Kemarau Perniagaan Di Malaysia?

Kedai-kedai runcit lama banyak yang tutup sekitar tahun 1980an disebabkan pertumbuhan pesat kompleks membeli-belah dan pasaraya-pasaraya (Gambar ehsan PL1M)

Sehari dua ini kita disajikan dengn berita bahawa lima cawangan pasaraya Giant bakal ditutup dan dikhabarkan bahawa ini petanda ekonomi negara kita sebenarnya meruncing dan bukannya mengembang sepertimana yang diwar-warkan oleh kerajaan.  Berita penutupan cawangan-cawangan pasaraya Giant ini juga disebarkan melalui aplikasi WhatsApp.

Pagi ini juga saya melihat status seorang pengguna Facebook yang juga memberi khabar muram mengenai penutupan beberapa buah perniagaan besar di Malaysia.

Rangkaian Pasaraya Giant mengumumkan penutupan lima buah cawangan di seluruh negara.  Ia merupakan penutupan lima cawangan lama yang mana premisnya akan tamat tempoh pajakan dari sejumlah 122 cawangan di seluruh negara.

Cawangan-cawangan tersebut adalah di Seri Manjung, SACC Mall Shah Alam, Selayang Lama, Sibu dan Sungai Petani.

Walaupun keseluruhan daerah Manjung mempunyai 233,000 penduduk, Lumut hanya mempunyai kurang dari 33,000 orang penduduk dan sebahagian besarnya adalah merupakan warga Tentera Laut DiRaja Malaysia.  Giant perlu bersaing dengan dua buah pasaraya besar yang lain iaitu TESCO dan AEON Mall.

Sibu mempunyai 163,000 penduduk dan selain mempunyai dua cawangan Giant, ia juga mempunyai pusat-pusat membeli-belah seperti Sanyan Mall, Delta Mall, Star Mega Mall dan Medan Mall.

Sebuah Giant Hypermarket yang jauh lebih besar juga wujud berhampiran Giant Selayang Lama iaitu di Batu Caves, sementara cawangan di Selayang Lama terpaksa bersaing dengan pasaraya NSK Selayang yang menawarkan barangan runcit dengan harga yang lebih murah.

SACC Mall di Shah Alam itu sendiri tidak menarik ramai pengunjung.  Selain Giant, banyak premis perniagaan di situ telah ditutup dan berpindah terutamanya syarikat-syarikat yang mendaftarkan perniagaan yang telah menarik ramai pengunjung.  Di Shah Alam sendiri terdapat empat cawangan Giant yang berhampiran iaitu di Seksyen 9, Seksyen 13, Seksyen 18 dan juga Kota Kemuning.

Sungai Petani, walaupun mempunyai lebih kurang 280,000 orang penduduk, mempunyai dua buah cawangan Giant, iaitu Giant Hypermarket dan Giant Supermarket.  Saya yakin yang ditutup ialah Giant Supermarket.  Sungai Petani juga memberi saingan lain kepada Giant Supermarket dalam bentuk Pasaraya Econsave, Tesco, SP Plaza, Petani Parade, Central Square dan Amanjaya Mall.

Nampak gayanya penutupan lima cawangan tersebut merupakan langkah penyatuan atau konsolidasi dan bukannya disebabkan keadaan ekonomi yang muram.  Pengenalan sistem GST juga tidak memberi kesan yang besar kepada para peniaga kerana rata-rata pusat membeli-belah masih dikunjungi ramai orang.

Namun tidak dinafikan peranan yang dimainkan oleh online shopping ada memberi kesan terhadap para peniaga.  Ini adalah kerana ada masanya harga barangan yang dijual secara online adalah jauh lebih murah dari apa yang ditawarkan oleh para peniaga runcit.

Menurut PwC dalam laporan Bancian Runcit Keseluruhan 2016 yang dikeluarkannya baru-baru ini, 3/5 responden dari Malaysia telah mula membeli barangan secara online sejak tiga tahun yang lalu dan angka ini masih mengembang.

