Pada bulan Julai 2017, Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa unit-unit integriti dan tadbir urus akan diwujudkan di semua syarikat-syarikat GLC dan akan dikawalselia oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Ini selaras dengan tugas-tugas SPRM yang termaktub di dalam Akta SPRM.

Walau bagaimanapun, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Paul Low pula telah umumkan dua bulan kemudian bahawa kabinet telah bersetuju untuk menubuhkan Jabatan Integriti dan Tadbirurus Negara (JITN) yang akan diletakkan di bawah pentadbiran beliau.
Ini nyata bercanggah dengan pengumuman yang telah dibuat Najib Razak dua bulan sebelum itu. Percanggahan ini telah mencetuskan rasa tidak puas hati di antara Tan Sri Dzulkifli Ahmad dengan Paul Low dan mengakibatkan sebuah NGO bernama Pertubuhan Belia Generasi Mahkota (PEMBELA) membuat laporang terhadap Ketua Pesuruhjaya MACC itu kerana melawan cakap Menteri.
Yang menjadi tanda-tanya adalah keperluan untuk membentuk sebuah jabatan hanya untuk penambahbaikan integriti dan tadbir urus Kementerian-Kementerian serta GLC-GLC sedangkan jentera-jentera kerajaan yang sedia ada termasuk SPRM sudah boleh menangani ketirisan, ketidak-cekapan serta membanteras perbuatan rasuah. Apa yang perlu dilakukan hanyalah untuk ketua-ketua jabatan serta GLC menentukan segala kelemahan yang telah dikenalpasti oleh Ketua Audit Negara diambil tindakan segera dengan membentuk jawatankuasa dari kalangan juruaudit dalaman setiap jabatan dan melaporkan kemajuan dan kelemahan kepada unit-unit yang telah disebutkan oleh Najib Razak.
Difahamkan setakat ini memang sudah ada pegawai-pegawai SPRM yang terlatih sebagai Pegawai Integriti Terlatih (CIO) yang ditempatkan di jabatan-jabatan kerajaan. Bagaimanapun, Paul Low bercadang untuk menempatkan seramai 20 orang pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) menggantikan kesemua CIO SPRM yang telah bertugas di unit-unit tersebut.
Ini bermakna, 20 orang PTD ini terpaksa dilatih sebagai CIO, manakala SPRM perlu membuat perjawatan-perjawatan baru untuk menyerap para CIO mereka yang tidak akan mempunyai sebarang jawatan. Ini sahaja akan melibatkan kos tambahan kerana akan terdapat perjawatan baru.
Bukan itu sahaja, malah dakwaan Paul Low bahawa penubuhan JITN tidak akan memberi kesan kepada SPRM juga nyata terpesong kerana sudah tentu akan ada perubahan struktur organisasi serta tanggungjawab-tanggungjawab yang telah diberikan kepada SPRM melalui Akta SPRM.
Melalui akta apakah kuasa JITN diperolehi?
Pada masa yang sama, persoalan yang timbul ialah bagaimana 20 orang ini boleh memantau kesemua jabatan dan GLC milik kerajaan dengan berkesan? Adakah ini bermakna kerajaan perlu melantik konsultan luar untuk membantu pengurusan unit-unit di bawah JITN? Saya tidak yakin bahawa integriti dan penambahbaikan tadbir urus jabatan-jabatan kerajaan serta GLC dapat dilakukan dengan baik oleh hanya 20 orang!
Tugas JITN juga akan melibatkan latihan integriti kepada para pegawai dan kakitangan kerajaan, iaitu satu peranan yang sememangnya telah diberikan oleh Akta SPRM kepada SPRM. Adakah JITN akan menggunakan 20 orang PTDnya yang dipertanggung jawabkan untuk mengawalselia integriti dan tadbir urus jabatan-jabatan kerajaan dan GLC juga untuk menjalankan latihan-latihan integriti? Atau adakah JITN akan membayar konsultan luar untuk menjalanjan peranan ini? Di bawah akta apakah akan latihan ini dijalankan?
Di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) juga terdapat sebuah sistem iaitu Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) yang diseliakan oleh CIO-CIO dari SPRM. Sistem ini memerlukan latihan dan pensijilan khusus untuk mengendalikannya. Maka, adakah sebuah lagi konsultan akan dipanggil untuk mengendalikan sistem ini, atau adakan sebuah konsultan akan dipanggil untuk mengadakan sebuah lagi sistem yang akan memakan lagi belanja wang rakyat?
Kita maklum bahawa Paul Low sudah berada di penghujung perkhidmatannya sebagai seorang Menteri. Khidmat beliau sebagai seorang Senator akan berakhir pada bulan Mei 2019. Oleh itu, beliau tidak akan lagi dilantik sebagai seorang Menteri selepas Pilihanraya Umum Ke-14. Ini membawa kita kepada persoalan adakah Paul Low menggunakan penubuhan JITN ini sebagai rancangan persaraannya?
Pada 2 Oktober 2017, Perikatan Integriti Perniagaan (BIA) telah menandatangani sebuah MOU dengan Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Integriti adalah di bawah Paul Low) kerana dilantik menjadi “rakan” kerajaan untuk menjadi pemudahcara bagi pihak kerajaan untuk membanteras perbuatan rasuah di sektor swasta dan sektor awam yang nyata penindihan tanggungjawab dengan SPRM.
Berapa yang kerajaan perlu bayar untuk mereka menjalankan tugas pemudahcara tersebut?

Paul Low telah lama berbincang dengan pihak BIA mengenai penubuhan JITN ini. Pertemuan mereka pertama kali diadakan pada bulan Disember 2016 semasa bersarapan bersama-sama.

Pentadbiran baru SPRM sejak setahun lalu gandingan mantap Tan Sri Dzulkifli Ahmad dengan timbalan-timbalan Ketua Pesuruhjayanya telah membuahkan hasil yang tidak pernah kita lihat berlaku sebelum ini.
Dalam sembilan bulan pertama tahun ini sahaja sebanyak RM21.4 juta wang hasil rasuah telah dirampas, iaitu kenaikan 400 peratus berbanding dengan tahun sebelumnya. Sebelum pucuk pimpinan SPRM diambil alih oleh Tan Sri Dzulkifli, SPRM hanya berjaya merampas RM4.95 juta pada tahun lepas dan RM3.9 juta tahun 2015. Ini menunjukkan bahawa SPRM kini lebih tegas dalam hal pembanterasan rasuah berbanding dengan tahun-tahun sebelum ini sedangkan perbuatan rasuah yang melibatkan pegawai-pegawai kerajaan dan syarikat-syarikat kerajaan.
Kalau JITN itu bagus, kenapa sebanyak 50 NGO dan tokoh-tokoh integriti seperti Ramon Navaratnam, Lee Lam Thye dan Tunku Aziz membantah penubuhan JITN?

Pada tahun 1967, Perdana Menteri Malaysia Ke-2 Allahyarham Tun Haji Abdul Razak bin Hussein telah memberitahu para penjawat awam suaya tidak tunduk kepada para ahli politik kerana di dalam sebuah demokrasi para penjawat awam mempunyai tanggungjawabnya tersendiri.
Saya yakin Najib Razak benar-benar ingat akan pesanan Allahyarham Ayahandanya. Itulah sebab beliau terus membuat ucapan pada bulan Julai 2017 tersebut dengan tujuan menentukan SPRM terus bebas dari sebarang pengaruh politik.
Sekiranya itulah kebenarannya, adakah Najib Razak yang mempengerusikan mesyuarat kabinet di mana Paul Low telah mengusulkan rancangan persaraannya ini supaya diterima dan dipersetujui oleh para menteri kabinet yang tiada sebarang petunjuk atau maklumat mengenai perkara ini sebelum ianya diperbincangkan?
Jika benar tanggapan saya bahawa Najib Razak tidak mempengerusikan mesyuarat kabinet tersebut, adakah ini bermakna PEMBELA telah tersilap dalam langkahnya membuat laporan polis terhadap Tan Sri Dzulkifli sedangkan yang melanggar kemahuan Najib Razak ialah Paul Low sendiri?
Inilah jawapan yang perlu kita cari untuk merungkaikan permasalahan ini.
You must be logged in to post a comment.