Pentadbiran Cuckoo Mahathir

...dan gila...
…dan gila…
Pandai buat lawak juga Mahathir dalam posting beliau terkini bertajuk ‘Pentadbiran Kuku Besi‘.  Beliau menulis seolah-olah beliau tidak langsung berlaku kejam semasa mentadbir sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun lamanya.  Beliau beruntung talian Internet secara komersil hanya mula diperkenalkan kepada umum pada pertengahan tahun 1990an manakala Google yang sebelum itu menumpang domain stanford.edu hanya mula secara besar-besaran pada 4hb September 1998, dua hari selepas Anwar Ibrahim dipecat dari semua jawatan kerajaan dan dari parti UMNO.  Tidak ramai yang kini berusia 35 tahun ke bawah ingat akan pemerintahan cara kuku besi yang telah diamalkan oleh Mahathir.

Apa yang telah ditulis Mahathir kali ini?

1. Semasa menerima borang untuk jadi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia, ada yang menyatakan mereka menerima ugutan dari parti UMNO dan Kerajaan Najib.

2. Bermacam jenis ugutan dibuat termasuk tidak akan memberi BR1M, disingkir dari UMNO, atau lucut jawatan dalam Kerajaan dan agensi-agensinya, tidak diberi kontrak, biasiswa tidak akan diberi dan akan ditarik balik dan sebagainya, bank akan tuntut hutang lebih awal dan akan tolak permohonan.

3. Tetapi mereka masih sanggup didera seperti ini kerana kepercayaan bahawa akhirnya, dengan penyertaan mereka dalam PPBM dan mengundi baginya dalam PRU14, nikmat berkali ganda akan diperolehi oleh negara dan diri mereka juga.

“Rasa Utara” Sebuah jaringan restoran yang menghidangkan makanan-makanan Utara yang tidak lagi menimbulkan selera saya untuk makan di situ, kini banyak mempunyai iklan di blog Mahathir

4. Mereka menyatakan bahawa tekanan terhadap mereka tidak akan berjaya menghalang mereka dari menyertai PPBM. Dan mereka berusaha mendapat bumiputra lain termasuk ahli UMNO supaya menyertai PPBM.

5. Perjuangan bagi mereka bermakna kesanggupan mengatasi sebarang rintangan. Perjuangan tidak bermakna jika jalan ke arah matlamat terbuka luas dan ditabur dengan bunga mawar sepanjangnya.

Saya agak hairan dengan kenyataan ini.  Adakah mereka-mereka yang menyertai Parti Pribumi untuk menjadi orang Pribumi ini membuat pengumuman kepada UMNO bahawa mereka akan pergi mengambil borang Parti Pribumi?  Atau adakah mereka akan terus sahaja mengambil borang, mengisinya dan menyerahkan borang permohonan tersebut tanpa perlu mengisytiharkan keluar parti UMNO?

Seingat saya tidak ada satu orang pun yang pernah keluar UMNO umumkan hasrat untuk keluar UMNO sebelum menyertai lain-lain parti politik melainkan untuk tujuan publisiti yang diuruskan oleh parti pembangkang yang menerima bekas ahli-ahli UMNO tersebut.  Begitu juga yang tinggalkan parti pembangkang untuk menyertai mana-mana parti Barisan Nasional.  Maka, apakah timbul cerita berlakunya ugutan itu dan ini?

Tidak Akan Diberi BR1M

Saya rasa, orang Pribumilah yang sepatutnya tidak mengadu dipinggirkan dari menerima BR1M.  Ini adalah kerana menurut Mahathir yang juga merupakan orang Pribumi, rakyat tidak sepatutnya terlalu bergantung kepada bantuan daripada Kerajaan. Mahathir juga berkata pemberian BR1M adalah satu kesilapan kerana jika diberi BR1M pun, ianya tidak dapat membeli sokongan penerima.  Maka, pada pendapat saya tidak perlulah orang yang jadi orang Pribumi ini bersungut mengenai kemunginan tidak mendapat pemberian BR1M.

Hakikatnya, setiap tahun berjuta penyokong serta para ahli parti pembangkang yang menerima BR1M tanpa sebarang sekatan. Ramai penerima biasiswa yang masih menerima biasiswa walaupun turun ke jalan untuk berdemonstrasi menentang Kerajaan zalim yang memberi mereka biasiswa.  Mungkin juga lebih 50 peratus kakitangan kerajaan yang menyokong parti-parti pembangkang masih mempunyai pekerjaan dan tidak ada seorang pun yang dibuang kerja.

Dan masih juga ramai kontraktor Bumiputera yang mendapat kontrak walaupun menyokong parti pembangkang.

Disingkir Dari UMNO

Ini satu lagi sebab kenapa saya katakan Mahathir menulis lawak jenaka. Kalau dah nak jadi orang Pribumi, buat apa nak dikisahkan lagi keahlian dalam parti UMNO?  Takkanlah rindukan UMNO tetapi nak jadi makhluk Pribumi juga?

6. Sesungguhnya Najib amat terdesak untuk melemahkan semangat saya juga. Bukan sahaja escort motosikal polis ditarik balik tetapi pegawai saya dan tukang masak saya pun hendak ditukar. Semua kenalan saya diganggu dengan menghantar jabatan hasil dalam negeri untuk ugut terutama mereka yang berniaga. Jikalau semua cukai sudah dibayar pun cukai tambahan dikenakan.

Untuk yang tiada pengetahuan, Pejabat Mahathir adalah di bawah Jabatan Perdana Menteri.  Ini bermakna segala pengurusan, kakitangan, kewangan dan lain-lain adalah di bawah kelolaan Pejabat Perdana Menteri.  Pendek kata, para pekerja serta gaji para pekerja di Pejabat Tun Dr Mahathir Mohamad, adalah di bawah kelolaan Pejabat Perdana Menteri.

Siapa Perdana Menteri? (PETUNJUK: BELIAU BUKAN BERDARAH KUTTY)

Antara agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri
Antara agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (lihat No.49)
Bukankah menjadi hak Jabatan Perdana Menteri untuk membuat pertukaran kakitangan di mana-mana agensi di bawah kelolaannya, juga memberi, mengurangkan atau menarik balik apa jua keistimewaan yang diberikan menggunakan bajet Jabatan Perdana Menteri?

Kata orang tua-tua, tak mengenang budi jika kita maki hamun orang yang memberi kita makan.

Kalau ada pun kenalan Mahathir yang diganggu Lembaga Hasil Dalam Negeri mungkin juga sebab selama ini mereka menipu cukai kerajaan semasa SST dilaksanakan dan kini tidak boleh lari dari cukai GST.

7. Orang-orang Proton tidak dibenar bercakap dengan saya, dan peniaga kenalan saya tidak dibenar mengadakan business dengan Proton. Tujuan Najib ialah supaya Proton bankrap dan boleh dijual dengan murah.

8. Nama saya tidak boleh dikait dengan Proton. Proton hendaklah dijual kepada orang asing 100% supaya industri kereta nasional dihapuskan. Hanya kereta import sahaja yang boleh dijual di Malaysia. Jangan ada apa-apa yang dimula oleh saya. Biar hancur industri tempatan asalkan Najib puas hati.

Proton.  Sebuah syarikat yang telah diwujudkan pada tahun 1983 untuk menjadikan impian sebuah perusahaan automobil nasional berjaya.

Setelah 33 tahun dan 2.8 juta kereta terjual, Proton masih lagi merupakan sebuah syarikat bukan milik kerajaan yang perlu ditongkatkan oleh kerajaan walaupun telah diberi perlindungan perdagangan melalui polisi kerajaan.  Sebanyak RM13.9 billion telah diberikan kepada Proton termasuk dalam bentuk geran dan pelupusan cukai telah diberikan oleh kerajaan untuk membantu syarikat tersebut berdikari.  Namun, akibat pengurusan yang tidak cekap, jualan kereta buatan Proton telah jatuh dari lebih kurang 215,000 buat kereta pada tahun 2011 kepada 102,175 buah kereta pada tahun 2015 – purata sebanyak 8,514 kereta yang dijual sebulan.  Pada penghujung bulan Mac 2016 Proton masih mempunyai 30,000 buah kereta yang tidak terjual!

Dengan itu, Proton sekali lagi memohon bantuan daripada kerajaan yang dipimpin oleh Najib Razak supaya 12,000 para pekerja Proton dan 50,000 orang pekerja syarikat-syarikat pembekal komponen Proton tidak kehilangan mata pencarian.  Pada pandangan anda, adakah wajar kerajaan menggunakan wang pembayar cukai (menggunakan istilah yang sering digunakan oleh pembangkang) untuk menyelamatkan sebuah syarikat yang sakit?

Mahu tidak mahu, kerajaan yang zalim itu jugalah yang kesiankan keluarga seramai 62,000 orang yang berkaitan dengan Proton dan beri sebanyak RM1.5 billion lagi pinjaman mudah kepada Proton.

Dan siapakah para pemilik syarikat Proton yang tidak segan-silu memohon bantuan kerajaan (wang rakyat) akibat kelemahan mereka sendiri?

Senarai para pemilik Proton Holdings Berhad
Senarai para pemilik Proton Holdings Berhad
Bangla mana punya nama teratas dalam senarai tu yang kata nama beliau tidak boleh dikaitkan dengan Proton tapi tetap dapat bantuan pinjaman mudah RM1.5 billion dari kerajaan Najib Razak yang zalim itu?  Adakah masuk akal kerajaan memberi bantuan pinjaman kepada Proton jika tujuannya adalah untuk menghancurkan Proton?  Kalau nak dihancurkan Proton, buat apa nak beri walau satu Sen pun?  Macam mana dia boleh kata orang-orang Proton tidak dibenarkan bercakap dengannya? Dia salah seorang pemilik Proton, kan?

dan peniaga kenalan saya tidak dibenar mengadakan business dengan Proton…

Dengan kenyataan di atas, adakah Mahathir kini membuat pengakuan bahawa beliau memberi kroni-kroni beliau kontrak Proton, dan adakah ini juga menyumbang kepada kerugian yang dialami Proton setelah 33 tahun kewujudannya?

9. Sesungguhnya ramai juga orang Malaysia yang takut didera oleh Kerajaan Najib. Itulah demokrasi Najib.

10. Saya tidak putus asa dan saya percaya rakyat Malaysia akan terus memiliki semangat juang untuk jatuhkan Kerajaan kuku besi Najib. Mereka tidak takut. Lebih kuat tekanan lebih bencilah mereka terhadap Najib dan Kerajaannya. Semua mereka malu dan tidak ingin melihat negara tercinta ini memiliki seorang P.M. yang dituduh dan dipercayai oleh seluruh dunia telah lesap (curi) berbilion duit rakyat.

11. Saya sedar dan rakyat juga sedar akan tujuan undang-undang baru berkenaan sekuriti. Ia bukan untuk pengganas asing kerana undang-undang sedia ada sudah mencukupi. Ia bertujuan mematah semangat dan memberhentikan sebarang protes terhadap Najib.

12. Undang-undang ini yang tidak direstui oleh YDP Agong dan Raja-Raja Melayu memberi kuasa kepada Najib mengisytihar kawasan sekuriti dan dengan itu sesiapa sahaja boleh di masuk dalam tahanan tanpa dibicara. Ini lebih buruk dari ISA.

13. Jika sesiapa terbunuh atau dibunuh, samada anggota keselamatan atau orang awam, tidak ada inquest (pemeriksaan oleh majistret berkenaan sebab-sebab kematian) yang akan diadakan. Dan keluarga simati tidak boleh bawa kes ke mahkamah untuk mendapat keadilan.

14. Sebenarnya undang-undang seperti ini tidak boleh disahkan tanpa tandatangan SPB Yang diPertuan Agong. Tetapi Najib tidak peduli kepada undang-undang atau aturan-peraturan. Ia PM dan ia percaya sebarang pencabulan undang-undang olehnya tidak boleh didakwa di Mahkamah. Pendakwarayanya jinak akan halang.

15. Semua ini menjadi tanda bahawa demokrasi sudah tidak ada lagi di Malaysia. Yang ada hanyalah pemerintahan kuku besi, pemerintahan diktator.

16. Rakyat akan membantah penghapusan demokrasi di negara tercinta ini melalui proses yang halal. InsyaAllah ketegasan rakyat akan akhirnya menamat salah laku Najib.

Akta Majlis Keselamatan Negara yang diluluskan baru-baru ini digubal untuk membolehkan penggembelingan sumber agensi-agensi kerajaan di bawah satu entiti iaitu Majlis Keselamatan Negara. Ia bukan sahaja bertujuan untuk digunakan semasa serangan ataupun untuk menghalang serangan pengganas tetapi juga semasa keadaan kecemasan bencana dan sebagainya.  Kita telah lihat betapa lemahnya koordinasi agensi-agensi kerajaan semasa banjir besar di Kelantan, Terengganu dan Pahang pada penghujung tahun 2014.  Sebab utama kelemahan tersebut adalah disebabkan tidak ada penyatuan pemerintahan untuk menggerakkan agensi-agensi kerajaan di bawah satu pemerintahan.

Kuasa pengisytiharaan sesuatu kawasan sekuriti (keselamatan) itu bukan suatu perkara baharu.  Di bawah Seksyen 31 Akta Polis, 1967 kuasa diberikan kepada pegawai Polis tertentu untuk memerintahkan orang awam untuk berkurung di dalam rumah manakala Seksyen 3(1) Akta Ketenteraman Awam (Pemeliharaan), 1958, memberikan Menteri Dalam Negeri kuasa untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan yang difikirkan oleh Menteri tersebut sebagai kawasan sekuriti (keselamatan).  Seksyen 18 Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 memberi kuasa ini kepada Perdana Menteri dan bukan lagi Menteri Dalam Negeri untuk membuat pengisytiharaan SETELAH DISYORKAN OLEH AHLI-AHLI MAJLIS KESELAMATAN DALAM NEGERI.  Ini bermakna Perdana Menteri TIDAK BOLEH mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai kawasan keselamatan sekiranya tidak mendapat syor daripada MKN.  Maka ini adalah lebih baik daripada hanya seorang Menteri Dalam Negeri membuat pengisytiharaan tanpa mengambil kira pendapat mana-mana orang yang lain yang lebih arif mengenai keselamatan dalam negeri?

Pengisytiharaan kawasan keselamatan jangan disamakan dengan pengsiytiharaan darurat yang merupakan kuasa yang masih dipunyai oleh Yang DiPertuan Agong, bukan Perdana Menteri, dan bukan juga Majlis Keselamatan Negara.

Dan Mahathir jangan buat-buat lupa – beliaulah bertanggungjawab memusnahkan bukan sahaja demokrasi, malah kuasa Yang DiPertuan Agong untuk tidak meluluskan sesuatu rang undang-undang juga dihapuskan oleh beliau yang menyebabkan rang undang-undang selain rang undang-undang yang melibatkan hal ehwal pengistiharaan darurat, kuasa Raja-Raja, kedudukan Bumiputera dan Bahasa Malaysia, boleh diluluskan walaupun tidak mendapat persetujuan Yang DiPertuan Agong terlebih dahulu.

Sedarlah sikit usia dah lanjut, Mahathir. Cukup-cukuplah membohong.

One Reply to “Pentadbiran Cuckoo Mahathir”

Comments are closed.

%d bloggers like this: