Defence – Isu Seragam Komunis

lct02
Timbalan Menteri Pertahanan memakai corporate bush jacket Kementerian Pertahanan semasa membuat lawatan. Beliau memakai bush jacket yang sama dalam gambar yang dikatakan pakaian seragam komunis

Heboh disebarkan di dalam media sosial sebuah gambar yang menampakkan Timbalan Menteri Pertahanan memeriksa kawalan kuarter Tentera Darat di mana beliau dikatakan memakan pakaian seragam Parti Komunis Malaya.  Saya terpanggil untuk menulis kerana saya perlu bersikap adil kerana menjadi prinsip saya agar hal ehwal pertahanan tidak dipolitikkan.

Bush Jacket Korporat – Satu Langkah Yang Wajar

Saya tak tahu sejak bila budaya Menteri memakai pakaian seragam tentera ini dimulakan.  Seingat saya, Dr Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri Ke-4 hanya memakai pakaian seragam tentera darat semasa beliau dianugerahkan beret kehormat Grup Gerak Khas pada tahun 2001.  Selain itu tidak pernah saya lihat beliau mengenakan pakaian tentera.

Begitu juga dengan Najib Razak semasa melawat para pegawai dan anggota tentera kita di Bosnia semasa beliau menjadi Menteri Pertahanan. Beliau tidak mengenakan pakaian tentera penuh, hanya memakai sebuah jaket celoreng untuk mengatasi cuaca sejuk di sana.

najib ke bosnia
Najib Razak melawat MALBATT di Bosnia semasa beliau menjadi Menteri Pertahanan

Bapa beliau yang menjadi Menteri Pertahanan sebanyak dua kali, juga tidak pernah memakai pakaian seragam tentera semasa melawat barisan hadapan.

Screen Shot 2018-10-31 at 18.23.27
Dato’ Abdul Razak bin Hussein, yang ketika itu Menteri Pertahanan, melawat pangkalan Tentera Udara DiRaja Malaysia di Sungai Besi pada tahun 1963
Photo 02 - Tun Razak 31 Dec 74 Visit 3rd Sqdn
Tun Abdul Razak bin Hussein semasa menjadi Perdana Menteri, melawat No.3 Skuadron di Pangkalan Udara Butterworth pada 31 Disember 1974 memakai Bush Jacket berlengan panjang

Begitu juga dengan Perdana Menteri Ke-3, Tun Hussein Onn.  Beliau tidak pernah mengenakan pakaian seragam tentera semasa melawat unit-unit tentera.

photo 04 - stock-photo-perdana-menteri-datuk-hussein-onn-melawat-pusat-latihan-grantales-v-di-sungai-petani--kedah-366461
Dato’ Hussein Onn, Perdana Menteri Ke-3, memeriksa kawalan kuarter Tentera Darat memakai Bush Jacket berlengan pendek – foto ehsan Jabatan Penerangan

Pemakaian pakaian seragam tentera oleh individu-individu yang tidak berkenaan, yang tidak pernah menjalani sebarang latihan untuk berkhidmat untuk Angkatan Tentera Malaysia, selain di atas sebab khusus dan istimewa seperti semasa pengurniaan beret atau sayap kehormat, adalah dianggap mencemar pakaian seragam tersebut.  Ini disebabkan mereka yang tidak pernah dilatih tidak mengetahui pahit jerih serta nilai pakaian seragam serta lencana dan sayap tersebut.

Kadangkala sebagai seorang Veteran ATM, saya rasa terkilan dan sedih apabila mereka-mereka yang tidak pernah lalui sebarang bentuk latihan ketenteraan dan diberikan tauliah kehormat, bersikap lebih tentera daripada warga ATM, dan meletakkan pakaian kepala mereka seperti topi ataupun beret yang mempunyai lencana kor, di atas tanah atau di lain-lain tempat tanpa menghormati makna lencana tersebut.

Pada tahun 2015, DYMM Sultan Johor pernah menegur sikap ramai pemimpin tentera dan pegawai kehormat yang memakai pelbagai lencana dan sayap kehormat ma­sing-masing sepanjang masa kerana berdasarkan tata cara pemakaian, ia perlu dipakai semasa majlis yang berkenaan sahaja.

Jika betul-betul ingin memakai lencana sayap sepanjang masa, saya syorkan buatlah terjunan dahulu. Sekurang-kurangnya sayap yang tersemat di dada itu benar-benar mempunyai nilainya dan bukannya hanya sebagai hiasan yang memenuhi uniform,” titah baginda yang pernah mendapat latihan ketenteraan di Pusat Latihan Tentera Darat (PULADA), di Fort Benning dan Fort Bragg di Amerika Syarikat, dan menjalani kursus jurutrbang helikopter di TUDM Kluang.

Oleh itu, saya amat menyokong pemakaian pakaian korporat oleh Menteri dan Timbalan Menteri Pertahanan semasa membuat lawatan ke unit-unit Angkatan Tentera Malaysia.