Di Amerika Syarikat, di mana GST Malaysia tidak memberi kesan, banyak pasaraya berjenama besar kini menutup beratus-ratus cawangan di seluruh negara kerana kalah kepada jualan online oleh Amazon.

Aéropostale, sebuah syarikat yang menjual pakaian golongan belasan tahun telah membuat permohonan untuk dibankrapkan.  JC Penney telah menutup 40 cawangannya selain membekukan tuntutan elaun lebih masa dan memotong gaji para pekerja.  Sears telah menutup lebih 200 cawangannya.  Macy’s telah menutup 136 cawangan yang menyebabkan 4,500 orang pekerja hilang pekerjaan. American Eagle telah menutup 150 cawangannya manakala Sports Authority telah menutup kesemua 450 cawangannya.  Office Depot telah menutup 749 cawangan, The Children’s Place telah menutup 271 cawangan, manakala Walgreens telah menutup lebih 1,000 cawangan.

Pasaraya terkemuka Walmart telah menutup 269 cawangannya, manakala pendapatan pengasas Amazon yang juga CEOnya, Jeff Bezos, telah meningkat  sebanyak USD6 billion dalam masa beberapa jam sahaja dalam bulan April 2016.  Banyak syarikat perniagaan runcit besaran di Amerika Syarikat terpaksa menutup cawangan, membuang para pekerja dan bergabung dengan syarikat-syarikat lain untuk terus hidup disebabkan persaingan yang diberikan oleh Amazon.

Trend yang sama kini dilihat di Malaysia. Pada bulan April 2017, syarikat gerbang pembayaran online Malaysia iPay88 yang menguasai 70 peratus pembayaran online di Malaysia mengumumkan bahawa angka pembelian online di Malaysia meningkat 161 peratus pada tahun 2016 berbanding tahun sebelumnya, iaitu 38.2 juta transaksi pada tahun 2016 berbanding 14.6 juta pada tahun 2015.

Menurut iPay88 lagi, barangan yang lazim dibeli oleh rakyat Malaysia termasuk pakaian, kasut, barangan kemas, barangan elektronik dan peralatan sukan.

Oleh kerana iPay88 hanya mempunyai 70 peratus penguasaan, ini bermakna jumlah transaksi pembelian online di Malaysia adalah jauh lebih tinggi dari apa yang dilaporkan oleh iPay88.  Angka ini tidak melibatkan pembelian online secara Cash-On-Delivery.

Lazada kini mengalami masalah untuk melayan nafsu serakah rakyat Malaysia yang gemarkan online shopping

Transaksi online, termasuk perbankan digital, adalah sebab bank-bank di Malaysia menutup 63 cawangan setakat April 2017.  HSBC telah menutup lebih 50 peratus cawangannya di UK iaitu sebanyak 62 cawangan. ING di Netherlands telah menutup beberapa cawangannya menyebabkan 1,000 pekerja bank kehilangan pekerjaan.

Citigroup telah menutup sekitar 9 peratus cawangan-cawangannya di seluruh dunia manakala Bank of America pula menutup 206 cawangannya.  Kedua-dua syarikat ini juga beralih kepada perbankan digital.

Pembelian peribadi meningkan kepada 6.6 peratus pada suku pertama tahun 2017 menurut Persatuan Peruncit Malaysia.  Rakyat Malaysia kini lebih banyak berbelanja untuk pembelian barangan secara online dan menjamu selera di luar daripada makan di rumah.  Indeks Sentimen Pengguna yang dikumpul oleh MIER juga menunjukkan peningkatan iaitu pada kadar 76.6 peratus.  Jumlah pembelian kenderaan peribadi bagi tahun 2017 juga adalah 425,711 buah setakat 30 September 2017 berbanding 418,277 buah dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Adakah ekonomi Malaysia menghadapi kemarau seperti yang didakwa?  Anda putuskan sendiri.

%d bloggers like this: