Defence: Pengetahuan Bersuara; Kebijaksanaan Mendengar

Dua hari lepas, kerajaan telah mengumumkan skim-skim bantuan untuk para Veteran ATM (VATM) termasuk Skim Anuiti Veteran (SAVe), Bantuan Bakti Negara (BBN), penambahan kuota jemaah Haji Veteran, penambahbaikan bantuan kewangan untuk Veteran Kelainan Upaya sama ada semasa bertugas mahupun selepas meninggalkan perkhidmatan, serta peruntukan istimewa untuk Tabung Pahlawan sebanyak RM5 juta.

Enam inisiatif Veteran ATM yang telah diusahakan oleh kerajaan

Kemudahan yang diumukan ini akan dinikmati oleh seramai 288,952 orang VATM berdaftar setakat bulan Mei 2017, yang mana 118,371 atau 41 peratus adalah VATM berpencen manakala 170,581 atau 51 peratus adalah mereka yang tidak berpencen.  Malah, ianya merupakan suatu bonus terutamanya buat para VATM yang tidak menerima pencen bulanan sepertimana yang dinikmati oleh rakan-rakan mereka yang memilih untuk meneruskan perkhidmatan hingga layak pencen.

Kesemua inisiatif di atas kecuali yang berhubung dengan Tabung Pahlawan adalah dibiayai oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), manakala Tabung Pahlawan membiayai inisiatifnya berdasarkan kutipan derma dari orang ramai, kerajaan dan pihak korporat.

Inisiatif-inisiatif tersebut adalah hasil keperihatinan pihak kerajaan terhadap para VATM, terutamanya VATM tidak berpencen yang paling ramai menghadapi kesempitan hidup.

Jika kita amati, golongan VATM yang tidak berpencen ini tidak menikmati bantuan sebanyak mana yang dinikmati rakan-rakan mereka yang berpencen.  Lihat sahaja kepada laman web Jabatan Hal Ehwal Veteran:

VATM yang berpencen sekurang-kurangnya menikmati faedah pencen setiap bulan dan juga menikmati kenaikan pencen setiap kali kenaikan diberikan.  Bagi VATM yang tidak berpencen, Bantuan Bakti Negara (dan SAVe bagi bakal VATM tidak berpencen) pengumuman kerajaan mengenai inisiatif-inisiatif ini amat bermakna, terutama sekali bagi VATM yang tergolong dalam kumpulan B40.

Namun, ada yang cuba menghasut kemarahan VATM sejurus selepas pengumuman tersebut dibuat dengan membandingkan RM200 yang diterima oleh para nelayan secara bulanan dengan purata RM100 yang diterima oleh VATM tidak berpencen melalui BBN.  Soalan saya kepada mereka ialah, adakah mereka yang menghasut ini mempunyai bot kecil untuk menangkap ikan di laman rumah mereka kerana RM200 bulanan kepada para nelayan itu adalah bantuan untuk menampung kos minyak enjin bot?

Sekiranya para nelayan yang menerima RM200 sebulan tersebut ada menerima skim-skim bantuan seperti yang saya senaraikan di bawah, maka bolehlah para VATM tidak berpencen tunjukkan kemarahan mereka:

  • Rawatan Perubatan Pesakit Luar/Dalam Yang Ditanggung oleh Kerajaan di Klinik dan Hospital termasuk di Institut Jantung Negara Sdn Bhd untuk VATM, isteri dan anak-anak di bawah umur 18 tahun atau 21 tahun jika masih belajar;
  • Skim Bantuan Sara Hidup bulanan bagi meringankan beban tanggungan sara hidup Veteran ATM dan tanggungan mereka yang daif, uzur, hilang upaya dan menghidap penyakit kronik berdasarkan kelayakan mengikut kiraan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang ditetapkan;
  • Skim Bantuan Persekolahan dan Kolej Vokasional Kebangsaan adalah bertujuan bagi membiayai anak-anak Veteran ATM yang kurang mampu untuk meneruskan pelajaran mereka di peringkat rendah dan menengah berasaskan kelayakan mengikut kiraan PGK yang ditetapkan;
  • Bantuan Kemasukan ke IPTA dan Politeknik membantu meringankan beban kewangan ketika pendaftaran kemasukan ke Universiti Awam/Politeknik bagi anak-anak Veteran ATM sebagai memberi galakan dan motivasi untuk meneruskan pengajian di peringkat lebih tinggi;
  • Bantuan Peralatan Pesakit bertujuan memberi bantuan kewangan sekaligus kepada Veteran ATM, isteri dan tanggungan untuk membeli peralatan bantuan sokonganseperti kerusi roda, tongkat, katil, tilam dan sebagainya;
  • Bantuan Bencana Alam bertujuan memberi bantuan kewangan sekaligus untuk meringankan beban dan kesusahan yang dialami oleh Veteran ATM akibat bencana alam seperti ribut, kebakaran dan sebagainya.

VATM berpencen mendapat lebih banyak faedah dari yang disebutkan di atas.  Kita boleh bayangkan betapa banyak yang dibelanjakan setiap bulan oleh kerajaan untuk menjaga kebajikan 288,952 orang VATM berdaftar.  Apakah nilai RM200 yang diperolehi 140,949 orang nelayan lebih besar?

Ini belum lagi termasuk Program Membaikulih Rumah Veteran 1Malaysia, Pembinaan Rumah Mampu Milik, Pembinaan Poliklinik Angkatan Tentera, Program Recognition Prior Experiential Learning (RPEL) yang juga dilaksanakan di bawah Teras Kebajikan di bawah Lima Teras Hala Tuju Kementerian Pertahanan.

Pada 19 Mei baru-baru ini VATM yang mengalami kecederaan semasa Insurgensi telah menerima Bayaran Insentif Khas Insurgensi.  Sebanyak RM55 juta telah diperuntukkan untuk inisiatif ini dan 2,939 orang VATM atau waris mereka telah mula dibayar insentif ini.

Semasa mengumumkan enam inisiatif baru dua hari lepas, Perdana Menteri ada menyebut bahawa akan ada pengumuman-pengumuman lain berkenan inisiatif untuk membantu para VATM dalam masa terdekat.  Mungkin ramai tidak mendengar dengan teliti apa yang disebutkan oleh Perdana Menteri sehingga termakan hasutan dengan mudah mungkin kerana ingin mendengar apa yang diharapkan – termasuk kenaikan pencen.

Pada pendapat saya, sekiranya pencen dinaikkan, ia melibatkan satu perbelanjaan yang amat besar.  Bukan sahaja VATM berpencen yang harus diberi kenaikan pencen, malah sebarang pelarasan melibakan juga kakitangan awam, polis dan lain-lain anggota jabatan-jabatan lain yang telahpun berpencen.  Tanpa menaikkan kadar pencen, jumlah kakitangan kerajaan, tentera, polis dan lain-lain yang baru pencen memerlukan kenaikan jumlah yang perlu dibayar kepada para pesara baru ini dan saya menganggarkan kos penambahan tersebut adalah sebanyak RM3 billion setahun.

Inilah seperti saya nyatakan di atas sebabnya inisiatif-inisiatif di atas dibiayai oleh LTAT dan tidak melibatkan perbelajaan besar oleh pihak kerajaan.  Ini dapat dilakukan kerana kerajaan percaya pihak pengurusan LTAT bijak mengurus segala aktivitinya hingga dapat menjana pendapatan yang menguntungkan bukan sahaja anggota ATM yang masih bertugas, malah juga yang telah bersara.

Dan inisiatif-inisiatif ini, sepertimana dalam ucapan Menteri Pertahanan, akan diteruskan dan ditambahbaik dari masa ke semasa selagi kerajaan ini memegang tampuk pentadbiran.

Sepatutnya sebagai VATM kita merasa bangga dan berterima kasih kerana mereka di kalangan kita yang amat memerlukan bantuan melalui inisiatif-inisiatif tersebut mendapat perhatian kerajaan, sekalipun kita tidak layak menerima bantuan tersebut kerana kita berpendapatan lebih dari mereka.

Mungkin persatuan-persatuan veteran pasukan keselamatan lain juga rasa mereka memerlukan perhatian yang sama, maka bolehlah mereka ajukan kepada organisasi mereka yang seumpama LTAT untuk membiayai inisiatif-inisiatif yang boleh mereka fikirkan tanpa melibatkan kewangan kerajaan.

Kepada para Veteran ATM, jangan mudah terpengaruh dengan hasutan. 10 masalah tidak boleh diselesaikan sekaligus. Ianya perlu diselesaikan satu persatu.  Biar pengetahuan kita yang bersuara, bukan pembohongan; dan biar kebijaksanaan kita mendengar, bukan kebencian.

%d bloggers like this: