Defence: Pentingnya Mempertahankan Kedaulatan Negara

Operasi Daulat Mac 2013

Pada hari Selasa bersamaan 12 Februari 2013, sekumpulan 100 orang bersenjata yang diketuai oleh Haji Musa, orang kanan Mohammad Ismail A Kiram, anak keempat kepada Muhammad Fuad A Kiram, seorang yang mengangkat dirinya sendiri sebagai Sultan Sulu, telah mendarat di Kampung Tanduo, Tanjung Labian, di daerah Lahad Datu, Sabah.

Menurut laporan asal, mereka berkumpul di sebuah rumah milik Ahmad Malandi, yang juga dikenali sebagai ‘Mat Bom‘ bukan hanya kerana beliau sering menggunakan bom buatan sendiri untuk menangkap ikan, tetapi juga kerana pernah menyerang sebuah pejabat FELDA di FELDA Sahabat  dalam tahun 1990an dengan menggunakan bom ikan gara-gara tidak berpuas hati dengan pertikaian tanah pusaka dengan FELDA.

Saya pernah menulis bagaimana kumpulan pertama yang terdiri dari lima orang yang memakai jubah diiringi 27 orang memakai separa-celoreng telah medarat terlebih dahulu, diikuti sekitar 70 orang kemudiannya.  Kesemua mereka bersenjatakan M-14 dan AR-15.

Pasukan keselamatan membuat tembakan di sebalik perlindungan semasa Op Daulat

Pasukan keselamatan telah mula bertindak dengan Polis DiRaja Malaysia menggerakkan dua kompeni dari Pasukan Gerakan Am, dan disokong oleh pegawai dan anggota Tentera Darat Malaysia dari 5 Briged Infantri.  Rundingan dijalankan pihak PDRM untuk memujuk mereka meletakkan senjata dan menyerah diri kepada pihak polis.  Malangnya, pada 1 Mac 2013 para pengganas Sulu ini bertindak bertempur dengan pasukan Komando 69 PDRM di Kampung Tanduo, diikuti dengan serang hendap terhadap pegawai dan anggota Cawangan Khas PDRM di Kampung Simunul di Semporna keesokan harinya.  Pada 5 Mac 2013, peringkat ofensif oleh Angkatan Tentera Malaysia dan PDRM telah dilancarkan untuk menghapuskan para pengganas tersebut.

Salah seorang pengganas Sulu yang mampus ditembak oleh pasukan keselamatan Malaysia

Peristiwa berdarah tersebut telah berlalu lebih empat tahun yang lalu dan ramai yang sudah melupakan peristiwa tersebut.  Malah sejak berakhirnya peristiwa tersebut, ada juga pihak-pihak yang berbaik-baik dengan musuh negara yang nyata dengan memberi mereka pengiktirafan politik di negara mereka.  Alasan yang diberikan ialah peristiwa di Kampung Tanduo adalah ‘kisah lama.’ Begitulah celakanya sikap mereka yang durjana ini.

“Kisah di Kampung Tanduo adalah kisah lama,” kata Ahli Parlimen DAP, Teresa Kok

Sungguh malang nasib balu dan ibubapa 10 orang para pegawai dan anggota PDRM dan ATM yang terkorban di Lahad Datu mempertahankan kedaulatan negara.  Pengorbanan anak mereka, suami mereka, bapa kepada anak-anak mereka, diperlekehkan oleh mereka yang tidak berhati perut, hanya kerana kepentingan politik sempit mereka.

Salah seorang perajurit negara yang terkorban di Lahad Datu

Baru-baru ini dilangsungkan perbarisan penganugerahan “Battle Honour Daulat Februari 2013” di Kota Kinabalu.  Selain untuk menganugerahkan unit-unit ATM yang terlibat dalam Op Daulat dengan “Battle Honour,” ianya juga adalah untuk memberitahu kepada rakyat Malaysia, terutamanya di Sabah, bahawa kerajaan tidak memandang ringan tugas mempertahankan kedaulatan negara, dan juga memperingatkan semua bahaya pencerobohan yang dilakukan sama ada untuk peperangan konvensional mahupun peperangan asimetri.

Perbarisan penganugerahan “Battle Honour Daulat Februari 2013” di Padang Merdeka, Kota Kinabalu pada 11 Ogos 2017

Lewat ini kita sering dapati sesetengah pihak yang tidak bertanggung jawab menyerang integriti serta moral pasukan keselamatan dengan menghina dan merendah-rendahkan kebolehan serta aset yang dimiliki pasukan keselamatan.  Mungkin mereka merasakan bahawa di dalam mana-mana peperangan, mereka tidak akan merasa sebarang kesusahan.

Kita ketahui terdapat anggota ATM dan PDRM yang tercedera dalam pertempuran semasa Op Daulat dilangsungkan tetapi tidak ramai yang mengetahui mahupun dapat menilai pengorbanan yang dilakukan oleh pasukan keselamatan kita untuk mempertahankan kedaulatan.  Ini bukannya cerita ‘Combat‘ mahupun ‘Rambo‘ di mana heronya akan mendapat luka-luka kecil tatkala bertempur, tetapi ada yang tidak sempurna anggota dan fungsi tubuh badan setelah terkena tembakan.

Berikut adalah di antara paparan yang mungkin tidak pernah dilihat oleh rakyat Malaysia sebelum ini, tetapi saya rasakan amat perlu ditunjuk supaya kita faham erti pengorbanan pasukan keselamatan kita.

Seorang anggota keselamatan Malaysia yang tercedera ditembak diberi rawatan oleh petugas Kor Kesihatan DiRaja
Seorang anggota pasukan keselamatan kita yang ditembak di dada diberi rawatan oleh petugas Kor Kesihatan DiRaja setelah peluru tersebut menembusi tubuh beliau

Sekiranya anda merasakan hanya para anggota keselamatan kita yang merasa pahit maung pertempuran, anda tersilap. Realitinya amat berbeza sekali.

Apabila hospital medan didirikan oleh Kor Kesihatan DiRaja di kawasan operasi, orang awam yang terdiri dari para penduduk di situ yang telah tercedera ditembak secara rambang oleh pengganas Sulu berduyun-duyun datang untuk mendapatkan rawatan kecemasan.  Di antara mereka termasuk kanak-kanak dan bayi yang menjadi mangsa keganasan pengganas Sulu.  Mereka langsung tidak berperi kemanusiaan terhadap para penduduk timur Sabah sedangkan mereka kata Sabah adalah hak mereka.

Seorang mangsa tembakan rambang pengganas Sulu mendapatkan rawatan setelah Kor Kesihatan DiRaja membuka hospital medan
Seorang kanak-kanak juga menjadi mangsa kekejaman peluru pengganas Sulu
Bayi yang tidak berdosa ini juga tidak terlepas dari keganasan para pengikut Kiram. Bayi ini telah kehilangan banyak darah semasa dibawa ke hospital medan ATM. Status bayi ini tidak diketahui sama ada selamat ataupun tidak

Rentetan daripada insiden di Lahad Datu inilah kerajaan mewujudkan ESSCOM untuk memantapkan kawalan keselamatan di timur Sabah.  Menteri Pertahanan Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata inisiatif terbaharu kerajaan ialah dengan menempatkan 7,000 anggota Tentera Darat  dengan perlaksanaan Op Daratan, Op Balasah, Op Khas dan Op Pasir bagi mempertahankan daratan Sabah.  Satu kompeni infantri Tentera Darat juga telah ditempatkan di kawasan Cenderawasih, Lahad Datu untuk memastikan kawasan pantai Lahad Datu terkawal sepenuhnya.

Tambah beliau lagi, inisiatif Trilateral Maritime Patrol (TMP) telah dilancarkan oleh Malaysia bagi memastikan mana-mana anggota militan termasuk Da’esh tidak menjadikan Laut Sulu sebagai laluan tikus untuk menceroboh masuk ke negara ini manakala inisiatif Trilateral Air Patrol (TAP) akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Jangan kita lupa siapa musuh kita.  Jangan kita bersekongkol dengan mereka yang bersahabat dengan musuh yang tidak senang dengan kemerdekaan dan kesenangan yang kita kecapi.  Jangan kita termakan hasutan politik kebencian (politics of hate) yang diamalkan oleh sesetengah pihak yang sanggup berbaik-baik dengan musuh untuk mendapat pengiktirafan mereka.

Musuh dalam selimut: Nurul Izzah bersama dengan Jacel Kiram, anak “Sultan” Kiram yang sehingga kini menganggap Sabah sebahagian dari “kerajaan” Sulu

Jangan kita lupa pengorbanan pasukan keselamatan kita. Jangan jadikan pemergian mereka, dan juga pemergian para penduduk yang menjadi mangsa kekejaman pengganas Sulu sebagai pemergian yang sia-sia.  Berikanlah sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan keselamatan kita, terutamanya Angkatan Tentera Malaysia, kerana musuh tidak membeza-bezakan di antara tentera dan rakyat Malaysia.

Kita semua adalah musuh mereka.

Berilah sokongan tidak berbelah bahagi kepada Angkatan Tentera Malaysia