Pakaian Seragam Komunis?

lct04
Gambar yang ditularkan yang mendakwa Timbalan Menteri Pertahanan memakai seragam Parti Komunis Malaya semasa memeriksa kawalan kuarter

Apakah pilihan pakaian yang ada untuk warga Kementerian Pertahanan yang bukan pegawai atau anggota tentera semasa berada di luar kawasan KEMENTAH?  Pakaian kemeja korporat mungkin kurang sesuai berbanding bush jacket sekiranya lawatan tersebut melibatkan mesyuarat dengan pucuk pimpinan ATM berkenaan hal-ehwal operasi.  Sekiranya ianya melibatkan perbarisan penuh bersama panji-panji maka lounge suit atau baju istiadat Ahli Parlimen lebih sesuai terutamanya dengan kehadiran Raja-Raja.

Tetapi, kenapa pakaian Bush Jacket korporat Kementerian Pertahanan itu mirip pakaian seragam Parti Komunis Malaya? Itu pertanyaan yang diajukan oleh mereka-mereka yang tidak pernah melihat pakaian seragam PKM.

pkm
Pakaian seragam Ketumbukan Ke-10 Parti Komunis Malaya

Pakaian seragam Parti Komunis Malaya adalah berwarna hijau gelap.  Ianya hampir serupa dengan pakaian seragam tempur Tentera Darat ketika itu yang menggunakan warna ‘paddy green‘.  Hanya pada penghujung tahun 1970an barulah Angkatan Tentera Malaysia menggantikan pakaian tempur ‘paddy green‘ dengan pakaian tempur celoreng.

lct05

 

Bush Jacket yang dipakai oleh Timbalan Menteri Pertahanan adalah berwarna khaki dan bukannya hijau tua seperti seragam PKM.  Khaki adalah warna yang lebih sesuai digunakan untuk tugas-tugas di tengah panas berbanding di dalam hutan kerana elemen penyamaran yang lemah.

Elak Menjadi Lebih Tentera Daripada Tentera

Angkatan Tentera Malaysia adalah sebuah organisasi professional yang berpegang teguh kepada disiplin dan tradisi.  Walaupun tidak dinafikan Menteri Pertahanan sebelum ini banyak membantu dari segi kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia, dan warga ATM memang berterima kasih di atas usaha-usaha tersebut, namun ada beberapa perkara yang tidak disenangi oleh mereka.  Pemakaian pakaian seragam yang berleluasa oleh Menteri ketika itu terutamanya beret maroon kehormat dan sayap penerjunan kehormat di hampir kesemua majlis pernah menjadi sebutan warga ATM.

Penganugerahan tauliah kehormat dengan agak mudah kepada para pegawai beliau ketika itu juga menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan para pegawai dan anggota kerana mereka rasakan nilai pangkat yang dipakai itu terhakis.  Yang memakai itu mungkin hanya mempunyai kesetiaan politik, tetapi kesetiaan kami bukanlah kepada elemen politik.  Kami setia hanya kepada Raja dan Negara.

Begitu juga dengan pengenalan budaya ‘fist bump‘ serta laungan “Perkasa Perwira” yang berlainan dengan laungan semangat tradisi iaitu “Gempur Wira” yang menjadi sebahagian daripada istiadat ATM itu sendiri.

Kita faham usaha kerajaan ketika itu untuk memperkasakan ATM, tetapi cukuplah sekiranya ‘Perkasa Perwira‘ itu hanya sebagai hashtag di media sosial dan bukannya laungan semangat.  Begitu juga ‘fist bump‘ yang sememangnya bukan budaya mana-mana angkatan tentera walaupun separa-formal.  Mungkin tujuannya ketika itu adalah untuk menunjukkan kepada orang awam bahawa warga ATM ini sebenarnya cool.  Kami sememangnya cool, namun sebagai sebuah organisasi yang professional dan bertanggung jawab untuk mempertahankan kedaulatan negara, kami tidak boleh dilihat sebagai cool apatah lagi hip seperti hipster.

Oleh itu, langkah memakai Bush Jacket korporat oleh Menteri dan Timbalan Menteri Pertahanan sekarang adalah satu langkah yang betul kerana mereka adalah sebagai facilitator membantu warga ATM untuk mencapai sasaran doktrin mereka.  Benar, kerjasama baik di antara Kementerian Pertahanan dengan Angkatan Tentera Malaysia itu penting, namun tidak perlulah sehingga menjadi cool dan hip.  Dapatkan apa yang terbaik yang diidamkan oleh warga ATM sebagai end-user adalah lebih bermakna bagi mereka.

Perkasakanlah Angkatan Tentera Malaysia tanpa menjadi lebih tentera dari mereka.

 

One Reply to “Defence – Isu Seragam Komunis”

Comments are closed.

%d bloggers like this: