
Dulu kita dapat meratakan graf penularan wabak COVID-19 hanya dengan PKP tanpa perlu isytihar darurat sebab pada 18 Mac 2020, jumlah terkumpul kes COVID-19 ialah sebanyak 790 kes, kes baharu sebanyak 117 kes, 728 orang sedang dirawat dan purata kes sehari bagi 10 hari ialah 82.625 kes.
Kerajaan kerugian RM2.4 billion setiap hari semasa PKP dikuatkuasakan.
Kemudian kita laksanakan PKPP dan benarkan rakyat Malaysia teruskan dengan kehidupan dengan mematuhi norma baharu.
Shafie Apdal mengambil langkah drastik tidak menunggu keputusan mahkamah dan berjaya mendapat persetujuan TYT Gabenor Sabah untuk membubarkan DUN Sabah untuk memberi laluan kepada PRN Sabah walaupun terdapat banyak bantahan akibat khuatir kes COVID-19 akan naik mendadak.
Pada 13 September 2020, 13 hari sebelum PRN Sabah, Ahli Parlimen DAP Teresa Kok persoal cadangan kerajaan untuk kuarantin individu yang pulang dari berkempen dan mengundi di Sabah ( https://m.malaysiakini.com/news/542448 ).
Ada yang bertanya kenapa perlunya darurat sekarang sedangkan pada 18 Mac 2020 kita laksanakan PKP dan berjaya mendatarkan graf?
Jawapannya ialah keadaan tidak lagi sama. Jumlah terkumpul kes COVID-19 ialah 144,518. 2,985 kes baharu berbanding 117. 32,377 orang sedang dirawat berbanding 728 manakala jumlah kematian Ialah sebanyak 563 berbanding 2. Purata kes sehari bagi 10 hari ialah sebanyak 2,544.1 berbanding 82.625 sehari pada 18 Mac 2020.
Kita akhiri tahun 2020 dengan kadar 3,455.96 kes bagi setiap satu juta orang penduduk. Semalam (13 Januari 2021), kadarnya meningkat kepada 4,419.51 kes bagi setiap satu juta orang penduduk.
Katil-katil hospital semakin penuh. Sistem perubatan kita kini mengalami tekanan hebat. Kita tidak ada masa lagi untuk berbincang atau berdebat. Kita perlukan tindakan serta-merta.
Ada juga yang bertanggapan bahawa darurat ini diumumkan oleh Muhyiddin Yassin untuk memelihara kedudukannya sebagai Perdana Menteri. Persoalannya ialah, memandangkan kuasa eksekutif negara ini dan hak mengisytiharkan darurat adalah kuasa, hak dan mengikut budi bicara Yang di-Pertuan Agong, adakah suara-suara ini menuduh bahawa Seri Paduka itu bodoh dan hanya menjadi Pak Turut milik Perdana Menteri?
Kita baca apa yang dinyatakan dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara mengenai hal ini:
“Setelah memperhalusi penjelasan YAB Perdana Menteri dan sembah taklimat daripada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki bin Ali; Peguam Negara Tan Sri Idrus bin Harun; Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Haji Affendi bin Buang; Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid bin Bador, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham bin Abdullah dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Abdul Ghani bin Salleh, maka Al-Sultan Abdullah berpandangan bahawa penularan wabak COVID-19 di negara ini berada di tahap yang amat kritikal dan adanya keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.
Perlu dimaklumkan bahawa perkenan ini juga telah mengambil kira rundingan Seri Paduka Baginda dengan Raja-Raja Melayu.”
——————————————
Bukankah sebelum ini Muhyiddin, disokong oleh ahli-ahli Majlis Keselamatan Negara, pernah memohon agar Yang di-Pertuan Agong isytihar darurat, namun ditolak oleh Kebawah Duli Tuanku?
Keadaan di hospital-hospital kerajaan amat kritikal. Tidak bolehkah kita bendung dahulu penularan wabak ini?
Untuk yang tak sabar nak jadi Perdana Menteri, kenapa tak ambil masa 24 bulan sebelum PRU15 ini untuk berkhidmat sebenar-benarnya untuk rakyat dan menangi semula kepercayaan rakyat? Sudahkah anda pelajari sebab-sebab anda ditolak rakyat tiga tahun lepas?
You must be logged in to post a comment.