Mereka bukanlah diberhentikan kerana melanggar undang-undang, tetapi telah mencapai tempoh minima yang diperlu mereka berkhidmat sebagai seorang tentera. Mereka diberi wang yang telah mereka carum dalam Lembaga Tabung Angkatan Tentera, yang mana kerajaan juga mencarum sebahagian dari simpaan mereka ini yang akan digunakan untuk menyara kehidupan setelah meninggalkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Walaupun ramai yang berjaya tetapi ramai juga kecundang dalam kehidupan setelah keluar dari perkhidmatan ATM.
Kerajaan sememangnya ada membantu nasib VATM dengan bantuan-bantuan yang diperlukan seperti menanggung kos perubatan para VATM. Ramai yang tidak tahu bahawa kos perubatan mereka di klinik-klinik serta hospital-hospital kerajaan, isteri mereka serta anak yang masih ditanggung yang lahir semasa mereka masih di dalam perkhidmatan adalah ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.
VATM juga masih menikmati kemudahan pembelian dari kedai-kedai PERNAMA yang mana kebanyakan barangan dikecualikan dari cukai eksais, cukai kastam dan cukai jualan yang dapat membantu mengurangkan kos sara hidup, walaupun sudah lama menamatkan perkhidmatan.
Begitu juga dengan latihan-latihan serta kursus-kursus kemahiran yang diadakan secara percuma di PERHEBAT bagi membantu para veteran mendapat ilmu dalam bidang-bidang khusus di mana orang awam perlu membayar sekitar empat angka untuk mendapat sijil yang sama.
Malah khairat kematian dan bantuan sara hidup bagi balu dan anak-anak veteran ATM yang telah meninggal dunia yang memenuhi kriteria juga diberikan oleh kerajaan dan setakat ini lebih 5,000 keluarga telah menerima kemudahan ini.
Kemudahan ini dinikmati oleh seramai 288,952 orang VATM berdaftar setakat bulan Mei 2017, yang mana 118,371 atau 41 peratus adalah VATM berpencen manakala 170,581 atau 51 peratus adalah mereka yang tidak berpencen.
Paling kurang sejak empat tahun yang lalu setelah memperkenalkan Skim Veteran Tidak Berpencen 1 Malaysia (SVT1M), kerajaan cuba merangka satu lagi inisiatif yang baru untuk membantu nasib VATM yang tidak berpencen. Hasilnya, hari ini Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak telah mengumumkan dua inisiatif baru – satu untuk pegawai dan anggota ATM yang akan menamatkan perkhidmatan tanpa berpencen, dan inisiatif yang satu lagi adalah untuk para VATM tanpa pencen.
Untuk mereka yang bakal menamatkan perkhidmatan tanpa berpencen, syarat-syarat kelayakan Skim Anuiti Veteran (SAVe) akan diumumkan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) kepada anda.
Untuk para VATM yang tidak berpencen, anda boleh melihat syarat-syarat kelayakan serta soalan-soalan lazim mengenai skim Bantuan Bakti Negara di sini – Bantuan Bakti Negara (BBN).
Bagi para VATM dari kalangan anggota tetap dan bekas anggota Wataniah yang dikerah sepenuh masa yang mana mereka berkhidmat kurang daripada 10 Tahun serta tidak menerima Pencen Perkhidmatan yang terpaksa diberhentikan awal daripada perkhidmatan akibat mengalami kecederaan dan kecacatan kekal sewaktu menjalankan tugas, sebelum ini mereka hanya menerima Skim Pencen Hilang Upaya sebanyak RM65 sahaja. Jumlah perolehan adalah berdasarkan kepada peratus kecederaan/hilang upaya yang dialami, pangkat dan gaji serta tempoh perkhidmatan ketika insiden berlaku.
Untuk golongan ini, Najib Razak mengumumkan penambahbaikan bagi Skim Pencen Hilang Upaya dan para VATM golongan ini akan mendapat kenaikan kadar pencen bermula antara 300% sehingga 800% untuk pembayaran pencen mereka. Ia melibatkan nilai minima dari RM500 sehinggalah nilai maksimum berjumlah RM2000.
Bagi VATM yang hilang upaya selepas menamatkan perkhidmatan pula, Insentif Veteran Kelainan Upaya yang diusahakan oleh Tabung Pahlawan PV ATM, Insentif yang selama ini berjumlah RM500 setahun dinaikkan kepada RM1,000 setahun yang mana pembayarannya akan dibuat dalam dua peringat setahun.
Lebih ramai juga VATM yang akan dapat peluang menunaikan ibadah Haji setelah Najib Razak mengumumkan kenaikan kuota jemaah Haji bagi VATM dari 100 orang sebelum ini kepada 400 orang setiap musim.
Selain itu, Menteri Pertahanan Dato’ Seri Hishammuddin Hussein mengumumkan bahawa selain bantuan-bantuan yang disalurkan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) satu Call Centre juga akan diwujudkan di JHEV sebagai pemudahcara bagi para veteran serta keluarga untuk menghubungi JHEV untuk mengutarakan masalah yang mereka hadapi.
Najib Razak juga telah melancarkan Kempen Tabung Pahlawan 2017. Sebanyak RM1.85 juta telah disumbang oleh pihak korporat termasuk Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Weststar Sdn Bhd, Affin Bank, Boustead Plantations Berhad, Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd, Boustead Heavy Industries Corporation Bhd, Tenaga Nasional Berhad dan Pharmaniaga Berhad.
Turut hadir dalam majlis tersebut termasuk Menteri Pertahanan Dato’ Seri Hishammuddin Hussein, Timbalan Menteri Pertahanan Dato’ Sri Mohd Johari bin Baharum, pucuk pemerintahan Angkatan Tentera Malaysia, dan Pengerusi Persatuan Veteran Angkatan Tentera, Senator Laksamana Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor (Bersara). Turut hadir adalah lebih kurang 20,000 orang Veteran ATM iaitu lebih dari 15,000 orang Veteran ATM tidak berpencen yang dijemput.
You must be logged in to post a comment.