
Kata orang, untuk melihat mutu sesebuah pasukan kita lihat kepada kepimpinannya. Baik buruk sesebuah pasukan itu mencerminkan mutu kepimpinannya. Utuhnya semangat sesebuah pasukan itu bergantung kepada bagaimana barisan kepimpinannya memimpin dan berkhidmat, bukan sahaja untuk masyarakat yang memerlukan perkhidmatan pasukan tersebut tetapi juga kepada anak-anak buahnya yang akan menjalankn tugas tersebut.
Semasa saya menjalani latihan sebagai seorang pegawai kadet Tentera Udara DiRaja Malaysia lebih tiga dekad lalu, saya masih ingat pelajaran dan pengajaran yang saya perolehi mengenai mutu-mutu seorang pemimpin. Di antaranya ialah seorang pemimpin itu wujud untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi pasukannya.
Tidak wajar bagi seorang pemimpin itu memburuk-burukkan pasukannya dengan menceritakan masalah pasukannya kepada umum. Pernah saya terima aduan dalam mesyuarat mingguan pangkalan mengenai tatacara anggota saya menjalankan tugas. Saya akan mempertahankan tindakan anggota tersebut di hadapan pegawai dan anggota lain sejauh mungkin; namun teguran yang saya berikan kepada anggota tersebut adalah secara terus kepada beliau seorang, dan disaksikan oleh Sarjan Mejar Skuadron saya untuk tindakan pembetulan kepada SOP.
“As a leader, bring solutions, not add more problems to the situation,” kata jurulatih saya. “Inspire your men’s morale, not degrade it.”
Semalam merupakan hari pertama kita menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Ada di antara anggota-anggota serta pegawai barisan hadapan kita yang terpaksa tinggalkan keluarga, berpakaian seragam untuk menjalankan tugas.
Namun Ketua Polis Negara Inspektor-Jeneral Polis Dato’ Seri Panglima Acryl Sani Abdullah Sani boleh berbangga kerana beberapa orang pegawai kanannya juga turut turun ke padang untuk memberikan semangat kepada para petugas SJR. Di antaranya ialah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Komisioner Polis Datuk Razarudin Husain, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komisioner Polis Datuk Huzir Mohamed, Timbalan Pengarah KDN/KA (Pasukan Gerakan Khas) Deputi Komisioner Polis Datuk Mastor Md Ariff, dan Timbalan Pengarah (Penyiasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Senior Asisten Komisioner Polis Datuk Sasikala Devi Subramaniam.
Tindakan para pegawai kanan polis tersebut melawat lokasi-lokasi SJR sudah tentu menaikkan semangat para petugas di SJR-SJR tersebut, dan merupakan tiupan semangat baharu sejak berlakunya perubahan pucuk pimpinan PDRM.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Dato’ Zubil bin Mat Som yang sering kelihatan di barisan hadapan Maritim Malaysia juga telah memberi inspirasi kepada para pengarah maritim negeri serta zon di bawah kepimpinan beliau, terutamanya dalam bulan Ramadan dan Syawal.

Di Zon Maritim Batu Pahat, pengarahnya Komander Maritim Mohammed bin Othman sering turut serta dalam operasi-operasi yang dijalankan oleh para anggota yang dipimpinnya. Perkara ini tidak langsung berubah semasa bulan Ramadan yang lalu. Bukanlah suatu perkara yang senang untuk menghadapi keadaan panas di laut setiap hari, apatah lagi apabila menjalani kewajipan berpuasa semasa melakukan operasi.

Begitu juga keadaannya di Pulau Pinang di mana pada pagi Hari Raya Aidil Fitri kelihatan Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang Kepten Maritim Abd Razak bin Mohamed mengorbankan sambutan Hari Rayanya dengan membeli beberapa kotak ayam goreng KFC untuk dikongsikan bersama para pegawai dan anggota yang bertugas sebagai menghargai pengorbanan mereka menyarung pakaian seragam sebagai pakaian Hari Raya. Sikap kepemimpinan seperti inilah yang perlu diterapkan ke dalam sanubari kepimpinan sesebuah pasukan.
Semangat juang sesebuah pasukan itu bergantung kepada keberkesanan sikap kepimpinannya. Berapa pantasnya masalah yang dihadapi pasukan dapat diselesaikan oleh pucuk pimpinannya, serta kesanggupan mereka untuk sama-sama selami masalah untuk memahami cabaran para pegawai dan anggotanya adalah amat penting dalam pembentukan sebuah pasukan yang berkesan dan tinggi mutu penugasannya.
Bak kata, burung helang selesaikan masalah rasa laparnya dengan bekerja keras dalam diam. Burung kakak tua pula hanya membuat bising.
You must be logged in to post a comment.