Hargai Anggota Pasukan Keselamatan Kita

Hospital Medan Labuan beroperasi
Hospital Medan Labuan didirikan oleh Angkatan Tentera Malaysia dengan kerjasama MERCY Malaysia untuk meringankan beban dan kekangan Kementerian Kesihatan Malaysia di Labuan

“Askar Tidur dan Makan”

“Buat apa beli peralatan tentera? Kita bukan pergi berperang?”

“Apa askar kita buat? Berkawad hari-hari. Menghabiskan beras.”

Begitulah ungkapan-ungkapan sumbang yang sering kedengaran dari kalangan rakyat Malaysia yang tidak memahami tugas dan tanggungjawab Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semasa aman. Namun, pandemik COVID-19 yang membawa malang kepada ramai rakyat Malaysia menjadi hikmah buat ATM kerana ianya merupakan peluang baginya untuk membuktikan kebolehannya membantu pihak berkuasa awam seperti Polis DiRaja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam apa yang digelar sebagai Military Operations Other Than War (MOOTW), serta mengenalpasti penambahbaikan dari segi pengoperasian serta pemerolehan aset.

ATM MAHIR SELAMATKAN NYAWA SAMBIL TIDUR DAN MAKAN

Setakat 4 Julai 2021, seramai 67,669 orang pesakit COVID-19 sedang dirawat di seluruh negara. Angka ini adalah trend menaik setelah penurunan akhir jumlah pesakit yang dirawat pada 26 Jun 2021 (60,646 kes) setelah mencapai puncak pada 6 Jun 2021 (86,628 kes). Pada bulan Jun 2021, purata pesakit yang dirawat setiap hari ialah seramai 71,573.20 kes, manakala bagi empat hari pertama bulan Julai 2021, terdapat purata 66,541.00 kes yang dirawat setiap hari.

Lagi membimbangkan ialah kenaikan kadar kes kematian. Dalam bulan Jun 2021, jumlah kematian ialah seramai 2,374 orang, iaitu pada kadar 79.13 kematian setiap hari. bagi empat hari pertama bulan Julai 2021, terdapat 327 kematian dengan purata 81.75 kematian setiap hari. Pada 4 Julai 2021 juga terdapat 917 orang pesakit di dalam wad-wad ICU dengan 443 orang memerlukan bantuan pernafasan.

Angka-angka yang saya sebutkan di atas sudah tentu memberi gambaran yang buruk mengenai keadaan semasa pandemik COVID-19 di negara ini. Di Lembah Klang, lebih banyak hospital awam dijangka akan dijadikan hospital COVID-19 sepenuhnya, manakala hospital-hospital di lain-lain negeri tidak lagi boleh menampung jumlah pesakit yang besar.

Bantuan pihak ATM mendirikan sebanyak enam buah hospital medan yang kini telah beroperasi sepenuhnya sedikit-sebanyak dapat meringkankan beban pihak KKM yang bertungkus-lumus tanpa henti sejak wabak ini mula tiba di negara ini pada 25 Januari 2020. Hospital medan keenam yang didirikan di Wilayah Persekutuan Labuan adalah yang tercanggih dan mampu memberi rawatan untuk para pesakit COVID-19 kategori 3, 4 dan 5. Hospital ini telah mula diaturgerakkan pada 22 Jun 2021 dan beroperasi sepenuhnya lima hari kemudian. ATM melalui Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera (PKAT) telah juga menggerakkan Tim Taktikal Hospital Medan, pakar-pakar bius, pakar-pakar kecemasan, pegawai-pegawai perubatan serta anggota-anggota perubatan Kor Kesihatan Diraja.

Kehadiran hospital medan di Labuan sudah tentu memudahkan pihak KKM dalam usaha membendung penularan serta merawat para pesakit COVID-19 di pulau tersebut kerana kes-kes berat dikendalikan oleh pihak ATM dengan kerjasama MERCY Malaysia; merawat para pesakit kategori 3, 4 dan 5 sehingga mereka stabil dan boleh dipindahkan ke Hospital Labuan untuk penjagaan kesihatan seterusnya sebelum dibenarkan pulang. Bak kata Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM kepada saya tempoh hari, “Kalau KKM berada dalam paras air setinggi hidung, diharap dengan bantuan ATM ini dapat dikurangkan paras air hingga di bawah dagu untuk membolehkan mereka bernafas semula.”

TUDM TERBANG SAMBIL TIDUR DAN MAKAN

A400M disaster relief
Ramai menganggap pembelian pesawat A400M sebagai tidak perlu. Pandemik COVID-19 telah membuktikan keberkesanannya

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengoperasikan pesawat pengangkut taktikal jenis Lockheed C-130H Hercules selama lebih 40 tahun. Walaupun pesawat-pesawat milik TUDM jenis ini masih baik keadaan dan penyelenggaraannya, namun keupayaannya adalah agak terhad, terutamanya dalam keupayaannya membawa barangan berat dalam peranan Humanitarian Assistance and Disaster Relief (HADR).

Kalau kita buat perbandingan, keupayaan pesawat A400M adalah lebih baik dari yang dimiliki pesawat C-130H. Pesawat A400M boleh membawa 18,000 tan metrik barangan lebih daripada keupayaan maksima pesawat C-130H. Pesawat tersebut juga mampu terbang pergi-balik dari Pangkalan Udara Subang ke Pangkalan Udara Labuan sebanyak tiga kali jika bahan bakar diisi penuh berbanding dengan sekali pergi-balik untuk pesawat C-130H pada kelajuan yang jauh lebih tinggi, iaitu hampir 200 kmj lebih dari pesawat C-130H. Inilah sebabnya ianya lebih sesuai sebagai sebuah pesawat pengangkut strategik manakala pesawat C-130H yang lebih kecil memainkan peranan sebagai pesawat pengangkut taktikal.

Dan apabila para penduduk pulau Labuan tidak dapat makan dan tidak lena tidur akibat terputus bekalan makanan berikutan penularan COVID-19 yang kritikal di sana, TUDM lah yang telah menerbangkan bekalan makanan asas sebanyak 20 tan, dan proses ulangbekal ini dijalankan dengan kerap oleh pihak TUDM agar rakyat Malaysia di Labuan dapat terus menjalankan kehidupan walaupun terdapat kekangan PKPD.

Keupayaan TUDM dalam peranan HADR sememangnya diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) dan kerana itu Pangkalan Udara Subang dijadikan UN Humanitarian Response Depot untuk rantau ini. Maka, TUDM bukan sahaja makan dan tidur seperti yang didakwa segelintir rakyat, tetapi boleh menjadi organisasi yang diberi kepercayaan oleh badan dunia tersebut dalam misi-misi HADR.

CORE BUSINESS MASIH SEPERTI BIASA

Biarpun dibelenggu masalah kekurangan pesawat pejuang berikutan usia pesawat-pesawat jenis tersebut yang kian lanjut, TUDM masih mampu melakukan penerbangan pemintasan apabila ruang udara negara dicerobohi 16 buah pesawat pengangkut Tentera Udara China (PLAAF) di pantai barat Sabah dan Sarawak.

Salah sebuah dari 16 buah pesawat PLAAF yang mencerobohi ruang udara negara

Sebenarnya, TUDM kerap lakukan penerbangan pemintasan seperti yang dilakukan terhadap pesawat-pesawat PLAAF pada 31 Mei 2021, hanya tidak pernah dicanang oleh pihak TUDM sendiri. Bukan sahaja China yang pernah menceroboh ruang udara kita, malah lain-lain pesawat tentera asing juga pernah cuba menceroboh tetapi dipintas oleh TUDM. Cuma yang dikhuatiri adalah sekiranya satu pasukan yang besar menceroboh dengan niat yang tidak baik, adakah TUDM mampu untuk bertindak dengan jumlah pesawat pemintas/pejuang yang tidak mencukupi?

Sebanyak 40 peratus aset TUDM telah melebihi umur 20 tahun. Sebagai stop-gap measure, TUDM berminat untuk memperolehi pesawat-pesawat jenis F/A-18C dan F/A-18D Hornet yang akan ditamatkan perkhidmatan oleh tentera udara Kuwait. Malaysia sendiri mengoperasikan sebanyak lapan buah pesawat F/A-18D Hornet. Selain itu, TUDM juga sedang dalam proses memperolehi pesawat tempur ringan (Light Combat Aircraft atau LCA) untuk memenuhi program Capability 2055 (Cap 55) nya.

KD Todak, kapal ronda laju milik TLDM, yang berusia 45 tahun masih setia melindungi negara

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) juga dibelenggu masalah yang sama. Hanya enam buah asetnya yang masih mempunyai keupayaan senjata stand-off, manakala purata umur aset-asetnya sudah melebihi 30 tahun. Program Transformasi 15-to-5 nya juga tergendala dengan masalah pembinaan enam buah Littoral Combat Ship yang menjadi salah satu komponen utama program transformasi tersebut, apabila syarikat yang diberi tanggungjawab untuk menyiapkan kapal-kapal tersebut masih gagal menyiapkan walau sebuah kapal. Ini sudah tentu menjadikan negara asing, terutamanya China, tidak gentar untuk menceroboh laut wilayah Malaysia seperti yang sering dilakukannya.

TLDM MEMBANTU AGENSI-AGENSI KESELAMATAN NEGARA

Anggota TLDM membantu PDRM laksanakan sekatan jalan raya (SJR) untuk membendung penularan COVID-19

Seperti lain-lain cabang dalam ATM seperti Tentera Darat dan TUDM, TLDM juga banyak membantu agensi-agensi keselamatan dalam negara terutamanya dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19. Anggota-anggota TLDM juga turut bertugas di sekatan-sekatan jalan raya membantu PDRM. Ini memberi PDRM peluang untuk melaksanakan core businessnya iaitu menguatkuasakan undang-undang dan membanteras jenayah.

Bagi mempertahankan kedaulatan wilayah laut negara serta membanteras pencerobohan sempadan perairan negara oleh para penyeludup, penjenayah, PATI, penyeludup manusia dan pedagang manusia, baik TLDM, TUDM dan Tentera Darat membantu dari segi aset dan keanggotaan melalui penubuhan National Task Force (NTF). Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang merupakan agensi barisan hadapan untuk mempertahankan kedaulatan wilayah laut negara di masa aman masih jauh keadaannya dari keadaan optima pengoperasian. APMM kini mempunyai keanggotaan sekitar 5,000 orang termasuk yang dari skim gunasama (pegawai dan anggota awam). Ini hanya 50 peratus dari jumlah keanggotaan yang diperlukan seperti dalam Pelan Perancangan Strategik Maritim Malaysia 2040. Sehingga tercapainya matlamat tersebut, TLDM masih perlu menyokong penugasan APMM terutamanya di kawasan Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE).

Anggota-anggota APMM Zon Maritim Batu Pahat menaiki sebuah kapal tunda yang disyaki berlabuh tanpa kebenaran Jabatan Laut Malaysia di Batu Pahat baru-baru ini

Selain itu, sebahagian aset-aset yang dimiliki oleh APMM untuk operasi blue water dan green water telah berusia lebih 40 tahun, manakala aset-aset baharu adalah lebih sesuai untuk operasi brown water. Kelambatan penyerahan OPV kelas Tun Fatimah menjadikan keadaan ini lebih meruncing. Mungkin kerajaan perlu kaji semula untuk membenarkan aset-aset pasukan keselamatan kurang sensitif seperti kapal-kapal ronda APMM dibina oleh limbungan-limbungan swasta yang berkemampuan, sepertimana PDRM pernah membina kapal-kapal ronda laju kelas PZ dan PX di limbungan Hong Leong-Lürssen dan Penang Shipbuilding Corporation pada tahun 1980. Kedua-dua kelas kapal tersebut masih berfungsi dengan baik di dalam perkhidmatan APMM.

AKHIR QALAM

Angkatan Tentera Malaysia adalah sebuah organisasi professional yang bertanggungjawab bukan sahaja untuk mempertahankan kedaulatan negara semasa peperangan, tetapi juga bertanggungjawab membantu pihak berkuasa awam dalam hal pembangunan negara (nation-building). Dakwaan sumbang yang sering membayangi ATM dengan unsur-unsur negatif hanyalah berdasarkan kisah dongeng semata-mata. Pasukan keselamatan kita kesemuanya meletakkan kesejahteraan rakyat Malaysia sebagai keutamaan.

Penempatan enam buah hospital medan di seluruh negara bagi meringankan beban pihak KKM, penggunaan aset-aset strategik dan taktikal untuk menentukan rakyat tidak terpinggir dari segi peluang rawatan perubatan serta bahan makanan asas semasa PKPD dilaksanakan, serta membantu agensi-agensi lain dalam melaksanakan tugas mereka adalah bukti ATM tidak pernah hanya makan dan tidur. Hargailah mereka.

Namun, untuk mencapai hasrat tersebut, ATM dan lain-lain pasukan keselamatan perlu mengutamakan juga keluhuran perlembagaan serta kedaulatan undang-undang. Maka, keselamatan, kesihatan dan moral (adab dan tatasusila) rakyat diberi keutamaan. Keberkesanan usaha ini bergantung kepada peralatan dan aset-aset kritikal yang ada. Hanya keazaman pihak kerajaan untuk memenuhi keperluan perancangan pembangunan pasukan-pasukan keselamatan kita menjadi harapan para petugas barisan hadapan kita. Hanya dengan aset yang bertepatan dapat memudahkan lagi mereka melaksanakan tugas.

%d bloggers like this: