun ke atas layak memohon walaupun bukan penerima BR1M.

 

Soalan 2        :  Bilakah pemohon boleh mula membuat permohonan BBN?

 

Jawapan 2    : Permohonan BBN boleh dibuat mulai 31 Julai 2017 hingga 31 Oktober 2017 (tertakluk kepada pindaan dan pemakluman rasmi dari semasa ke semasa).

 

Soalan 3        :   Bagaimanakah pemohon membuat permohonan BBN?

 

Jawapan 3    : Permohonan BBN dilaksanakan dengan cara mengisi dan menghantar Borang BBN sama ada secara dalam talian atau melalui borang (manual).

 

  1. Permohonan Dalam Talian.

 

Permohonan BBN boleh dibuat melalui Portal Rasmi Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV), http://bbn.jhev.gov.my. Permohonan dalam talian hanya boleh dibuat dengan menggunakan komputer sahaja dan simpan salinan permohonan bagi tujuan rekod pendaftaran. Aplikasi e-BBN tidak direkabentuk untuk capaian peranti mudah alih.

 

  1. Permohonan Melalui Borang (manual).

 

Borang BBN boleh diperoleh secara percuma di lokasi berikut:

 

  • Portal Rasmi JHEV.

 

  • Ibu Pejabat JHEV / Pejabat JHEV Cawangan Negeri / Persatuan Veteran ATM (PVATM).

 

Soalan 4        :  Dimanakah pemohon boleh menghantar Borang BBN yang telah diisi dengan lengkap?

 

Jawapan 4    :  Pemohon boleh menghantar Borang BBN di kaunter-kaunter berikut:

 

  1. Ibu Pejabat JHEV.

 

  1. Pejabat JHEV Cawangan Negeri.

 

  1. Pejabat Persatuan-persatuan Veteran ATM.

 

Nota:  Penghantaran secara faks dan e-mel tidak akan diterima.

 

Soalan 5        : Apakah dokumen yang perlu dikemukakan bersama Borang BBN?

 

Jawapan 5    : Pemohon perlu mengemukakan Borang BBN bersama dokumen-dokumen berikut:

 

  1. Salinan MyKad / MyTentera.

 

  1. Salinan Buku Pengakuan Perkhidmatan (BAT D 86/92)/Sijil Berhenti Pasukan Sukarela ATM (BAT B 84) semua muka surat; atau Surat Pengesahan Perkhidmatan; atau Arahan Dokumentasi Persaraan/Tamat Perkhidmatan yang dikeluarkan oleh Jabatan Arah Rekod dan Pencen (JRP).

 

  1. Salinan Kad Bekas Tentera/Kad Veteran (jika ada).

 

  1. Salinan buku akaun bank persendirian yang masih aktif (muka surat yang tercatat nama dan no. akaun sahaja) atau penyata akaun bank.

 

  1. Salinan slip gaji bulanan terkini atau bukti pendapatan.

 

Soalan 6        : Adakah pemohon perlu mengemukakan dokumen sokongan sekiranya pemohon telah menghantar Permohonan BBN secara dalam talian?

 

Jawapan 6    : Ya. Pemohon perlu mengemukakan dokumen sokongan yang diperlukan sekiranya menerima mesej peringatan yang dipaparkan semasa permohonan dalam talian dibuat.

 

 

Soalan 7        :  Bilakah tarikh pembayaran BBN bermula?

 

Jawapan 7    :  Pembayaran BBN akan bermula pada 4 Disember 2017.

 

Soalan 8        :  Adakah ahli isi rumah / waris layak menerima BBN sekiranya veteran telah meninggal dunia?

 

Jawapan 8    :   Tidak layak. BBN dibayar kepada veteran yang masih hidup sahaja.

 

Soalan 9        : Apakah jumlah pendapatan yang perlu pemohon melaporkan pada Borang BBN jika pendapatan terkini pemohon tersebut termasuk gaji bulanan, bonus dan elaun-elaun lain?

 

Jawapan 9    :  Pemohon perlu melaporkan gaji kasar bulanan dan elaun-elaun lain kecuali bonus bagi semua isi rumah.

 

Soalan 10     : Apakah yang pemohon perlu melakukan sekiranya pemohon tersebut tidak mengisi nombor akaun bank semasa Permohonan BBN?

 

Jawapan 10  :  Pengisian nombor akaun bank adalah diwajibkan bagi urusan pembayaran melalui Elektronik Fund Transfer (EFT).

 

Soalan 11     :  Adakah saya layak membuat Permohonan BBN sekiranya saya hanya mempunyai Kad Pengenalan Lama dan tidak pernah membaharuinya?

 

Jawapan 11  : Pemohon perlu merujuk Jabatan Pendaftaran Negara untuk mendapatkan MyKad kerana Permohonan BBN mewajibkan penggunaan MyKad.

 

Soalan 12     :  Adakah pemohon layak membuat permohonan BBN sekiranya pemohon tersebut merupakan Warganegara Asing?

 

Jawapan 12  : Bantuan ini adalah untuk Warganegara Malaysia sahaja. Warganegara Asing tidak layak membuat permohonan BBN.

 

Soalan 13     : Adakah pemohon layak membuat permohonan BBN jika pemohon tersebut tidak menetap di Malaysia?

 

Jawapan 13  :  Tidak layak, bantuan ini adalah untuk Warganegara Malaysia yang menetap di Malaysia sahaja.

 

Soalan 14     : Jika isteri / suami pemohon juga merupakan bekas tentera yang tidak berpencen, adakah beliau layak membuat permohonan BBN?

 

Jawapan 14  : Tidak layak. BBN hanya dibayar sekali sahaja untuk setiap isi rumah.

 

 

 

 

Soalan 15     : Saya merupakan bekas tentera yang menamatkan perkhidmatan dengan tidak berpencen tetapi menyambung perkhidmatan dengan Kerajaan sehingga berpencen, adakah saya layak memohon BBN?  

 

Jawapan 15  : Tidak layak. BBN hanya diberikan kepada mereka yang tidak menerima sebarang pencen.

 

Soalan 16     : Saya merupakan bekas tentera yang menerima pencen hilang upaya sahaja, adakah saya layak memohon BBN?

 

Jawapan 16  : Tidak layak. BBN hanya diberikan kepada mereka yang tidak menerima sebarang pencen.

 

Soalan 17     : Saya merupakan bekas tentera yang menerima pencen di bawah paras pencen minimum RM950.00 sebulan, adakah saya layak memohon BBN?

 

Jawapan 17  : Tidak layak. BBN hanya diberikan kepada mereka yang tidak menerima sebarang pencen.

 

Soalan 18     : Saya pernah berkhidmat dalam Askar Wataniah / Pasukan Simpanan Sukarela TLDM atau TUDM, adakah saya layak memohon BBN?

 

Jawapan 18  :  Tidak Layak, hanya anggota Angkatan Sukarela yang pernah dikerah berkhidmat sepenuh masa sahaja layak memohon BBN.

 

Soalan 19     : Saya dibersarakan atau diberhentikan daripada perkhidmatan ATM atas alasan tatatertib / salah laku, adakah saya layak memohon BBN?

 

Jawapan 19  :  Tidak layak.

 

Soalan 20     : Mengapakah BBN tidak diberikan kepada veteran yang berpencen?

 

Jawapan 20  :  Veteran yang berpencen telah menerima pencen bulanan dan menerima Bantuan Khas Kewangan (Bonus) daripada Kerajaan setiap tahun.

 

LAIN-LAIN 

 

Soalan 21     : Bagaimanakah cara saya untuk mengetahui status permohonan BBN?

 

Jawapan 21  : Status permohonan BBN boleh diketahui melalui cara berikut:

 

  1. Portal Rasmi BBN di Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV), http://http://bbn.jhev.gov.my.

 

  1. Melalui e-mel berdasarkan alamat e-mel yang dikemukakan semasa permohonan terutama bagi permohonan yang berstatus tidak lulus.

 

  1. Menghubungi JHEV di talian 03 – 2697 6600.

 

  1. Hadir sendiri ke Ibu Pejabat JHEV / Pejabat JHEV Cawangan Negeri.

 

Soalan 22     : Bagaimana cara untuk saya mendapatkan maklumat terkini, membuat pertanyaan atau aduan berkaitan BBN?

 

Jawapan 22  : Anda boleh mendapatkan maklumat terkini, membuat pertanyaan atau aduan melalui saluran berikut:

 

  1. Portal Rasmi BBN di Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV), http://bbn.jhev.gov.my.

 

  1. Menghubungi JHEV di talian 03 – 2697 6600.

 

  1. Hadir sendiri ke Ibu Pejabat JHEV/ Pejabat JHEV Cawangan Negeri.

 

Soalan 23     : Jika seseorang didapati memberi maklumat palsu, apakah tindakan yang akan dikenakan?

 

Jawapan 23  : Seseorang yang didapati memberi maklumat palsu boleh disabitkan kesalahan di bawah seksyen 193 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga (3) tahun dan denda serta disenaraihitam oleh Kementerian Pertahanan Malaysia dari menerima BBN.

 

Soalan 24     : Maklumat saya telah digunakan oleh individu lain bagi tujuan permohonan BBN. Apakah yang perlu saya lakukan?

 

Jawapan 24  : Anda perlu membuat laporan polis dan kemukakan bersama salinan pengenalan (isi rumah), sijil perkahwinan / Sijil Kematian / Sijil Perceraian (jika berkaitan) ke Ibu Pejabat JHEV / Pejabat JHEV Cawangan Negeri untuk tindakan selanjutnya.

 

Soalan 25     : Saya telah disenaraihitam oleh Kementerian Pertahanan, apa yang perlu saya lakukan?

 

Jawapan 25  :  Anda perlu merujuk kepada Sekretariat BBN seperti berikut:

 

Bilik Operasi BBN

Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM

Kementerian Pertahanan Malaysia

Aras 9 Menara TH Perdana

1001 Jalan Sultan Ismail

50250 KUALA LUMPUR

 

Hotline BBN : 03 – 2697 6600

 

Soalan 26     : Apakah tindakan yang perlu dibuat jika saya telah dimaklumkan permohonan telah diluluskan dan wang BBN telah dikreditkan ke dalam akaun  tetapi semakan saya mendapati wang BBN tidak dikreditkan atau dikeluarkan oleh pihak ketiga?

 

Jawapan 26  : Anda perlu membuat semakan dengan pihak bank dan mendapatkan penyata bank terperinci berdasarkan tarikh transaksi pembayaran fasa berkenaan. Sekiranya:

 

  1. Tiada transaksi kemasukan wang – aduan perlu dibuat ke Ibu Pejabat JHEV / Pejabat JHEV Cawangan Negeri yang berdekatan dengan membawa penyata bank terperinci.

 

  1. Wujud transaksi pengeluaran wang oleh pihak ketiga – laporan polis perlu dibuat dan kemukakan laporan polis serta penyata bank terperinci ke Ibu Pejabat JHEV / Pejabat JHEV Cawangan Negeri untuk tindakan selanjutnya.

 

Soalan 27     : Akaun bank saya telah dibekukan kerana diisytiharkan muflis / senaraihitam. Bagaimana cara untuk saya mendapat wang BBN tersebut?

 

Jawapan 27  : Anda perlu merujuk kepada Jabatan Insolvensi Malaysia bagi mendapatkan kebenaran khas untuk pengeluaran wang BBN melalui akaun bank.

 

Soalan 28     : Apakah dokumen yang perlu dikemukakan semasa penunaian di bank bagi status gagal kredit ke dalam akaun?

 

Jawapan 28  : Tuan perlu membawa Surat Makluman Lulus / Gagal Kredit BBN dan Baucar beserta MyKad asal ke mana-mana cawangan bank yang mengambil bahagian. Salinan pendua tidak dibenarkan.

 

Soalan 29     : Apakah tindakan yang perlu dilakukan jika nombor akaun telah dikemukakan semasa permohonan BBN tetapi status pengkreditan adalah gagal?

 

Jawapan 29  : Surat Pemakluman Lulus / Gagal Kredit BBN dan Baucar akan diposkan kepada penerima untuk penunaian di mana-mana cawangan bank yang mengambil bahagian.

 

Soalan 30     : Saya pernah berkhidmat dalam Border Scout, adakah saya layak memohon BBN?

 

Jawapan 30  :  Tidak layak. Border Scout tidak termasuk dalam perkhidmatan ATM.

 

Defence: Nasib Veteran Angkatan Tentera Yang Tidak Berpencen Dibela Kerajaan

Najib berkata kerajaan Barisan Nasional yang ada sekarang akan terus mencari jalan untuk membela nasib para veteran ATM – gambar hiasan oleh Roy Azis Abd Aziz, pemberita Muin,Amizul,Khairul,Syakir (Utusan,Kosmo)
Veteran Angkatan Tentera Malaysia (VATM) yang sebelum ini memilih untuk menamatkan perkhidmatan mereka sebelum layak menerima pencen kerana telah sampai tarikh tamat tempoh perkhidmatan dan tidak lagi mahu menyambung perkhidmatan sehingga mencapai umur layak pencen.

Mereka bukanlah diberhentikan kerana melanggar undang-undang, tetapi telah mencapai tempoh minima yang diperlu mereka berkhidmat sebagai seorang tentera.  Mereka diberi wang yang telah mereka carum dalam Lembaga Tabung Angkatan Tentera, yang mana kerajaan juga mencarum sebahagian dari simpaan mereka ini yang akan digunakan untuk menyara kehidupan setelah meninggalkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Walaupun ramai yang berjaya tetapi ramai juga kecundang dalam kehidupan setelah keluar dari perkhidmatan ATM.

Kerajaan sememangnya ada membantu nasib VATM dengan bantuan-bantuan yang diperlukan seperti menanggung kos perubatan para VATM. Ramai yang tidak tahu bahawa kos perubatan mereka di klinik-klinik serta hospital-hospital kerajaan, isteri mereka serta anak yang masih ditanggung yang lahir semasa mereka masih di dalam perkhidmatan adalah ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

VATM juga masih menikmati kemudahan pembelian dari kedai-kedai PERNAMA yang mana kebanyakan barangan dikecualikan dari cukai eksais, cukai kastam dan cukai jualan yang dapat membantu mengurangkan kos sara hidup, walaupun sudah lama menamatkan perkhidmatan.

Begitu juga dengan latihan-latihan serta kursus-kursus kemahiran yang diadakan secara percuma di PERHEBAT bagi membantu para veteran mendapat ilmu dalam bidang-bidang khusus di mana orang awam perlu membayar sekitar empat angka untuk mendapat sijil yang sama.

Malah khairat kematian dan bantuan sara hidup bagi balu dan anak-anak veteran ATM yang telah meninggal dunia yang memenuhi kriteria juga diberikan oleh kerajaan dan setakat ini lebih 5,000 keluarga telah menerima kemudahan ini.

Kemudahan ini dinikmati oleh seramai 288,952 orang VATM berdaftar setakat bulan Mei 2017, yang mana 118,371 atau 41 peratus adalah VATM berpencen manakala 170,581 atau 51 peratus adalah mereka yang tidak berpencen.


Paling kurang sejak empat tahun yang lalu setelah memperkenalkan Skim Veteran Tidak Berpencen 1 Malaysia (SVT1M), kerajaan cuba merangka satu lagi inisiatif yang baru untuk membantu nasib VATM yang tidak berpencen.  Hasilnya, hari ini Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak telah mengumumkan dua inisiatif baru – satu untuk pegawai dan anggota ATM yang akan menamatkan perkhidmatan tanpa berpencen, dan inisiatif yang satu lagi adalah untuk para VATM tanpa pencen.

Untuk mereka yang bakal menamatkan perkhidmatan tanpa berpencen, syarat-syarat kelayakan Skim Anuiti Veteran (SAVe) akan diumumkan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) kepada anda.

Untuk para VATM yang tidak berpencen, anda boleh melihat syarat-syarat kelayakan serta soalan-soalan lazim mengenai skim Bantuan Bakti Negara di sini – Bantuan Bakti Negara (BBN).

Bagi para VATM dari kalangan anggota tetap dan bekas anggota Wataniah yang dikerah  sepenuh masa yang mana mereka berkhidmat kurang daripada 10 Tahun serta tidak menerima Pencen Perkhidmatan yang terpaksa diberhentikan awal daripada perkhidmatan akibat mengalami kecederaan dan kecacatan kekal sewaktu menjalankan tugas, sebelum ini mereka hanya menerima Skim Pencen Hilang Upaya sebanyak RM65 sahaja. Jumlah perolehan adalah berdasarkan kepada peratus kecederaan/hilang upaya yang dialami, pangkat dan gaji serta tempoh perkhidmatan ketika insiden berlaku.


Untuk golongan ini, Najib Razak mengumumkan penambahbaikan bagi Skim Pencen Hilang Upaya dan para VATM golongan ini akan mendapat kenaikan kadar pencen bermula antara 300% sehingga 800% untuk pembayaran pencen mereka. Ia melibatkan nilai minima dari RM500 sehinggalah nilai maksimum berjumlah RM2000.

Bagi VATM yang hilang upaya selepas menamatkan perkhidmatan pula, Insentif Veteran Kelainan Upaya yang diusahakan oleh Tabung Pahlawan PV ATM, Insentif yang selama ini berjumlah RM500 setahun dinaikkan kepada RM1,000 setahun yang mana pembayarannya akan dibuat dalam dua peringat setahun.

Lebih ramai juga VATM yang akan dapat peluang menunaikan ibadah Haji setelah Najib Razak mengumumkan kenaikan kuota jemaah Haji bagi VATM dari 100 orang sebelum ini kepada 400 orang setiap musim.

Selain itu, Menteri Pertahanan Dato’ Seri Hishammuddin Hussein mengumumkan bahawa selain bantuan-bantuan yang disalurkan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) satu Call Centre juga akan diwujudkan di JHEV sebagai pemudahcara bagi para veteran serta keluarga untuk menghubungi JHEV untuk mengutarakan masalah yang mereka hadapi.


Najib Razak juga telah melancarkan Kempen Tabung Pahlawan 2017.  Sebanyak RM1.85 juta telah disumbang oleh pihak korporat termasuk Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Weststar Sdn Bhd, Affin Bank, Boustead Plantations Berhad, Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd, Boustead Heavy Industries Corporation Bhd,  Tenaga Nasional Berhad dan Pharmaniaga Berhad.

Turut hadir dalam majlis tersebut termasuk Menteri Pertahanan Dato’ Seri Hishammuddin Hussein, Timbalan Menteri Pertahanan Dato’ Sri Mohd Johari bin Baharum, pucuk pemerintahan Angkatan Tentera Malaysia, dan Pengerusi Persatuan Veteran Angkatan Tentera, Senator Laksamana Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor (Bersara).  Turut hadir adalah lebih kurang 20,000 orang Veteran ATM iaitu lebih dari 15,000 orang Veteran ATM tidak berpencen yang dijemput.