Bila Lembu Bersuara

IMG_6130

Setelah didapati bersalah melanggar undang-undang, khususnya Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan, 1989 (BAFIA), Rafizi terus mencari simpati dan sokongan di media sosial dengan membuat satu bebenang mengenai isu NFC di Twitter.  Beberapa soalan telah diajukan oleh Rafizi untuk menerangkan kenapa beliau melanggar undang-undang tersebut.  Saya akan kongsikan di sini apa yag telah dituliskan serta pendapat saya mengenai setiap persoalan yang diajukan Rafizi.

Rafizi telah memulakan dengan mengfalsafahkan perbuatannya dengan mengajukan dua soalan:

  1. “Apakah tanggungjawab saya apabila mendapat tahu mengenai skandal NFC?”
  2. Apakah wajar melanggar undang-undang demi menyelamatkan wang rakyat?”

Beliau menjawab soalan pertama dengan mengatakan bahawa sekiranya beliau tidak berbuat apa-apa mengenai perkara tersebut, beliau pecah amanah sebagai seorang wakil rakyat dan pemimpin politik, serta amanah yang Allah kurniakan untuk memahami isu-isu tersebut.

Larangan Hasutan dan Pecah Rahsia serta Patuh Kepada Undang-Undang menurut Islam

Beliau mengutarakan bahawa undang-undang seperti BAFIA, Akta Rahsia Rasmi, Akta Hasutan adalah undang-undang yang telah digubal dengan niat buruk untuk melindungi pesalah yang berkuasa.

Undang-undang, di mana sahaja kita berada, sama ada di sebuah negara Islam, mahupun negara yang ditadbir oleh bukan Islam, adalah wajib dipatuhi, selagi ianya tidak menyuruh kepada melanggar hukum Allah SWT.

Surah An-Nisaa’ ayat 59 menyebut:

Wahai orang-orang yang beriman, ta’atilah Allah dan ta’atilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu.

Ulil Amri di sini bermaksud ibubapa jika anda masih anak yang masih bergantung kepada ibubapa; suami kepada isteri seperti mana yang diwahyukan melalui surah An-Nisaa’ ayat 34; Majikan jika anda bekerja untuknya maka wajib mematuhi peraturan dan arahan bekerja; pemimpin yang dipilih, hakim-hakim mahkamah, polis dan lain-lain pihak berkuasa sekiranya anda adalah rakyat.

Sebuah hadith Sahih Muttafaqun Alayhi Bukhari dan Muslim (Bukhari 2796/Muslim 1839 menyebut:

Menjadi kewajipan seorang muslim mendengar dan taat dalam melakukan perintah yang disukai atau pun tidak disukai, kecuali bila diperintahkan melakukan maksiat. Bila dia diperintah melakukan maksiat, maka tidak ada kewajiban untuk mendengar serta taat.

Akta BAFIA diwujudkan untuk memelihara rahsia-rahsia peribadi, bukan untuk melindungi orang yang salah.  Sekiranya tiada akta seperti ini diwujudkan, maka kandungan akaun anda boleh didedahkan kepada sesiapa sahaja.  Bukan Malaysia sahaja yang mempunyai undang-undang seperti ini, bahkan Agensi Kewangan Saudi Arabia dan lain-lain negara di dunia juga ada mempunyai undang-undang yang sedemikian.

Akta Hasutan adalah undang-undang untuk mencegah dari perbuatan atau pertuturan yang menghasut orang ramai untuk memberontak atau bangun melawan pihak berkuasa, kerajaan mahupun Raja.  Perbuatan menghasut ini sekali lagi bertentangan dengan dalil-dalil di atas.  Iblis telah memberontak semasa diperintah oleh Allah SWT untuk sujud terhadap Adam a.s. dan mengeluarkan kata-kata berbaur hasutan yang mempersoalkan keperluannya sebagai malaikat Allah untuk sujud kepada kejadian Allah yang diperbuat dari tanah.  Akibatnya Iblis telah diusir keluar dari syurga.

Akta Rahsia Rasmi pula diadakan untuk menentukan rahsia-rahsia  kerajaan Yang DiPertuan Agong tidak disebarkan sewenang-wenangnya.  Bayangkan walaupun adanya Akta ini, masih ada yang tidak memegang sumpah dan ikrar yang dibuat semasa diambil bekerja.  Memelihara rahsia itu adalah satu perintah Allah SWT.  Surah At-Tahrim Ayat 3 mafhumnya:

Dan ingatlah ketika Nabi membicarakan secara rahasia kepada salah seorang isterinya (Hafsah) suatu peristiwa. Maka tatkala (Hafsah) menceritakan peristiwa itu (kepada Aisyah) dan Allah memberitahukan hal itu (pembicaraan Hafsah dan Aisyah) kepada Muhammad lalu Muhammad memberitahukan sebagian (yang diberitakan Allah kepadanya) dan menyembunyikan sebagian yang lain (kepada Hafsah). Maka tatkala (Muhammad) memberitahukan pembicaraan (antara Hafsah dan Aisyah) lalu (Hafsah) bertanya: “Siapakah yang telah memberitahukan hal ini kepadamu?” Nabi menjawab: “Telah diberitahukan kepadaku oleh Allah yang Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal

Akibat tidak memelihara rahsia tersebut, Hafsah binti Umar r.a dan Aishah binti Abu Bakar r.a tidak didatangi Rasulullah SAW selama sebulan lamanya.  Itu adalah hukuman bagi kedua-dua isteri Rasulullah SAW itu (Sahih Bukhari 5191).

Anggapan Rafizi bahawa orang yang menggunakan logik bahawa jika anda langgar undang-undang maka anda harus dihukum adalah orang-orang yang otaknya terletak dilutut juga menunjukkan betapa beliau sendiri tidak percaya kepada perintah dan ketentuan Allah SWT.  Dalil-dalil di atas telah menunjukkan beberapa contoh yang dipetik dari Al-Quran dan Hadith Rasulullah SAW mengenai hukuman yang dikenakan setelah perintah dilanggar.

Begitu juga tanggapan bahawa Mahatma Gandhi itu penjenayah – manakan sama perjuangan Gandhi dengan perjuangan Rafizi.  Gandhi memperjuangkan kebebasan tanah airnya dari penjajahan British.  Rafizi hanya memperjuangkan popularitinya.

Ingat – sebelum 2013, Rafizi tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam exco PKR.  Isu NFC telah memberinya nama dan populariti yang telah membolehkannya bertanding di kerusi Parlimen kawasan Pandan dan menang.

Wang NFC Itu Dana?

Wang yang NFCorp gunakan itu adalah wang yang dipinjam daripada kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, yang ketika itu di bawah Menterinya iaitu Muhyiddin Yassin.

Rafizi bukan orang pertama yang mencanangkan kisah NFC ini.  Maka dia bukanlah pemberi maklumat sepertimana yang digembar-gemburkan.  Kisah NFC ini mula muncul dalam laporan audit Jabatan Audit Negara pada tahun 2010.  Di dalam laporan tersebut, tiada langsung perkataan-perkataan seperti “kucar-kacir” mahupun “penyelewengan” sepertimana yang digunakan oleh pihak pembangkang dan Rafizi sendiri.

Yang dilaporkan oleh Jabatan Audit Negara ialah terdapat kelemahan-kelemahan dalam projek tersebut yang ditemui oleh jabatan tersebut.  NFCorp telah menternak sebanyak 4,000 ekor lembu tetapi ini hanyalah merupakan 40 peratus dari jumlah yang telah disyaratkan.  Maka, sebanyak 8,000 ekor lagi lembu telah dibawa masuk.

Masalah yang timbul adalah apabila Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tidak memenuhi syarat perjanjian mereka untuk menyediakan tempt-tempat penyembelihan berkualiti untuk eksport, serta jalan-jalan untuk ke tapak projek NFC tersebut.  Ini telah menyebabkan kelewatan pada pihak NFC untuk menjalankan projek tersebut.  Malah, kelewatan yang disebabkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani inilah yang menjadi perkara kritikal dalam laporan Jabatan Audit Negara tersebut dan bukan terhadap syarikat NFCorp.

Rafizi hanya menggunakan penyata akaun-akaun yang diperolehi dengan cara yang melanggar Akta BAFIA dan menghebahkan mengenai akaun-akaun tersebut dalam satu sidang akhbar yang diadakannya pada 12 Mac 2012.  Beliau mengaitkan akaun-akaun tersebut dengan “penyelewengan” oleh NFC dan memfitnah beberapa orang dan syarikat.

Akibatnya, Rafizi telah disaman oleh NFCorp dan akibatnya didapati bersalah oleh mahkamah atas tuduhan memfitnah, dan diarahkan membayar RM300,000 kepada mereka-mereka yang telah difitnahnya.  Bagaimana Rafizi membayar saman fitnahnya? Dia telah melakukan kutipan derma (crowdfunding) dengan meminta para penyokongnya membayar samannya.  Beliau tidak perlu keluarkan barang satu sen pun. Kesalahan fitnahnya ditanggung oleh orang lain.

Jikalau apa yang diwar-warkan oleh Rafizi itu benar, sudah tentu dia tidak akan didapati bersalah.

Dana Telah Dilesapkan?

Rafizi juga berkata kerahsiaan bank bukan untuk melesapkan dana awam.  Rafizi suka menggembar-gemburkan cerita.  NFC membayar balik RM5 juta setahun termasuk faedah kepada kerajaan.  Sehingga 2013, NFC telah membayar sebanyak RM34.98 juta.

Pembayaran ini terpaksa dihentikan kerana akaun mereka telah dibekukan kerajaan semasa disiasat.  Siasatan oleh SPRM dan PDRM tidak menemui sebarang kesalahan yang dilakukan oleh NFC/NFCorp.  Walau bagaimanapun, Pengerusi NFCorp telah dituduh melakukan jenayah pecah amanah dengan membuat pembelian hartanah untuk syarikat tersebut tanpa persetujuan lembaga pengarah.  Oleh sebab bukti pihak pendakwaan tidak mencukupi, beliau telah diberi pelepasan dan pembebasan oleh mahkamah.

Jelas bahawa NFC ada membuat pembayaran balik pinjaman kepada kerajaan.  Jika benar Rafizi pentingkan hak rakyat, kenapa beliau berdiam diri dalam isu pembayaran RM305 juta yang telah dibayar untuk laporan kajian kesesuaian projek terowong bawah laut Pulau Pinang tetapi sehingga kini masih belum nampak walau sehelai pun laporan tersebut walaupun telah 22 bulan berlalu?

Kenapa Rafizi Tidak Diberi Perlindungan Sebagai Pemberi Maklumat?

Rafizi menulis: “Kalau bising dalam media sahaja tidak cukup untuk sedarkan rakyat kerana bukan semua membaca laporan media. Kena masuk kampung ceramah. Kena buat video.  sebab itu tidak ada cara lain: inilah caranya.”

Seksyen 6 Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, 2010 terang-terang menyebut bahawa sesiapapun boleh membuat pendedahan mengenai kelakuan tidak wajar (salahlaku) KEPADA MANA-MANA AGENSI PENGUATKUASAAN YANG DIFIKIRKANNYA MUNASABAH  DENGAN SYARAT BAHAWA PENDEDAHAN SEDEMIKIAN TIDAK DILARANG SECARA KHUSUS OLEH MANA-MANA UNDANG-UNDANG BERTULIS.

Seksyen 97(1) Akta Perbankan dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 pula menyebut:

Screen Shot 2018-02-11 at 22.51.07

Rafizi telah menerima penyata akaun-akaun tersebut daripada seorang pegawai bank yang tidak diberi kebenaran oleh empunya akaun-akaun tersebut.

Rafizi kemudiannya mendedahkan penyata akaun-akaun tersebut kepada pihak media dalam sidang akhbarnya. Media bukanlah agensi penguatkuasaan yang ditakrifkan dalam Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, 2010.

Dengan ini terang lagi bersuluh bahawa Rafizi telah melanggar undang-undang dan tidak layak diberi perlindungan sebagaimana diperuntukkan oleh Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, 2010.

Akhir Kata

Rafizi tidak pernah hormat kepada agama Islam mahupun undang-undang.  Beliau adalah merupakan seorang penghasut dan pemfitnah bersiri.  Di antara siri hasutan dan fitnah beliau termasuk:

  • 12 Januari 2013, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang ketika itu Menteri Pertahanan telah mengemukakan saman malu ke atas Rafizi kerana menerbit artikel fitnah dalam blog beliau. Rafizi telah menurunkan artikel tersebut dan memohon maaf kepada Zahid.
  • 22 Nov 2014, Perdana Menteri dan isteri fail saman malu dan Rafizi balas dengan mengatakan fitnah beliau itu ‘hanya gurauan’ kerana memfitnah subsidi minyak masuk ke dalam akaun Perdana Menteri dan isteri untuk membeli cincin baru. Fitnah beliau tersebut terus dipercayai sehingga ke hari ini dan telah memberi kerosakan teruk kepada imej Datin Seri Rosmah.
  • Januari 2016, Rafizi didenda RM1,800 oleh mahkamah kerana mencetus ketegangan agama Islam-Kristian dengan memfitnah mengatakan ahli UMNO telah membaling bom petrol ke gereja.
  • Rafizi juga telah menabur fitnah kononnya Tabung Haji sudah kehabisan wang sebab dana Tabung Haji telah dirompak. Akhirnya, kerana percayakan fitnah tersebut, 3,954 pendeposit menutup akaun tabung haji manakala 3,105 telah membatalkan pendaftaran untuk menunaikan ibadah haji.
  • Rafizi juga menabur fitnah dengan mendakwa kos projek MRT sebanyak RM21billion bagi laluan sepanjang 21km sedangkan ianya untuk laluan sepanjang 51km.
  • Pada bulan Oktober 2016, Rafizi diarah membayar RM300,000 oleh mahkamah kerana memfitnah NFC mengenai pembelian hartanah.
  • Pada bulan November 2016, Rafizi didenda RM1,950 oleh mahkamah kerana himpunan haram “Blackout 505”.
  • Pada bulan November 2016 juga Rafizi dihukum penjara 18 bulan oleh mahkamah kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi.
  • Pada penghujung bulan November 2016, Rafizi telah diminta bertaubat oleh Abdul Hadi Awang kerana memfitnah PAS menerima dana 1MDB.

Inilah Rafizi yang masih diagung-agungkan oleh mereka yang tenggelam dalam kebencian yang tidak berasas. Kalau ada pun asas yang didakwa mereka, asas tersebut hanyalah berlandaskan pembohongan dan penipuan semata-mata tanpa usul periksa.

Rafizi menulis: “Hakim saya ialah Allah. Hanya hukumanNya yang saya benar-benar peduli, bukan hakim-hakim lain.”

Begitulah Rafizi cuba menunjukkan betapa alimnya beliau.  Perintah Allah dilanggarnya, undang-undang diketepikannya.  Kini, beliau cuba memperdayakan ramai dengan imej alim.  Tak ubah seperti para perogol yang memakai songkok atau kopiah apabila dihadapkan ke mahkamah.

Screen Shot 2018-02-11 at 23.38.15

Biarlah Rafizi mengelembukan diri sendiri.  Jangan terikut dilembukan olehnya.  Ingat firman Allah SWT dalam surah Al-Buruuj ayat 10:

“Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan fitnah kepada orang-orang mukmin lelaki dan perempuan, kemudian mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka azab Jahannam dan bagi mereka azab (neraka) yang sangat pedih.”

Fitnah dan Pakatan berpisah tiada.