Suatu Pagi Ramadhan Lebih 20 Tahun Lalu

6.30 pagi. Kami duduk beramai-ramai di atas Bukit Tyndall memakai half-celoreng bersama poncho. Cuaca bukannya hujan, tetapi poncho adalah pakaian harian kami di pagi begini. Dan kami sedang menunggu PTI (Physical Training Instructor) kami bernama Sergeant Wan Su (bersara sebagai Flight Sergeant), dan beliau merupakan orang yang paling kami benci semasa latihan kadet. Hmm…salah seorang dari yang dibenci sebenarnya, cuma Wan Su ni sickening di pagi hari.

Setiap pagi hari Isnin, akan menjadi suatu lumrah bagi Wan Su untuk membuat kami berlari 10 round keliling padang bola sambil mengangkat seorang buddy sama ada dalam keadaan darling carry ataupun fireman lift. Lepas itu beliau akan suruh kami membuat side-roll dan forward-roll dan tak akan berhenti sehingga kami semua muntah, tak kira di bulan Ramadhan mahupun bulan biasa. “Pecah lemak lepas weekend,” katanya.

Cipet.

6.35 pagi. Wan Su tidak muncul-muncul. Beberapa orang pegawai kadet mula mendoakan agar Wan Su ditimpa kemalangan jalanraya supaya pagi tersebut kami tak kena torture oleh beliau. Kami mula berseloroh mengenai bagaimana Wan Su akan terpele’ot dilanggar lori hantu, atau dilanggar lori babi hingga terpelanting ke dalam hutan dan tidak disedari oleh sesiapa pun.

6.45 pagi. Harapan semakin cerah, semakin cerah bak pandangan ketika itu. Ada yang dah mula menyuruh squad leader memberi arahan supaya bersurai kerana pada jam 8.00 pagi biasanya ada room inspection oleh duty officer, dan selepas itu latihan akademik (latihan kawad biasanya jam 12 tengahari ke atas – waktu dan masa yang gerenti akan meleburkan sel-sel otak).

6.55 pagi. Kami semua tersenyum. Mungkin akhirnya doa kami dimakbulkan Tuhan, dan Wan Su kini selamat berehat di dalam hutan dengan motor cub-chai di atas kepalanya. Lagi 5 minit matapelajaran PT (physical training) akan tamat. Kami pun mula membuka poncho, dan squad leader mula menyuruh kami berbaris untuk bersurai.

Tiba-tiba kedengaran bunyi sebuah cub-chai bodoh. Dan muncul wajah cipet Wan Su dengan sengeh babinya.

“Kau orang ingat aku dah mampus?” tanya beliau dengan suara yang amat sickening.

Rupanya dia telah meminta kebenaran Komandan supaya boleh beliau torture kami sehingga jam 9.30 pagi.

Memang sial!

5 tahun lepas aku terserempak dengan Wan Su yang kini bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan di salah sebuah hospital kerajaan.

“Apa naik badan ni tuan?” tanya beliau kepada aku. “Duduk dengan saya sebulan kasi saya torture bagi kurus balik.”

Aku tengok muka dia, tak habis-habis sickening, dan aku tahu dia bukannya joking.

Cipet.