Tiga Orang Wira Tentera Udara DiRaja Malaysia Yang Terkorban Dinaikkan Pangkat Secara “Posthumous”

Screen Shot 2018-02-23 at 17.56.13

Satu Majlis Penganugerahan pangkat Leftenan Kolonel Hakiki secara Posthumous (pasca kematian) telah diadakan di Markas Tentera Udara, Kementerian Pertahanan. Anugerah kenaikan pangkat itu telah disempurnakan oleh YBhg Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM.

Antara penerima pangkat ini adalah Mendiang Lt Kol Kayamboo a/l Chellam yang terkorban ketika sedang beroperasi menerbangkan pesawat angkut Beechcraft King Air 200T di Pangkalan Udara Butterworth pada 21 Disember 2016, Allahyarham Lt Kol Yazmi bin Dato’ Mohamed Yusof TUDM dan Allahyarham Lt Kol Hasri bin Zahari TUDM yang terkorban bersama semasa menerbangkan pesawat Hawk 108 di Chukai, Terengganu pada 15 Jun 2017. Ketiga-tiga mangsa juruterbang ini menerima satu kenaikan pangkat asal mereka.

Penganugerahan pangkat tersebut telah disampaikan kepada Puan Usha a/p Suppiah (Isteri Mendiang Lt Kol Kayamboo TUDM), Puan Shofara Izwa binti Hilmi (Isteri Allahyarham Lt Kol Yazmi TUDM) dan Puan Asysyuhadak binti Ahmad (Isteri Allahyarham Lt Kol Hasri TUDM).

Majlis pagi tadi telah berlangsung secara bersederhana. Seluruh jemputan di majlis tersebut kelihatan sugul kerana masih lagi bersedih dengan pemergian juruterbang-juruterbang terlibat. Namun kelihatan bersemangat semula apabila mendengar obituari mangsa juruterbang tersebut yang nyata cemerlang di dalam pencapaian kerjaya, keberanian dan pengorbanan yang telah dilakukan sepanjang perkhidmatannya di dalam TUDM.

Selain merupakan satu tanda penghargaan kepada mereka di atas jasa dan bakti mereka terhadap perkhidmatan TUDM khasnya dan Negara amnya, penganugerahan ini juga membolehkan para balu wira-wira tersebut menerima pencen yang lebih tinggi dari pangkat asal terakhir.  Inilah di antara cara TUDM dapat membantu keluarga mereka yang telah banyak berjasa.

Turut hadir di majlis ini adalah Timbalan Panglima Tentera Udara, YBhg Lt Jen Dato’ Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, YBhg Lt Jen Dato’ Kamarulzaman bin Mohd Othman TUDM; Asisten Ketua Staf Tadbir, YBhg Brig Jen Ahmad bin Abd Rahman TUDM, serta ahli keluarga Mendiang dan Allahyarham.

Screen Shot 2018-02-23 at 17.56.31
Kelihatan Puan Shofara Izwa binti Hilmi (balu kepada Allahyarham Lt Kol Yazmi TUDM) menitiskan air mata, manakala Puan Usha a/p Suppiah (Balu Mendiang Lt Kol Kayamboo TUDM) dan Puan Asysyuhadak binti Ahmad (balu kepada Allahyarham Lt Kol Hasri TUDM) merenung Epaulette pangkat Leftenan Kolonel TUDM milik suami mereka
%d bloggers like this: