Tersepitnya Orang Melayu

Orang Melayu kian tersepit. Kos sara hidup menggunung. Itulah rintihan yang sering saya dengar saban hari.

Saya bersembang dengan seorang rakan yang mengendalikan pengoperasian sebuah syarikat penerbangan. Menurutnya, permintaan untuk tempat duduk dalam pesawat untuk pergi menunaikan Umrah berjumlah 1,500 kerusi setiap hari.

Jikalau kita tolak 10 hari untuk Hari Raya Aidil Adha dan 40 hari untuk musim Haji, kita ada 315 hari setahun untuk menunaikan ibadah Umrah. Ini menjadikan jumlah orang Melayu yang pergi menunaikan ibadah Umrah seramai 450,000 orang setahun.

Sekiranya setiap dari 450,000 orang ini pergi dengan pakej termurah yang purata harga pakej sebanyak RM5,000 seorang, maka orang Melayu dari Malaysia membelanjakan sebanyak RM2.25 billion setahun membeli pakej Umrah. Jumlah ini tidak termasuk perbelanjaan tambahan seperti membeli ayam goreng Al-Baik sebagai makanan tambahan, minyak atar, sejadah, jubah, tasbih dan lain-lain untuk kegunaan sendiri atau saudara-mara rakan-taulan, atau cokelat kurma di Pasaraya Dawood.

Begitulah tersepitnya orang Melayu. Ini belum cerita mengenai beg LV yang dibeli di Malaysia untuk dibawa ke pejabat, bercuti di Korea, baby shower, bachelor party, iPhone terbaharu, kopi di kedai kopi hipster dan reload prepaid untuk data agar boleh meroyan di Internet menceritakan betapa terhimpitnya mereka ini.

Saya amat mengasihani keadaan mereka seperti seekor ikan yang sayang akan pasir di pantai.