Sudah menjadi kelaziman ahli politik masa kini terutamanya di kalangan pembangkang untuk membuat kenyataan kepada umum kononnya mereka bersih dan tidak bersalah setelah pihak berkuasa menangkap atau menggeledah premis mereka.
Tujuan kenyataan tersebut dibuat tidak lain tidak bukan tetapi untuk membina persepsi umum bahawa mereka menjadi mangsa kezaliman politik dan agensi-agensi penguatkuasaan adalah alat bagi pemerintah untuk menindas pihak pembangkang.
Setelah Lim Guan Eng dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan rasuah dan salahguna kuasa tahun lepas, beliau dengan segera mengadakan satu sidang akhbar yang digunakan secukupnya untuk membidas pihak kerajaan terutamanya SPRM yang didakwanya telah sengaja cuba untuk menghalang beliau dari bersuara.

Tanpa menunggu perbicaraan dilangsungkan dan tanpa menunggu bahan bukti serta keterangan para saksi, Azmin Ali (yang pentadbirannya juga kini disiasat SPRM) dengan pantas mengisytiharkan beliau yakin Lim Guan Eng bersih dari perlakuan rasuah.

Baru-baru ini, Mr “So What?” Pulau Pinang, Phee Boon Poh, telah ditahan oleh SPRM kerana terlibat dalam isu salahguna kuasa berkaitan dengan kebenaran beroperasi sebuah kiang haram di Sungai Lembu.
Apabila dibebaskan dari tahanan reman, Phee Boon Poh dengan segera membuat sidang media dan membuat kenyataan bahawa beliau tidak bersalah salaupun kes masih lagi dalam siasatan.
Malah semasa Phee Boon Poh ditangkap, Lim Kit Siang sendiri telah membuat kenyataan bahawa tangkapan itu adalah untuk mengaburi mata rakyat terhadap gejala rasuah yang berlaku di dalam negara ini. Apa yang sebenarnya berlaku ialah percubaan DAP untuk mengaburi mata rakyat terhadap kepincangan pentadbiran mereka sendiri.

Perkara yang sama juga dilakukan oleh Pengarah Komunikasi Strategik di pejabat Menteri Besar Selangor, Yin Shao Loong, menyifatkan serbuan ke atas UNISEL, Jana Niaga Sdn Bhd dan Menteri Besar DiPerbadankan sebagai usaha untuk menjejaskan imej kerajaan negeri Selangor.

Apa yang dilakukan oleh mereka di atas adalah bertentangan dengan Seksyen 48(h) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, 2009. Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad telah mengeluarkan satu kenyataan media seperti berikut:
KENYATAAN MEDIA SPRM
SPRM BERI AMARAN TIDAK KELUARKAN KENYATAAN MEDIA BERHUBUNG SIASATAN KES
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak atau individu agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan media berhubung kes yang sedang disiasat.
SPRM mendapati perkara tersebut telah menjadi satu trend atau amalan ketika ini dan menasihati mereka yang berkenaan supaya memberhentikan perbuatan tersebut kerana ia boleh mengganggu dan menjejaskan perjalanan siasatan.
SPRM memandang serius perkara ini kerana perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 48(h) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 yang menjelaskan bahawa “mana-mana orang yang mengganggu, menakutkan, mengancam atau melarikan atau cuba untuk mengganggu, menakutkan, mengancam atau melarikan mana-mana orang yang terlibat dalam penyiasatan di bawah Akta ini telah melakukan satu kesalahan.”
Mana-mana individu atau pihak yang mempunyai sebarang keterangan yang boleh membantu siasatan diminta tampil kepada SPRM untuk dirakam percakapan dan bukan membuat kenyataan media.
Justeru, SPRM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang melakukan perbuatan tersebut mengikut Seksyen 48(h) ASPRM yang mana seseorang yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 dan penjara dua tahun.
Selain itu, SPRM juga memandang serius perbuatan segelintir pihak yang mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap tindakan-tindakan yang diambil oleh SPRM dengan tujuan untuk mencemarkan dan menjejaskan reputasi SPRM.
Oleh yang demikian, SPRM tidak akan sama sekali bertolak ansur dengan perbuatan sedemikian dan bersedia untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati menyebarkan fitnah tersebut sama ada berbentuk sivil atau jenayah.
DATUK DZULKIFLI AHMAD
KETUA PESURUHJAYA
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA24 OGOS 2017
Eloklah pihak pembangkang berpegang kepada slogan mereka iaitu “Lawan Tetap Lawan“, “Berani Kerana Benar” dan lain-lain lagi yang menunjukkan yang kononnya mereka tidak bersalah, dan lawan serta tunjukkan kebenaran di dalam mahkamah dan bukannya cuba mempengaruhi persepsi rakyat supaya menghakimi SPRM dan bukannya mereka yang disyakki bersalah.
Dan rakyat, terutamanya para penyokong pembangkang pula sepatutnya mengikut saranan Lim Kit Siang dua tahun lepas bulan ini yang telah dilupai beliau sendiri semasa kehangatan kes 1MDB berada di kemuncak:

Cakap, kena serupa bikin ya!
You must be logged in to post a comment.