
setiap warga lain-lain pangkatAngkatan Tentera Malaysia
Dengan lafaz ikrar seperti gambar di atas, cap sebanyak sepuluh ruas jari diperturunkan ke atas sekeping borang. Bakal perajurit Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tersebut akan serahkan Kad Pengenalan Awam kepada Pegawai Pengambilan, dan beliau akan diberikan satu nombor pengenalan iaitu nombor tentera yang akan digunakan sepanjang perkhidmatan beliau. Dari saat ikrar tersebut dilafazkan, beliau bukan lagi seorang awam sebagaimana beliau lima minit sebelumnya.
Tidak banyak beza Ikrar Perajurit ATM dan Ikrar Perwira yang dilafazkan oleh para pegawai ATM, cuma para pegawai melafazkan ikrar taat setia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Raja Melayu yang mewakili baginda. Pegawai ATM dalah ditauliahkan oleh Seri Paduka Baginda dan adalah para pegawai Seri Paduka Baginda. Anggota lain-lain pangkat adalah tiang yang menyokong, mendokong dan menjunjung titah perintah Seri Paduka Baginda melalui para pegawai tersebut.
Sepanjang perkhidmatan baik seorang anggota mahupun pegawai ATM adalah tertakluk bukan sahaja kepada Akta Angkatan Tentera, 1972 yang menjadi garis panduan mengawal selia hidup seorang warga ATM, tetapi juga kepada sesetengah akta awam yang terpakai kepada warga ATM.
ATM, sebagaimana lain-lain pasukan seragam, adalah mengenai keseragaman. Cara berjalan, cara bertutur, cara melipat baju, cara menyidai pakaian, cara seterika baju, cara menukil surat – kesemuanya diseragamkan kerana ATM, tidak kira Darat, Laut mahupun Udara adalah merupakan satu badan yang mempunyai disiplin yang tinggi. Garis umur bukan lagi menjadi pengukur tetapi calit di lengan, atau paku, mahkota dan bintang di bahu yang menjadi simbol pengaturan pemerintahan. Disiplin menjadi pendorongnya yang memacu organisasi besar ini mempertahankan kedaulatan negara serta seluruh warga Malaysia. Disiplinlah yang menjadi kuasa yang mengikat setiap pegawai dan anggota sebagai satu badan.
Setelah tamat latihan, seorang Perajurit akan lalui pelbagai latihan kemahiran mengikut ketukangan dan pengkhususan beliau. Kemudian beliau akan dinaikkan pangkat ke Lans Korporal di mana beliau menjadi pembantu ketua sebuah seksyen. Kemudian beliau akan dinaikkan pangkat ke Korporal dan menjadi ketua sebuah seksyen yang lazimnya mempunyai 10 orang anggota. Apabila beliau dinaikkan ke pangkat Sarjan, beliau menjadi seorang penasihat kepada Ketua Platun yang berpangkat Leftenan Muda atau Leftenan dan bertanggungjawab ke atas penugasan, disiplin, pentadbiran dan kebajikan 30 orang anggota. Segala arahan beliau adalah mewakili Ketua Platun tersebut – dan merupakan suatu tanggungjawab yang besar.
Maafkan saya kerana bercerita dengan panjang lebar mengenai organisasi tentera, tetapi ianya adalah penting agar anda faham apa maksud disiplin, hormat kepada tradisi dan taat setia kepada Raja dan Negara dalam ATM.
Bila seorang Sarjan enggan mengambil vaksin COVID-19, bertentangan dengan perintah tetap dan arahan pihak atasan, maka runtuhlah disiplin. Tiada lagi rasa hormat kepada tradisi tentera, dan tidak lagi taat kepada Raja dan Negara. Tak perlulah saya beri gambaran atau gelaran atau bincang mengenai hukuman yang telah dijatuhkan ke atas Sarjan tersebut kerana sekiranya anda baca setiap perkataan yang telah saya tulis di atas, anda mungkin faham bahawa disiplin itu amat penting dalam organisasi ATM.
Dua bulan yang lepas, sebuah kapal Tentera Laut Diraja Malaysia tidak dapat dioperasikan kerana 98 orang anak kapal kapal tersebut didapati positif COVID-19. Selama lebih kurang dua minggu sebuah kapal yang dalam keadaan baik tidak dapat digunakan untuk mengawal perairan negara kerana tularnya penyakit tersebut di dalamnya. Tahun lepas, sebuah kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat, USS Theodore Roosevelt tidak dapat dioperasikan setelah penularan wabak COVID-19 dikesan di kalangan anak-anak kapalnya. Akibatnya, tentera laut China telah mengambil kesempatan kepincangan tersebut untuk memperkukuhkan kedudukannya di Laut China Selatan. Bayangkan sebuah batalion Tentera Darat (1,000 orang lebih) terpaksa dikuarantin dan tidak dapat diberi penugasan sekiranya Sarjan tersebut mendapat penyakit tersebut dan didapati positif semasa berada di dalam kem, atau beliau dengan tidak sengaja tularkan kepada kaum keluarga anggota lain terutamanya anak-anak kecil di kompleks Rumah Keluarga Angkatan Tentera.
Bayangkan juga sekiranya Sarjan ini ditugaskan untuk mengawal Sekatan Jalan Raya dan sudah positif semasa anda ditahan untuk pemeriksaan oleh beliau, dan di dalam kenderaan anda adalah ibubapa yang sudah berumur atau anak kecil kesayangan anda yang tidak boleh diberi vaksin.
Setia kepada Negara dan sanggup berkorban kerananya adalah merupakan ikrar yang dilafazkan oleh setia Perajurit. Negara kini dalam mod berperang dengan musuh yang tidak dapat dilihat. Ini memerlukan setiap warga ATM disuntik vaksin sebagai pelindung semasa menjalankan tugas. Pengambilan vaksin ini juga penting untuk negara capai imuniti berkelompok agar dapat kita pulihkan semula keadaan ekonomi sendiri dan juga negara. Sekiranya seorang frontliner seperti Sarjan ini enggan menerima vaksin, bagaimana beliau mahu melindungi rakyat jika dirinya sendiri tidak dilindungi? Kenapa di saat negara memerlukan pengorbanan beliau seperti dalam lafaz ikrar, beliau enggan berkorban untuk negara? Kalau perkara sekecil ini pun sudah begini sikapnya, bagaimana pula kalau musuh melanggar negara?
Alasan-alasan yang diberikan beliau langsung tidak masuk akal. Menggunakan kenyataan Menteri Kesihatan atau Ketua Pengarah Kesihatan kononnya sebagai pematuhan beliau kepada arahan adalah satu alasan yang dangkal. Kedua-dua orang yang disebutkan tadi tidak ada dalam aturcara saluran pemerintahan Angkatan Tentera Malaysia. Pematuhan seratus-peratus adalah terhadap perintah yang dikeluarkan melalui saluran Angkatan Tentera Malaysia. Kementerian Kesihatan bukan pihak berkuasa atasan beliau dalam ATM. Sebagai seorang yang berpengalaman dan anggota berpangkat tinggi, fikiran dan alasan tersebut hanya layak dikeluarkan oleh orang yang tidak pernah masuk tentera.
Hak seorang warga ATM tidak sama dengan hak lain-lain rakyat Malaysia. Bahkan, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja, 1994 juga tidak terpakai terhadap warga ATM kerana bercanggah dengan keperluan operasi ATM itu sendiri. Setiap warga tentera itu perlu meletakkan diri menghadapi segala mara bahaya demi negara, maka tidak wujud “hak tubuh badan” dan sebagainya selagi beliau masih dalam perkhidmatan Seri Paduka Baginda. Sepertimana kata Presiden Persatuan Veteran ATM Datuk Sharuddin Omar, “Sekiranya keingkaran perintah atau arahan yang dilakukannya tidak diambil tindakan dan dibendung maka ia boleh mempengaruhi rakan-rakan yang lain, dan ini akan menjejaskan moral dan semangat keseluruhan organisasi bukan sahaja di unit dia bertugas malah di seluruh organisasi ATM.”
Kalau warga tentera boleh memilih, mahukah anda tatkala musuh menyerang negara, ada di kalangan warga ATM yang bangun dan berkata, “Saya tak mau lawan. Saya tak mahu mati. Ini hak saya, tubuh badan saya” atau “Kami nak undi dulu siapa hendak berperang atau tidak?” Rosak dan musnahlah organisasi yang digelar Angkatan Tentera Malaysia.
You must be logged in to post a comment.